FOTO Hiasan Masjid Nabawi.
FOTO Hiasan Masjid Nabawi.
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

DALAM Surah al-Anbiyaa, ayat 107, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.”

Rahmatan lil ‘alamin dalam ayat itu bermaksud, Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW itu adalah rahmat untuk seluruh alam.

Nabi Muhammad SAW adalah manusia paling mulia, sempurna dan baik hati. Seluruh manusia perlu mencontohi keperibadian tinggi dimiliki Baginda dan bagaimana amalan kebaikan serta kasih sayang yang dipamerkannya.

Allah SWT mencintai orang muhsinin (iaitu orang-orang yang berbuat baik) dan bersama mereka. Mereka akan mendapat kemuliaan dan keutamaan di dunia dan akhirat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “... dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik. (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Dalam satu lagi ayat, Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah an-Nahl, ayat 128)

Islam bukan hanya memberikan rahmat kasih sayangnya kepada orang Islam semata-mata, malah musuh juga turut dapat merasakannya.

Ketika Suhail bin Amr menjadi tawanan orang Islam dalam Perang Badar, Umar Al-Khattab menghampiri Rasulullah dan berkata: “Wahai Rasulullah, biarkan saya mencabut gigi seri Suhail bin Amr supaya dia tidak dapat berpidato dan mencela dirimu lagi setelah ini.”

Rasulullah bersabda bermaksud: “Jangan wahai Umar, aku tidak akan merosakkan tubuh seseorang kerana nanti Allah akan merosakkan tubuhku walaupun aku ini seorang nabi.”

Kemudian Rasulullah SAW menarik Umar dan menghampirinya lalu bersabda: “Wahai Umar, mudah-mudahan esok pendirian Suhail akan berubah menjadi seperti yang kamu sukai.”

Permohonan Rasulullah SAW itu menjadi kenyataan. Suhail bin Amr yang sebelum ini adalah seorang ahli pidato tersohor bagi pemimpin Quraisy bukan Islam sudah beralih menjadi seorang pemidato ulung buat umat Islam.

Beliau berubah menjadi seorang Mukmin yang sangat taat. Kedua-dua matanya tidak pernah kering daripada air mata disebabkan takutnya kepada Allah SWT.

Sebelum itu, beliau juga adalah salah seorang pembesar dan panglima Quraisy. Kemudian beliau bertukar haluan menjadi perwira di jalan Islam dan berjanji akan selalu ikut berjihad dan berperang dengan harapan Allah akan mengampunkan semua dosanya yang lalu.

Beliau jugalah yang diutuskan oleh pemimpin Quraisy untuk meyakinkan Rasulullah supaya membatalkan perancangan Baginda untuk memasuki Makkah ketika perjanjian Hudaibiyah.

Jelas, Islam tidak membataskan sikap dan perbuatan kasih sayang hanya kepada orang Islam saja.

Ia harus diberikan kepada semua makhluk, baik manusia mahupun haiwan.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sayangilah orang-orang yang ada di bumi supaya engkau disayangi oleh orang yang di langit (yakni para malaikat).” (Hadis Riwayat at-Thabrani)

Perasaan kasih sayang itu hendaklah dipamerkan melalui percakapan serta perbuatan. Semua itu mestilah datangnya daripada hati yang jujur dan ikhlas.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 1:29 AM