Fadly Samsudin

Antara yang akan berlaku hari pertama buat manusia yang ‘berpindah’ ke alam barzakh adalah mereka akan mengulang-
ulang kata: “Wahai Allah, kembalikan aku hidup di dunia.”

Golongan itu menyesal kerana tidak sempat beramal soleh ketika diberikan peluang oleh Allah SWT ketika hayatnya di dunia. Perkara itu dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia).” (Surah al-Mu’minuun, ayat 99)

Bagaimanapun, Allah SWT menyatakan perkara itu tidak sama sekali akan berlaku. Tidak ada sesiapa pun yang berada di alam barzakh dapat dikembalikan sehinggalah mereka dibangkitkan semula pada hari akhirat.

Seperti dinyatakan dalam Surah al-Mu’minuun, ayat 100 yang bermaksud: “Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan.” Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia saja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).”

Seandainya esok kita mati, bermakna hanya setakat malam ini saja segala ibadat dan amalan kebaikan yang dapat kita lakukan. Islam mengajar umatnya supaya mempercayai dengan penuh keimanan, kehidupan di dunia ini adalah tempat beramal sebanyak mungkin.

Kehidupan di akhirat semata-mata bagi menerima pembalasan atas setiap amalan yang dilakukan di dunia. Kematian adalah proses kembalinya semula asal usul kejadian manusia.

Tubuh yang berasal daripada tanah akan kembali semula ke tanah. Begitu juga dengan roh, ia akan dikembalikan semula kepada Allah SWT dalam ruang waktu dan kehidupan yang tidak dapat diumpakan dengan apa-apa pun di dunia ini.

Pada hari kiamat, selepas seluruh makhluk termasuk jin, syaitan dan binatang mati, Allah SWT akan bertanya kepada malaikat maut siapa lagi yang tinggal.

Lalu Malaikat Maut menyatakan tiada siapa lagi yang tinggal melainkan Jibril, Mikail, Israfil dan segala malaikat yang membawa singgahsana-Nya.

Maka, Allah SWT mengarahkan malaikat maut mencabut nyawa Jibril, Mikail, Israfil dan semua malaikat itu.

Kemudian Allah SWT bertanya lagi siapa lagi yang tinggal? Malaikat maut berkata, tiada siapa lagi yang tinggal melainkan dirinya yang lemah itu.

Seterusnya, Allah SWT memerintahkannya untuk mencabut nyawanya sendiri. Betapa dahsyat dan sakitnya kematian itu apabila malaikat maut yang mencabut nyawanya sendiri akan menjerit sekuat hatinya.

Setelah itu, Allah SWT akan menggulung segala isi di langit dan dunia. Ketika itu, Allah SWT bertanya, kekuasaan dan kerajaan milik siapa pada hari itu.

Bagaimanapun, tiada siapa pun yang bersuara kecuali Allah SWT sendiri menjawab soalan-Nya. Allah SWT berkata, Dialah Yang Maha Berkuasa menetapkan hukum, yang mempunyai kekuasaan dan kerajaan pada hari itu.

Maka, mulialah mereka yang menyembah dan sentiasa memuji kebesaran Allah SWT. Apabila manusia yakin adanya kehidupan lain selepas kematian, pastinya mereka berusaha untuk mempersiapkan diri dengan sebaiknya.

Ibnu Umar meriwayatkan: “Rasulullah SAW memegang bahuku lalu berkata, ‘Jadilah kamu di dunia ini seperti orang asing atau perantau.’”

Kemudian Ibnu Umar berkata: “Sekiranya kamu berada pada waktu petang, kamu jangan mengharap hidup sampai pagi hari. Sekiranya kamu berada pada waktu pagi, kamu jangan menantikan waktu petang. Gunakan masa sihatmu sebagai bekalan pada masa sakitmu dan masa hidupmu untuk kematianmu.” (Hadis Bukhari)

Kematian itu sangat menyakitkan yang tiada tolok bandingnya. Bagi manusia yang sudah meninggal dunia mereka sudah melepasi situasi kesakitan yang teramat perit itu.

Malah, ketika tidur juga kita mengalami keadaan di mana roh dan jasad terpisah kerana diangkat oleh Allah SWT ke sisi-Nya. Hanya di atas kehendak Allah jualah roh itu akan dikembalikan semula ke dalam jasad kita.

Sebab itulah, sebelum tidur pastikan ketika memanjatkan doa kepada Allah SWT untuk menghadapi ‘kematian’ kecil itu.

Antaranya, hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW mengajarkan doa sebelum tidur dengan membaca, “Dengan nama-Mu wahai Tuhanku, ku letakkan rusukku dan dengan-Mu aku dapat mengangkatnya. Sekiranya Engkau mengambil diriku (jiwaku) ini, limpahkanlah rahmat kepadanya dan sekiranya Engkau membiarkannya, pelihara diriku sebagaimana Engkau memelihara hamba-hamba-Mu yang soleh.” (Hadis Bukhari dan Muslim)

Cita-cita dan harapan kita sudah pasti untuk mengakhiri kehidupan ini dengan pengakhiran yang baik (khusnul khatimah). Jangka hayat umat Nabi Muhammad SAW pula seperti dinyatakan usia Baginda antara 60 hingga 70 tahun.

Pengurusan kehidupan itu sangat penting supaya ia dapat membuahkan hasil yang bermakna. Maka, sentiasa berwaspada sebelum tibanya saat itu dengan meningkatkan kualiti iman, Islam, ihsan dan ketauhidan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai di sisi Tuhanmu. Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia dan masuklah ke dalam syurgaKu!” (Surah al-Fajr, ayat 27-29)

Ulama menyatakan, apabila seseorang itu mengingati mati, ia dapat melembutkan hati, mengelakkan diri daripada melakukan maksiat serta meringankan masalah kehidupan.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 11:00 AM