GAMBAR hiasan. FOTO Khairul Azhar Ahmad
GAMBAR hiasan. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Mohd Rizal Azman Rifin

Sistem pemerintahan dan pentadbiran negara kita berteraskan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Dalam konteks ini, rakyat dan raja saling mempunyai peranan dan tanggungjawab.

Kuasa raja dan suara rakyat kukuh dalam satu sistem kelangsungan hidup bernegara. Sejak negara mencapai kemerdekaan daripada penjajah British pada 1957, sistem itu berlangsung dengan sempurna dan membawa banyak kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Seperkara lagi yang menarik mengenai negara bertuah ini adalah sikap saling tegur-menegur serta nasihat-menasihati antara pemerintah dan rakyat.

Raja selaku pemerintah dalam sistem raja berperlembagaan tetap utuh dengan gaya dan perlakuan adat berjunjungkan agama dengan memberikan payung keadilan buat semua.

Hanya pemimpin dan pentadbir memiliki jati diri tinggi dan berakauntabiliti mampu mempamerkan kualiti pentadbiran yang adil lagi saksama. Islam sejak awal banyak memperkatakan hal urusan kepemimpinan.

Memegang sesuatu jawatan apatah lagi bertaraf ketua pentadbir negara bukan perkara mudah dan boleh dibuat sebarangan. Ia amanah rakyat, sekali gus bertanggungjawab kepada Allah di atas setiap perkara yang diuruskannya.

Silap perkiraan pasti mengundang rungutan dan rasa tidak puas hati rakyat. Ia sekali gus ‘mencacatkan’ rasa hormat terhadap kewibawaan seseorang pemimpin. Tentunya rasa tidak puas hati itu membuatkan rakyat hidup dalam kegelisahan dan lambat-laun pelbagai kesan buruk tercetus.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda Ke-62 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar baru-baru ini bertitah: ‘Rakyat lebih mengutamakan siapa yang lebih bersih, lebih amanah, lebih telus dan lebih cekap mengurus tadbir. Rakyat mahu pemimpin yang menunjukkan sikap lebih mahu mendengar daripada sikap mahu didengar.’

Sejarah awal Islam di bumi Makkah dan Madinah jelas menunjukkan bagaimana Rasulullah kemudian empat sahabatnya menjawat posisi selaku Khulafa ar-Rasyidin tidak pernah menutup telinga mereka untuk mendengar sebarang kritikan dan teguran rakyat.

Buktinya, ketika Saidina Abu Bakar as-Siddiq diangkat sebagai Khalifah pertama selepas kewafatan Rasulullah secara terbuka di atas mimbar menyarankan supaya sesiapa sahaja boleh menegurnya demi membaiki sebarang kelompongan dalam tadbir urus yang dilaksanakannya.

Demikian juga dengan Saidina Umar al-Khattab, beliau turut memperkasakan diri dengan berusaha mengurus negara Islam Madinah dengan gaya dan sistem yang lebih terbuka sehingga tidak dirinya tidak sedikit pun berasa kekok dan aib apabila ditegur sekiranya terdapat sebarang kekhilafan.

Untuk menjadi pemimpin yang benar-benar berkredibiliti dan berkarisma, seseorang pemimpin perlu kepada semak dan imbang. Pemimpin yang sentiasa menegakkan tadbir urus bersendikan keadilan dan saksama akan menjadikan dirinya disayangi, dihormati dan dekat di hati rakyat.

Imam al-Ghazali pernah berpesan: “Pemimpin yang adil adalah pemimpin yang menghukum dengan penuh keadilan dan berkata dengan penuh kebenaran. Tidak menyakiti hati orang dan jujur sama ada kepada diri sendiri, mahupun kepada orang lain.”

Ia selari dengan apa yang pernah disuarakan Rasulullah: “Sesungguhnya orang-orang yang adil berada di atas mimbar-mimbar daripada cahaya pada hari kiamat di sebelah kanan ar-Rahman dan kedua tangannya adalah kanan. Iaitu mereka yang adil dalam pemerintahannya, keluarganya dan jawatan yang diamanatkan kepada mereka.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Rasulullah juga menyenaraikan antara tujuh golongan yang bakal memperoleh rahmat dan perlindungan Allah di hari kiamat kelak adalah pemimpin.

Sabda Baginda yang bermaksud: ‘Tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari kiamat iaitu hari yang tiada perlindungan selain daripada perlindungan-Nya, iaitu, pemimpin yang adil,… (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Pemimpin yang baik, amanah dan jujur dalam kepemimpinan, sudah tentu menjadi seorang yang sangat diredai dan dikasihi serta mendapat tempat istimewa di sisi Allah.

Begitu dengan mereka yang curang, bertindak zalim, cuai dan lebih parah melakukan penyelewengan kuasa adalah golongan pemimpin yang bukan sahaja dikutuk rakyat bawahan malah akan mendapat kemurkaan Allah pada hari akhirat nanti.

Pemimpin yang curang dan menyeleweng daripada tanggungjawab yang disandangnya bakal berdepan ‘defisit’ keyakinan dalam kalangan rakyat jelata.

Memetik lagi titah Sultan Nazrin: “Rakyat mengimpikan sebuah negara yang bebas daripada kekacauan dan persengketaan, agar warganya hidup dalam harmoni, saling menghormati, saling bekerjasama tanpa dipisahkan tembok prejudis agama dan prasangka kaum.”

Kerajaan yang menjadi pilihan rakyat akan terus mendapat sokongan ialah yang dapat memenuhi impian serta hasrat majoriti rakyatnya.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 10:36 AM