Sedetik Rasa

Setiap manusia sebenarnya mengalami ‘kematian’ kecil iaitu sewaktu mereka tidur.

Itu bermakna, manusia melalui proses kematian pada setiap malam.

Apabila manusia tidur, roh azali diangkat Allah SWT ke sisi-Nya dan yang tinggal hanya roh yang bersatu pada nafas iaitu jiwa.

Namun, tidak ramai mengambil hikmah mengenai kejadian itu.

Dalam Surah az-Zumar, ayat 42, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa daripada badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya ketika matinya dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya, kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).”

Sebab itu penting sebelum melalui ‘kematian kecil’ kita perlu sentiasa mengamalkan doa seperti yang diajarkan Rasulullah SAW.

Dengan membaca doa itu dengan penuh harapan, setiap doa yang dipanjatkan serta perbuatan kita diharap akan terhindar daripada sebarang bentuk musibah dan kematian yang buruk (suul khatimah) selain sentiasa mendapat perlindungan Allah SWT.

Ada beberapa doa yang dianjurkan Rasulullah SAW. Antaranya, “Dengan nama-Mu, ya Allah, aku hidup dan aku mati.” (Hadis diriwayatkan Bukhari, Abu Zar dan Huzaifah)

Dalam hadis diriwayatkan al-Bukhari, Muslim dan Ali, Rasulullah SAW mengajarkan doa sebelum tidur dengan membaca takbir sebanyak 33 kali, tasbih 33 kali dan tahmid sebanyak 33 kali.

Selain itu, dalam hadis lain diriwayatkan al-Bukhari, Muslim dan Aisyah, sebelum tidur Rasulullah membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas.

Selepas membacanya, Rasulullah SAW meniupkan di kedua-dua telapak tangan dan kemudian Baginda menyapu atau mengusap kedua-dua telapak tangannya itu ke seluruh tubuh.

Usapan atau sapuan itu dimulai daripada kepala, muka dan bahagian tubuh sebelah hadapan. Cara itu dilakukan sebanyak tiga kali.

Berdoalah juga kepada Allah SWT supaya jiwa sentiasa dalam jagaan-Nya. Apabila kita tidur, diri tidak berdaya lagi untuk melakukan apa-apa.

Begitu juga dengan urusan yang ditinggalkan akan dijaga oleh Allah SWT.

Apabila dibangkitkan daripada tidur, kita juga perlu mengucapkan doa. Antaranya, doa daripada hadis yang diriwayatkan Ibnu Sunni, daripada Abu Hurairah, “Apabila salah seorang daripada kamu bangun daripada tidur, dia perlu membaca, ‘Segala puji milik Allah yang sudah mengembalikan rohku, sudah menyihatkan jasadku dan sudah mengizinkan aku mengingati-Nya.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 11:54 AM