TROFI bakal dibawa pulang penerima.
TROFI bakal dibawa pulang penerima.
Nurul Husna Mahmud


PERANAN wanita cukup penting bukan sekadar menjadi pengurus rumah tangga, tapi kini sudah membarisi jawatan tertinggi dalam organisasi tertentu.

Menyedari sumbangan wanita cukup besar dalam masyarakat, AFFIN INVIKTA dan Top 30 Media julungnya kali menganjurkan anugerah berprestij, AFFIN INVIKTA x Malaysia's Top 30 Women of Excellence Awards 2024 pada tahun ini.

Acara berprestij itu dijangka bakal berlangsung pada September ini dengan memberi pengiktirafan kepada pencapaian luar biasa wanita Malaysia dalam pelbagai industri.

Malah, Trofi AFFIN INVIKTA x Malaysia's Top 30 Women of Excellence Awards 2024 juga diumumkan pada acara khas dianjurkan di Menara AFFIN @ TRX, baru-baru ini.

Ia antara lain membuktikan komitmen penganjur dalam meraikan pencapaian wanita tempatan yang berjaya menunjukkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing selain menonjolkan inspirasi di sebalik kisah kecemerlangan, kepimpinan, dan inovasi mereka.

Pengarah Urusan dan Pengasas Top 30 Media, Alvin Sinclair berkata, anugerah itu memberi tumpuan kepada lima teras iaitu pencapaian profesional, kepimpinan dan pengaruh, pembabitan dalam komuniti dan impak sosial, inovasi dan keusahawanan serta keperibadian penerima anugerah itu.

"Kami berbangga apabila AFFIN INVIKTA berkolaborasi dalam program ini. Ini adalah salah satu daripada beberapa program yang diasaskan Top 30 Media.

"Semestinya menerusi program ini, kami mahu menonjolkan sisi luar biasa golongan wanita yang memacu perubahan dan memberi inspirasi kepada orang lain berdasarkan kepimpinan dan kecemerlangan mereka.

DARI kiri Pengarah Eksekutif Kumpulan Bank Affin Bank Berhad, Mohammad Fairuz Mohd Radi, Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah, Pengerusi Affin Bank Berhad, Dato’ Agil Natt, dan Pengarah Urusan Top of 30 Media Mr. Alvin Sinclair, ketika sidang media Anugerah AFFIN INVIKTA X Malaysia's Top 30 Women of Excellence Awards 2024.
DARI kiri Pengarah Eksekutif Kumpulan Bank Affin Bank Berhad, Mohammad Fairuz Mohd Radi, Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah, Pengerusi Affin Bank Berhad, Dato’ Agil Natt, dan Pengarah Urusan Top of 30 Media Mr. Alvin Sinclair, ketika sidang media Anugerah AFFIN INVIKTA X Malaysia's Top 30 Women of Excellence Awards 2024.

"Kami amat berbangga dengan AFFIN INVIKTA yang berkongsi nilai yang sama apabila berkolaborasi meraikan pencapaian wanita berjaya ini dalam penganjuran anugerah berprestij terbabit," katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah, berkata, pihaknya teruja menjadi sebahagian dalam anugerah yang mengiktiraf pencapaian dan sumbangan wanita.

"AFFIN berbesar hati menjadi sebahagian daripada penganjuran anugerah ini. Kami melihat ia meraikan inovasi dan kepimpinan wanita merentasi pelbagai bidang.

"Komitmen kami terhadap mengiktiraf pencapaian dan sumbangan wanita tidak hanya menerusi anugerah ini semata-mata. Ini dibuktikan menerusi beberapa inisiatif seperti AFFINGEM, SME Colony dan Affinita dalam menyokong sosio- ekonomi golongan itu.

"Kami giat memperkasakan golongan wanita agar mereka dapat menggapai impian masing-masing," katanya.

Penganjuran itu turut mendapat sokongan daripada pihak korporat antaranya Brand (M) Sdn Bhd, World Mineral Galleria Sdn Bhd, TTT Bullion (M) Sdn Bhd, Westwood Rivertree Sdn Bhd , LuxuryConcepts Timepieces Sdn Bhd, dan Media Prima Berhad.

Bagi pihak yang berminat mencalonkan tokoh atau ikon wanita bagi anugerah ini masih boleh berbuat demikian sehingga 2 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 6:20 AM