FOTO hiasan. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
FOTO hiasan. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Fadly Samsudin

Apabila masuk tahun baharu, kita mesti bina kekuatan dan semangat untuk berubah menjadi semakin baik.

Kehadiran tahun baharu juga menjadikan usia seseorang semakin meningkat dan masa yang ada untuk kembali kepada Allah SWT semakin singkat.

Mati itu juga sebenarnya adalah satu proses hijrah yang berlaku dalam kehidupan manusia.

Ia bermula sejak diri kita berada dalam kandungan ibu. Apabila cukup empat bulan 10 hari, malaikat datang untuk meniupkan roh.

Selepas ditiupkan roh, malaikat diarahkan untuk menulis empat perkara terhadap kandungan yang bakal dilahirkan ke dunia iaitu rezeki, ajal, amalan (baik dan buruk) dan nasibnya sama ada mulia atau celaka.

Sememangnya, bayi ketika berada dalam kandungan ibu dilihat cukup bertuah kerana dia akan sentiasa dibawa ibunya ke mana-mana saja.

Namun, ia tidak kekal lama kerana Allah SWT tetap paksa bayi itu berhijrah dari alam kandungan ke alam dunia.

Sheikh Abdullah al-Haddad dalam kitabnya menyatakan, Allah SWT sediakan lima keadaan yang perlu manusia lalui (hijrah).

Ia bermula sejak bayi. Bagaimanapun, masa itu tidak akan kekal selama-lamanya.

Selepas berlalu sesuatu tempoh, Allah SWT akan hijrahkan bayi itu menjadi seorang kanak-kanak.

Alam kanak-kanak juga antara masa yang sangat seronok dilalui kerana kita tidak perlu memikirkan banyak perkara.

Masa banyak dihabiskan dengan bermain serta bebas melakukan apa saja. Sehinggalah mencapai usia 9 tahun, maka berakhirlah ‘perjalanan’ sebagai kanak-kanak.

Kemudian, kita mula berhijrah menjadi seorang remaja. Ketika berada di zaman remaja, golongan lelaki contohnya akan mula menunjukkan tanda-tanda perubahan dari segi fizikal dan dia sudah memasuki usia akil baligh.

Allah SWT akan menjadikan golongan itu ‘kebingungan’ kerana pada waktu itu, mereka cuba menyesuaikan diri disebabkan peralihan dari zaman kanak-kanak kepada alam kematangan sebagai seorang remaja.

Allah SWT nyatakan dalam Surah as-Syams, ayat 7 hingga 8, yang bermaksud: “Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa.”

Ketika usia remaja juga, Allah SWT akan mengilhamkan manusia kematangan dalam berfikir sama ada untuk melakukan kebaikan atau kejahatan.

Alam remaja juga tidak akan kekal kerana Allah SWT akan hijrahkan kita ke alam dewasa.

Pada usia dewasa, seseorang akan menempuh kehidupan sebagai pekerja, suami atau isteri serta dikurniakan zuriat sehinggalah mereka mencapai usia tua.

Seterusnya, manusia akan berhijrah lagi dan bersedia pula untuk menanti proses kematian.

Mati adalah sempadan perjalanan sama ada kita beroleh syurga atau neraka Allah SWT di akhirat kelak.

Sehubungan itu, dengan kehadiran tahun baru 1440 hijrah ini, setiap umat Islam perlu kekalkan matlamat serta iltizam bagi memperbaiki kelemahan diri.

Untuk melakukan perubahan juga tidak perlu kepada perkara yang besar. Cukup mulakan dengan memperbaiki kelemahan kecil yang sering dilakukan pada setiap hari.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisaa’, ayat 100)

Saidina Umar ada mengungkapkan kata-kata yang bermaksud: “Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk daripada hari semalam dan hari esoknya lebih buruk daripada hari ini.”

Muharam adalah bulan pertama yang wajar dijadikan titik tolak untuk melakukan penghijrahan hidup yang diredai Allah.

Peristiwa hijrah dilalui Nabi Muhammad SAW adalah lambang pengorbanan dan kejayaan.

Ketika itu mereka sanggup berkorban nyawa dan harta benda demi mencari keredaan Allah SWT. Rasulullah SAW bermula dengan membangunkan masyarakat berakhlak mulia.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Surah Muhammad, ayat 7)

Penghijrahan Rasulullah SAW akhirnya membuahkan hasil. Tugas pertama Baginda ketika di Madinah adalah menyatukan persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar.

Kejayaan itu cukup besar apabila sikap bermusuhan sebelum itu berjaya diubah dengan semangat persaudaraan.

Yathrib kemudian ditukar kepada nama Madinah al-Munawwarah yang bermakna bandar bercahaya.

Baginda juga mengasaskan masjid pertama sebagai tempat ibadat, penyebaran ilmu dan tempat penyatuan umat Islam.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 12:31 PM