FOTO hiasan. FOTO Ramdzan Masiam
FOTO hiasan. FOTO Ramdzan Masiam
Sedetik Rasa

Kadangkala terlintas di fikiran, kenapalah diri kita kerap kali ditimpa ujian. Habis satu perkara, datang pula ujian lain. Sebenarnya, setiap ujian itu mempunyai hikmah yang tersurat dan tersirat.

Ujian adalah jalan bagi memudahkan kita masuk ke syurga Allah kelak. Itulah mentaliti yang perlu ditanam dalam diri setiap orang beriman.

Jangan bersangka buruk terhadap ujian kerana jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat mampu memperoleh pahala atas sifat sabar, syukur dan reda?

Dalam kalangan rasul Ulul Azmi, ujian yang ditimpakan ke atas mereka bagi mengangkat darjat kerana kegigihan, kesabaran dan keberanian mereka menanggung pelbagai ujian yang berat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka ditimpa kepapaan dan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang beriman yang ada bersertanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah SWT?” (Surah al-Baqarah, ayat 214)

Bagi orang beriman, setiap ujian itu mempunyai maksud yang baik di sebaliknya. Buat orang yang melakukan dosa, ujian yang mereka hadapi itu sebenarnya adalah sebahagian cara pengampunan dosanya.

Bagi orang beriman, ujian yang hadir dalam hidupnya itu untuk meningkatkan lagi darjatnya di sisi Allah SWT.

Hikmah ujian itu menurut golongan muqarrabin ialah Allah SWT melapangkan bagi seseorang supaya dia tidak selalu berasa kesempitan manakala Allah menyempitkan sesuatu supaya orang itu tidak terus hanyut dalam keadaan selesa dan Allah melepaskan kedua-duanya supaya orang itu tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.

Kepada sesiapa yang Allah SWT mahu beri kepadanya neraka, Allah SWT akan tahan dosa yang dilakukannya di dunia ini. Sebab itu, ada manusia hidup jauh menyimpang daripada ajaran agama dan sentiasa bergelumang dengan dosa dan maksiat.

Segala kemungkaran yang dilakukan seperti meminum arak, berjudi, mencuri dan berzina dirasakan cukup nikmat. Allah membiarkan mereka merasai sepuas-puasnya supaya mudah Allah menghumban golongan itu ke dalam neraka.

Sebaliknya, jika kita sentiasa bersabar dan reda ketika diberikan ujian, itulah cara Allah SWT hendak memudahkan kita ke syurga. Jangan sesekali kita mengeluh atau mengungkit, bahkan perlu menyebut ucapan innalillahiwainnailaihirojiun yang bermaksud: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Justeru, kita perlu yakin ada perkara yang Allah SWT hendak sediakan buat diri kita.

Daripada Anas bin Malik, beliau menyatakan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang reda dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredaan Allah dan barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan Allah. (Riwayat al-Tirmidzi)

Dalam hadis itu, Rasulullah SAW memujuk dan memberi kekuatan kepada umatnya bahawa setiap ujian yang ditempuhi pasti ada ganjaran besar yang Allah SWT hendak berikan kepada hamba-Nya.

Begitu juga dinyatakan menerusi firman Allah yang bermaksud: “Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.” (Surah al-Ahzab, ayat 11)

Antara hikmah di sebalik ujian itu juga menjadikan seorang hamba itu semakin dekat dan sentiasa mengadu kepada Allah SWT mengenai apa yang ditanggungnya supaya ia didengari.

Sebelum ini, mungkin seseorang itu jarang atau langsung tidak pernah bangun solat tahajud, namun selepas diuji, ibadatnya semakin hebat dan itulah tanda Allah sayang kepada hamba-Nya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 12:12 PM