FOTO hiasan.
FOTO hiasan.
AL-FIQH

Jika seseorang berhasrat melakukan sujud sajadah pada rakaat pertama solat Subuh pada pagi Jumaat, tetapi tidak menghafal surah Sajadah. Lalu dia membaca surah lain yang tidak ada ayat Sajadah dan melakukan sujud Sajadah. Adakah sah solatnya?

Batal solat Subuhnya dengan sujud Sajadah itu jika sengaja dilakukan lagi diketahui akan haramnya. Amalan Rasulullah SAW setiap Subuh Jumaat baginda membaca surah Sajadah pada rakaat pertama dan melakukan sujud Sajadah.

Pada rakaat kedua, baginda membaca surah al-Insan. Bagi mereka yang tidak menghafal kedua-dua surah itu, boleh membaca mana-mana surah dan tidak perlu sujud Sajadah kerana ia hanya disunatkan saja.

Seorang mengerjakan solat Subuh disangkanya pagi itu pagi Jumaat. Lalu dia membaca surah Sajadah dan melakukan sujud Sajadah. Selepas selesai solat, baru dia sedar hari itu pagi Khamis. Adakah sah solatnya?

Tidak diambil kira sesuatu perkara asalnya disangka benar tetapi ternyata salah. Justeru itu, solatnya dikira sah. Berlainan sekiranya dia berniat mengerjakan solat Subuh Jumaat tetapi ketika melafazkan niat dia tidak menyebut untuk mengerjakan solat waktu tertentu, tiba-tiba pagi itu hari Khamis.

Maka, solatnya batal. Sekiranya ketika takbiratulihram terlintas di hatinya dia akan mengerjakan solat waktu tertentu seperti solat Subuh, maka solatnya sah.

Ini dikiaskan kepada kaedah syarat sah mengikut imam. Jika dia berniat menjadi makmum kepada imam bernama Zaid, tiba-tiba mendapati imam diikutinya adalah Umar, maka sah mengikut imam itu.

Sekiranya seseorang mengerjakan solat Subuh selain daripada hari Jumaat. Dia sengaja membaca surah terdapat ayat Sajadah dengan niat dan tujuan melakukan sujud Sajadah, tetapi ketika membaca ayat itu dia tidak melakukan sujud Sajadah. Adakah batal solatnya?

Tidak sah solat jika seseorang itu sengaja memilih surah terdapat ayat Sajadah untuk dibaca dalam mana-mana solat fardu selain hari Jumaat.

Kecuali jika dia terbaca ayat Sajadah ketika dalam solatnya secara tidak sengaja, maka diharuskan melakukan sujud Sajadah.

Apakah perkara dianggap rukun bagi sujud tilawah (luar solat) dan sujud Sajadah (dalam solat)?

Rukun bagi sujud tilawah (luar solat) iaitu, takbiratulihram berserta niat untuk melakukan sujud tilawah.

Kedua, melakukan perbuatan sekali sujud sama seperti sujud bagi solat dan semasa sujud disunatkan membaca, “Sajada wajhiya Lilladzi khalaqahu washawwarahu wasyaqqa sam’ahu wabasharahu bihawlihi wa quwwatihi fatabaarakallaahu ‘ahsanul khaaliqiin’

Maksudnya: “Sujud wajahku kepada Dia yang menjadikan dan membentuknya serta menetapkan pendengaran dan penglihatannya dengan kekuasaan-Nya. Maha Suci Allah, sebaik-baik Pencipta.” Ketiga adalah memberi salam.

Jangan terlalu lama antara perbuatan sujud dengan ayat Sajadah dibaca. Sebaik-baiknya disegerakan apabila ayat itu habis dibaca.

Bagi sujud Sajadah (ketika dalam solat), hendaklah menyebut takbir semasa hendak turun sujud. Begitu juga ketika hendak bangun berdiri daripada sujud, tidak perlu mengangkat tangan dan tidak ada duduk istirahat sepertimana dinyatakan dalam kitab Fathul Wahhab.

Sumber: Furu al-Masa’il wa Usul al-Wasa’il oleh Maulana al-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan disusun semula Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 10:57 PM