FOTO hiasan. FOTO Saddam Yusoff
FOTO hiasan. FOTO Saddam Yusoff
Suriany Awaludin

Baru-baru ini, saya menerima mesej menyatakan jika berlaku kematian suami yang menjadi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), isteri tidak berhak ke atas simpanan suaminya itu walaupun dia penama yang didaftarkan suaminya.

Sebaliknya, mengikut hukum syariah simpanan KWSP suami itu adalah harta pusaka. Harta itu perlu difaraidkan kepada adik-beradik (waris) suami setelah menyelesaikan hutang-piutangnya.

Bagaimana hak isteri sebagai penama mutlak ke atas simpanan KWSP suaminya? Adakah pembahagian harta mengikut hukum faraid tetap mengutamakan adik-beradik walaupun si mati mempunyai anak lelaki sebagai waris keluarga?

Selain itu, adakah wang KWSP yang dihibahkan masih lagi tertakluk kepada hukum faraid?

Mazlee Mazlan

KWSP mengusahakan kaedah pengurusan wang simpanan ahli supaya ia dapat diuruskan dengan mudah apabila berlaku kematian ahlinya. Pada masa ini, KWSP menyediakan borang dengan menyatakan tugas penama. Penamaan adalah satu pengisytiharan secara bertulis dibuat ahli dalam Borang KWSP 4 bagi melantik atau menamakan seseorang atau mana-mana orang sebagai benefisiari atau wasi/pentadbir (bagi orang yang beragama Islam) ke atas simpanan KWSP apabila ahli itu meninggal dunia.

Penamaan itu bertujuan untuk membolehkan KWSP melepaskan simpanan ahli yang meninggal dunia kepada orang yang dinamakan untuk menerima atau mentadbir (bagi orang yang beragama Islam) simpanan itu dengan segera tanpa mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir. Penamaan itu berkuat kuasa pada tarikh borang penamaan diterima di mana-mana pejabat KWSP.

Merujuk kepada persoalan minggu ini, harta penama itu dikira sebagai harta pusaka orang yang melakukan penamaan.

Penama hanya berperanan sebagai wasi saja dan bukannya harta hibah, harta pemberian atau harta wasiat kepada individu yang dilantik sebagai penama.

Sekiranya diletakkan sebagai harta hibah atau harta wasiat, maka hendaklah memenuhi syarat seperti termaktub dalam undang-undang Islam.

Ia hendaklah ditadbir individu yang diberi hak oleh undang-undang yang akan menghantar surat perintah pembahagian supaya penama mengeluarkan wang itu dari institusi kewangan dan disertakan bersama-sama panduan pembahagian harta pusaka berdasarkan faraid (sijil faraid), seterusnya membahagikannya kepada semua ahli waris yang berhak mengikut kadar yang ditentukan.

Jika penama sendiri enggan mengeluarkan harta itu dan meminta Pegawai Penyelesai Pusaka atau Pegawai Pentadbir Pusaka atau Pemegang Amanah Raya menguruskannya mengikut faraid, maka penama hendaklah menulis surat kepada pihak yang dinyatakan.

Melalui surat itu, pihak berkenaan akan membahagikannya mengikut faraid. Masalah yang mungkin timbul apabila penama yang mengeluarkan sendiri harta itu tetapi enggan membahagikannya kepada ahli waris yang berhak menurut hukum faraid.

Dia boleh bertindak demikian. Jika diteliti dari sudut undang undang Islam, seseorang Muslim hendaklah menjaga dan menguruskan amanah dengan baik kerana matlamat pengurusan harta itu adalah untuk memelihara kesejahteraan dan menghindarkan kemudaratan.

Justeru, individu yang layak menguruskan harta atau mempunyai keahlian yang sempurna menurut syarak ialah individu yang sempurna akal, sejahtera jiwanya, tidak membazirkan harta, mampu menguruskan harta dengan baik serta sihat tubuh badannya supaya tidak mengganggu keupayaannya menguruskan harta.

Selepas penama itu mendapat haknya daripada simpanan KWSP, penama atau isteri wajib membuat pembahagian kepada waris yang layak.

Waris yang layak mendapat harta pusaka suami adalah waris yang diperintahkan oleh mahkamah syariah melalui permohonan sijil faraid.

Sekiranya suami meninggalkan isteri dan anak saja termasuk anak lelaki, adik-beradik suami tidak tersenarai sebagai waris yang layak menerima pusaka.

Oleh itu, amat penting untuk mendapatkan sijil faraid dari Mahkamah Syariah kerana ia bertujuan untuk menentukan waris yang berhak. Kemungkinan ketika kematian, berlaku perubahan kedudukan waris sama ada daripada kalangan waris yang meninggal dunia lebih dahulu daripada penyimpan KWSP berkenaan.

Disebabkan itu, ia perlu ditentukan oleh Mahkamah Syariah. Selain itu, hibah menurut istilah syarak ialah pemberian milik sesuatu tanpa balasan ketika hidup yang dibuat secara sukarela.

Hibah berbeza dengan wasiat kerana pemilikan dalam wasiat berlaku selepas kematian. Hibah juga berbeza dengan jual beli kerana pemilikan dalam hibah tanpa memerlukan balasan sedangkan jual beli memerlukan balasan.

Pemberian secara hibah adalah sah dengan adanya ijab dan qabul. Pemberian secara hibah itu berkuat kuasa serta-merta apabila sempurna semua rukun dan syaratnya.

Ia juga tidak boleh ditarik balik kecuali hibah daripada ibu bapa kepada anaknya. Apabila sesuatu harta itu dihibahkan, ia akan terkeluar daripada pembahagian harta secara faraid kerana pemilikan harta itu berpindah kepada penerima hibah dan bukan lagi berada dalam senarai harta si pemberi.

Merujuk kepada hibah wang KWSP, ia tidak termasuk dalam konsep hibah yang diharuskan oleh syarak.

Ini kerana wang yang dihibahkan tidak berada dalam milikan atau pega-
ngan si pemberi untuk diberi kepada penerima.

Malah jika dihibahkan, penerima masih tidak dapat memiliki wang itu kerana ia hanya boleh dikeluarkan selepas berlaku kematian si pemberi.

Jika berlaku kematian, harta atau wang simpanan yang ditinggalkan menjadi harta pusaka si mati dan bukannya harta milik si penerima hibah.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 11:57 AM