GAMBAR hiasan. FOTO Zulfadhli Zulkifli
GAMBAR hiasan. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Datuk Dr Zahazan Mohamed

Saya ada baca terjemahan al-Quran dan mahukan penerangan lanjut daripada ustaz. Apa maksud Allah Maha Mensyukuri?

Terjemahannya begini: “Dan mereka berkata: ‘Segala puji bagi Allah yang menghilangkan dukacita daripada kami. Sesungguhnya Tuhan kami benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.’”

Ayat itu adalah terjemahan Surah al-Fathir, ayat 34. Biasanya kita selalu mendengar hamba yang bersyukur, bagaimana pula Allah yang bersyukur?

Haris, Kuantan

Perkataan syakur (Maha Mensyukuri) berasal daripada perkataan syakara bererti pujian atas kebaikan. As-Syakur adalah salah satu daripada nama Allah yang didasari daripada firman-Nya: “Innallah ghafurun syakur.” (Surah Asy-Syura, ayat 23)

Nama Allah yang mulia itu diulang dalam al-Quran sebanyak empat kali. Dari sudut bahasa, kalimat as-Syakur itu adalah bentuk mubalaghah menunjukkan bersangatan.

Maka, Allah adalah zat yang Maha Mensyukuri bermaksud zat yang memiliki kesempurnaan mutlak dalam membalas amal kebaikan.

Kalimat syakur itu sekiranya dinisbahkan kepada manusia membawa maksud seseorang yang bersungguh-sungguh mensyukuri Tuhannya dengan melakukan ketaatan dan melaksanakan apa saja ibadat yang diperintahkan oleh Tuhan kepadanya.

Contohnya, Allah SWT memuji Nabi Nuh dengan menyebut dalam Surah al-Israk ayat 3: “Innahu kana ‘abdan syakura” yang bermaksud: “Sesungguhnya dia adalah hamba yang syakur (banyak bersyukur).”

Walaupun ada persamaan lafaz yang diletakkan pada Allah dan hamba, tetapi makna secara keseluruhan sangat jauh perbezaannya sebagaimana bezanya Allah dengan makhluk-Nya.

Allah SWT bersifat hidup (al-Hayyu), makhluk juga bersifat hidup, tetapi hidup Allah tidak sama dengan makhluk. Hidup Allah tidak memerlukan makan dan minum manakala hidup makhluk memerlukan makan dan minum serta memiliki pelbagai kekurangan seperti letih, haus, lapar, sakit dan sebagainya.

Hidup Allah tidak dimulakan dengan ketiadaan dan tidak diakhiri dengan kematian serta kebinasaan. Hidup makhluk dimulai dengan ketiadaan dan diakhiri dengan kematian serta kebinasaan.

Biasanya ayat menyebutkan nama Allah as-Syakur sesudah menyebut mengenai galakan untuk melakukan amal soleh dan balasannya. Contohnya, firman Allah SWT dalam Surah Fathir, ayat 29 hingga 30 bermaksud: “Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat serta menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka dalam keadaan bersembunyi dan terang-terangan, mereka mengharapkan perniagaan yang tidak akan pernah rugi. Allah akan menyempurnakan kepada mereka pahala mereka dan menambahkan kepada mereka kurniaan-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri (syakur).”

Dalam ayat itu, jelas menunjukkan nama Allah ‘Asy-Syakur’ disebut selepas menyebut balasan orang yang beramal soleh iaitu membaca al-Quran, mendirikan solat, berinfak di jalan Allah sama ada secara sembunyi atau terang-terangan.

Allah SWT membalas mereka dengan balasan sempurna serta menambahkan kurniaan-Nya atas pahala amalan mereka. Ayat itu ditutup dengan nama Allah yang mulia iaitu as-Syakur.

Antara makna as-Syakur ialah Allah SWT menerima amalan sedikit dilakukan hamba-Nya serta tidak mensia-siakannya walau sekecil apa pun.

Firman Allah dalam Surah an-Nisa’, ayat 40 bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak menzalimi seseorang walaupun sebesar zarah dan jika ada satu kebajikan, nescaya Allah akan melipatgandakannya dan memberikan daripada sisi-Nya pahala yang besar.”

Begitu juga kita dilarang meremehkan amalan seseorang walaupun sedikit kerana di sisi Allah tetap mempunyai nilai sebagai amal soleh yang mungkin pahalanya boleh menjadi berlipat ganda.

Sabda Nabi SAW bermaksud: “Janganlah engkau meremehkan sedikit pun kebaikan sekalipun ketika engkau bertemu saudaramu dengan wajah yang berseri.” (Riwayat Muslim)

Selain itu, makna as-Syakur lagi ialah amalan sedikit akan sentiasa bertambah pahala amalan di sisi Allah. Allah SWT berfirman dalam Surah as-Syura, ayat 23 bermaksud: “Dan siapa yang mengerjakan kebaikan, akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikan itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.”

Begitulah gambaran makna sifat Allah as-Syakur yang dapat diterangkan bagi menunjukkan Allah Maha Bersyukur.

 

Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 11:21 AM