GAMBAR hiasan. FOTO Rosdan Wahid
GAMBAR hiasan. FOTO Rosdan Wahid
Mohd Shahrizal Nasir

Setiap tahun, puluhan ribu graduan universiti tempatan dan antarabangsa di negara ini menamatkan pengajian masing-masing.

Majlis konvokesyen adalah detik bersejarah bagi setiap mahasiswa kerana berjaya menamatkan pengajian selepas berkorban masa, tenaga, wang ringgit, fikiran demi memperoleh ilmu dalam bidang yang diceburi.

Selama tiga atau empat tahun melalui proses menuntut ilmu, maka selepas tamat memenuhi tuntutan yang ditetapkan, mereka wajar diraikan dan dikira sebagai ahli dalam bidang masing-masing.

Sepatutnya graduan Muslim tidak terikut-ikut budaya yang tidak mempamerkan keilmuan diri ketika musim konvokesyen. Mereka perlu tahu majlis konvokesyen bukan berasal daripada tradisi Barat, sebaliknya mempunyai kaitan rapat dengan tradisi Islam.

Istilah ‘jubah’ yang dipakai graduan adalah bukti ia tradisi masyarakat Muslim di Timur Tengah. Begitu juga dengan istilah ‘ijazah’ yang mempunyai kaitan rapat dengan bidang keilmuan Islam terutama membabitkan pengajian al-Quran dan hadis.

Istilah ijazah juga mempunyai kaitan dengan satu lagi istilah dikenali sebagai ‘sanad’. Ijazah merujuk kepada pemberian daripada seorang guru kepada pelajarnya yang berkelayakan sebagai akuan bagi mengesahkan seseorang itu selesai dalam pengajian.

Ia juga simbolik kejayaan seorang pelajar sehingga melayakkan dirinya dianugerahkan ijazah. Ijazah itu berbentuk kata-kata akuan daripada guru yang memaparkan sanad salasilah guru yang bersambung ilmunya pada setiap individu tanpa terputus sehingga sampai kepada Rasulullah.

Dalam Islam, ilmu membabitkan al-Quran dan hadis mesti bersumberkan wahyu Ilahi yang diterima Rasulullah.

Justeru, ilmu yang benar mesti mempunyai susur galur yang sampai kepada sumber asal iaitu Rasulullah. ‘Abdullah bin al-Mubarak menyatakan bahawa: “Isnad (sanad) itu adalah daripada urusan agama dan jikalau tiadanya isnad, semua orang boleh berkata apa yang mereka kehendaki.”

Sebab itu, ketika majlis konvokesyen di sesebuah universiti, graduan menerima segulung ijazah daripada individu berautoriti sebagai satu simbolik pengiktirafan terhadap keilmuannya.

Ada pendapat mengatakan pada zaman ulama silam, pelajar memakai penutup kepala seperti kopiah kemudian di atasnya diletakkan al-Quran dan kemudian diikat pada kepala penerima ijazah.

Itu yang dapat dilihat sekarang apabila mahasiswa memakai mortar board ketika menerima ijazah. Majlis konvokesyen juga mempunyai kaitan dengan tradisi keilmuan Islam.

Maka, tidak wajar ada dalam kalangan graduan mengambil gambar sempena konvokesyen dengan memakai jubah, tetapi melakukan aksi ‘lawak’ yang tidak menunjukkan keilmuan diri mereka.

Budaya membaling mortar board juga wajar dihentikan jika mahasiswa memahami sejarah dan falsafah tradisi keilmuan dijalankan ilmuan silam.

Zahirkan kegembiraan dengan bersyukur kepada Allah, menggembirakan kedua-dua orang tua, menghargai guru serta memahat memori bersama rakan sepengajian dengan penuh adab.

Perlakuan beradab itu mempamerkan diri selayaknya diiktiraf sebagai seorang ahli ilmu meskipun masih banyak ilmu yang perlu dipelajari.

Golongan ilmuwan dan mereka yang berusaha menuntut ilmu dianugerah kedudukan yang sangat istimewa. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang daripada tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Malah, golongan berilmu disebut sebagai pewaris nabi. Mereka bertanggungjawab menyebarkan ilmu yang diperoleh kepada orang lain supaya ramai yang mendapat faedah daripadanya.

Sebab itu, golongan yang berada pada jalan ilmu mendapat ganjaran istimewa dengan dipermudahkan Allah jalan untuk mereka menuju syurga.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga dan malaikat akan merendahkan sayapnya memayungi penuntut ilmu, serta semua penghuni bumi dan langit dan ikan dalam lautan, semuanya memohon keampunan buat mereka.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 10:49 AM