GAMBAR hiasan. FOTO Mohd Yusni Ariffin
GAMBAR hiasan. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Qira’ah Fatwa

Apakah hukum jika imam tertinggal doa qunut Subuh dan tidak melakukan sujud sahwi atau sengaja meninggalkannya, adakah wajib kita sujud sahwi selepas imam memberi salam?

Pertama sekali, apakah definisi sujud sahwi dan keadaan yang menyebabkan berlakunya sujud sahwi.

Menurut kitab al-Feqh al-Manhaji: Al-Sahwu adalah suatu kekurangan yang berlaku pada orang yang sedang solat di dalam solatnya.

Sama ada ia berlaku secara sengaja ataupun secara terlupa dan sujud - tempatnya di penghujung solat - sebagai jabr (suatu yang menguatkan) kekurangan berkenaan. (Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (1/172)

Perbuatan sujud sahwi adalah bersumberkan satu kisah masyhur Zul Yadain diriwayatkan oleh Abu Hurairah.

Beliau berkata: Nabi SAW mengimamkan solat Zuhur atau Asar bersama kami. Kemudian Baginda memberi salam. Maka berkata Zul Yadain kepada Nabi: Solat wahai Rasulullah, adakah kau mengurangkannya? Maka Nabi SAW bersabda: Benarkah apa yang dia katakan? Maka para sahabat pun berkata: Ya. Lalu Baginda melakukan dua solat yang berbaki, kemudian sujud sebanyak dua kali. (Riwayat al-Bukhari - 1169)

Antara sebab yang menuntut kepada sujud sahwi adalah seseorang itu meninggalkan salah satu daripada sunat ab’adh di dalam solat. Sunat ab’adh di dalam solat adalah beberapa perkara berikut:

• Al-Tasyahhud Al-Awwal.

• Selawat ke atas Nabi SAW selepas tasyahhud yang pertama.

• Duduk untuk tasyahhud awal.

• Selawat ke atas ahli keluarga Nabi SAW sesudah tasyahhud akhir.

• Qunut ketika i’tidal pada rakaat kedua solat fajar.

Antara dalil yang menguatkannya adalah satu riwayat daripada Al-Mughirah bin Syu’bah, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang daripada kamu bangun daripada dua rakaat dan masih belum berdiri sempurna maka hendaklah dia duduk. Dan apabila telah berdiri dalam keadaan sempurna, janganlah dia duduk serta dia sujud sebanyak dua kali sujud sahwi.” (Riwayat Ibn Majah - 1208)

Riwayat di atas menunjukkan, sekiranya seseorang terus bangun daripada tasyahhud awal, sekiranya dia berdiri dalam keadaan sempurna, hendaklah dia teruskan dan jangan duduk semula, sebaliknya dia perlu melakukan sujud sahwi.

Berdasarkan beberapa penjelasan dan hujah yang dikemukakan, seseorang imam yang tertinggal atau sengaja meninggalkan doa qunut ketika solat Subuh adalah disunatkan untuk dia melakukan sujud sahwi.

Sekiranya dia tidak melakukannya, tidaklah membatalkan solatnya. Ini kerana sujud sahwi hukumnya adalah sunat apabila berlakunya sebab yang tertentu seperti yang dinyatakan.

Bagi makmum pula, menjadi tuntutan untuknya mengikut imam dalam pergerakan solat.

Sekiranya imam melakukan sujud sahwi, hendaklah dia turut melakukannya.

Namun sekiranya imam tidak melakukan sujud sahwi (apabila berlaku sebab yang menuntut), maka tidak perlu makmum melakukannya selepas imam memberi salam.

Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 11:49 AM