FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Sedetik Rasa

SELEPAS melaksanakan solat, adakah kita menyertakan sekali doa buat orang lain? Sebenarnya, amalan itu menyebabkan diri kita turut menerima doa daripada malaikat.

Mendoakan kebaikan orang lain dalam keadaan dia tidak mengetahuinya, adalah amalan yang sangat mulia. Islam mendidik umatnya supaya tidak mementingkan diri sendiri.

Daripada Abu Darda’, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Doa seorang Muslim kepada saudara Muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab (diterima), di sisi kepalanya malaikat yang diutus Allah setiap kali dia mendoakan saudara Muslimnya dengan doa yang baik dan berkatalah malaikat itu, amin! engkau juga beroleh manfaat yang sama.” (Riwayat Muslim)

Dalam riwayat lain turut menyatakan, doa yang paling cepat dimakbulkan Allah ialah doa secara ghaib iaitu dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Doa adalah rayuan dan permintaan khusus setiap umat Islam kepada Allah. Walau sehebat mana sekalipun seorang itu pada pandangan mata manusia, dia tetap lemah di sisi Allah.

Setiap doa yang dititipkan kepada Allah perlu diucapkan dengan penuh keikhlasan. Ia membawa diri meyakini Allah sentiasa memerhati kita dalam setiap perkara yang dilakukan.

Alangkah bahagia jika itu dapat dilakukan dalam kehidupan. Sudah pasti ‘aura’ kebaikan amalan perbuatan itu dapat melahirkan insan yang berjiwa suci serta terhindar daripada bersifat iri hati dan mementingkan diri sendiri.

Dalam hadis Rasulullah menyatakan, doa adalah senjata ampuh buat orang beriman. Allah menjelaskan dalam al-Quran, keutamaan berdoa dan memohon pertolongan daripada Allah dalam apa jua keadaan.

Maka, setiap kali menadah tangan memohon doa, jangan ketinggalan mendoakan kebaikan buat orang lain. Permintaan kita itu adalah ibadat yang mampu membina kesejahteraan bagi mewujudkan silaturahim yang lebih kukuh.

Sebagai anak, jangan sesekali lupa mendoakan kesejahteraan ibu bapa, suami mendoakan buat isteri dan anak-anaknya, guru mendoakan anak didiknya, majikan pula mendoakan kesejahteraan buat pekerjanya.

Setiap doa yang dipanjatkan dapat mengatasi segala permasalahan yang dihadapi mereka. Dalam masyarakat hari ini, jika tidak mampu memberikan bantuan berupa wang ringgit, harta atau tenaga kepada golongan yang memerlukan, jangan lupa berdoa dengan harapan Allah akan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi mereka.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang tidak mengambil berat permasalahan orang Islam yang lain, maka dia bukan dari kalangan mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 1:29 AM