Fadly Samsudin

Dalam soal makanan, setiap orang perlu menjadi seperti lebah. Lebah apabila makan hanya makan yang baik-baik dan apabila jatuh, jatuh ke atas benda yang baik-baik.

Lebah hanya makan makanan terbaik iaitu intipati dan cecair manis pada bunga-bunga. Akhirnya, hanya mengeluarkan produk terbaik iaitu madu yang sangat bermanfaat kepada manusia.

Apa yang dimakan sebenarnya mempengaruhi karakter dan keperibadian seseorang. Ada beberapa makanan yang dipuji al-Quran dan hadis.

Makanan-makanan itu terpilih kerana manfaatnya kepada kehidupan sihat. Antaranya, minyak zaitun.

Di dalam surah al-Mukminun, ayat 20, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kami tumbuhkan untuk kamu pokok yang asal tumbuhnya di Gunung Tursina yang mengeluarkan minyak dan lauk bagi orang yang makan.”

Di dalam hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Makanlah zaitun dan berminyaklah dengannya. Ada penyakit yang dapat disembuhkan dengannya. Satu di antaranya adalah kusta.”

Minyak zaitun sudah digunakan sejak ribuan tahun dahulu. Pohonnya indah dan akar-akarnya mencengkam ke bumi sehingga dilihat seperti berdiri kukuh.

Di dalam buku ‘Mengapa Rasulullah Tidak Pernah Sakit’ menyatakan, pakar bedah yang menjalankan pembedahan pemindahan jantung pertama di dunia, Dr Christian Barnard menyarankan supaya semua orang belajar bagaimana orang Yunani Crete di kawasan Mediterranean menjaga kesihatan jantung mereka.

Menurut Dr Barnard, komuniti itu adalah yang jarang menghidap serangan jantung.

Antara alasan yang membuatkan masyarakat Crete jarang terkena serangan jantung kerana menjadikan minyak zaitun amalan mereka.

Minyak zaitun mengandungi lemak mono tidak tepu. Lemak itu tidak mempengaruhi peningkatan kadar kolesterol dalam darah, kaya dengan vitamin E dan bersifat antioksidan.

Makanan yang mengandungi antioksidan adalah makanan kelas pertama di dunia kesihatan.

Minyak zaitun mampu melawan radikal bebas dan mencegah banyak penyakit lain seperti tekanan darah tinggi, strok, alergi dan melambatkan proses penuaan.

Mengikut hadis yang disampaikan, Rasulullah SAW biasa mengambil campuran minyak zaitun dan cuka yang menjadi sebahagian menu utamanya setiap hari.

Selain itu, makanan baik, memberi manfaat dan dipuji oleh Rasulullah SAW adalah buah kurma. Ketika Maryam hendak melahirkan Nabi Isa juga, kurma adalah makanan yang disyorkan kepadanya.

Di dalam surah Maryam, ayat 25-26, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.

Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini.”

Walaupun bentuknya kecil, namun kurma mengandungi 50 peratus glukosa ringkas.

Ia dapat digunakan sebagai sumber kalori tanpa melalui proses pemecahan enzim lebih lanjut seperti sumber karbohidrat kompleks lain.

Kurma bermanfaat untuk sistem penghadaman, mencegah sembelit dan menurunkan risiko gangguan kolorektal kerana lapisan kulitnya yang mempunyai serat.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 1:38 AM