BERKECIMPUNG lebih 15 tahun dalam dunia solekan.
BERKECIMPUNG lebih 15 tahun dalam dunia solekan.
Lizam Ridzuan


Bidang solekan mempunyai cabaran tersendiri dan selain mahu menampilkan wajah lebih jelita, ia juga bagi memastikan wajah tampil sepadan dan tidak terlalu 'over.'

Begitu kisah yang cuba dipaparkan ini, seorang 'beauty guru', Eyra Rizal, 37, yang sudah lebih 15 tahun berada dalam bidang solekan selain dia juga jurusolek kesan khas dengan kemahiran tersendiri.

Selain berguru dengan jurusolek tempatan dan Indonesia, dia gemar melakukan eksperimentasi pada teknik dan warna.

Eyra mula menceburi dunia solekan sejak 2009 selepas tamat pengajian dalam bidang diploma rekaan grafik di sebuah universiti tempatan dan ia adalah sesuai dengan jiwanya yang gemarkan sesuatu yang cantik.

Selain kemahiran yang diasah dan bakat yang dianugerahkan, dia mahu mengembangkan kemahirannya ke arah sesuatu yang lebih mencabar dengan solekan kesan khas untuk drama dan filem.

"Disebabkan saya berminat untuk berkongsi kemahiran, selepas dua tahun saya sudah mula menganjurkan kelas solekan, penjagaan kulit dan menggabungkannya dalam satu sebagai 'sukatan pelajaran' dalam kelas.

SOLEKAN unik yang ditampilkan Eyra.
SOLEKAN unik yang ditampilkan Eyra.

"Kemudian saya mula terbabit dalam dunia solekan untuk program penerbitan rancangan televisyen (TV) selain drama dan filem yang memerlukan keperluan seperti kesan darah, watak seram dan hantu yang mengembangkan minat saya untuk cuba sesuatu yang lain," katanya.

Sejak itu dia bermain dengan solekan ke atas wajah dengan pelbagai corak dan kesan unik yang bukan sahaja menjadikannya sesuatu yang berbeza, malah ramai mahu mencubanya terutama ke majlis khas.

Selepas menempuh pelbagai perjalanan dan pengalaman, pada 2011 dia menubuhkan pasukan solekannya yang diberi nama Eyra Rizal Makeup Team yang menerima jemputan dari negeri di seluruh Malaysia untuk demonstrasi solekan terutama untuk syarikat korporat.

Ia meliputi penerbitan TV, belakang pentas, perkahwinan dan pelbagai acara selain dalam masa sama mengumpul ramai individu yang berminat menjadi jurusolek.

"Kebiasaannya untuk acara pertunjukan dan penggambaran fesyen serta program realiti TV memerlukan ramai jurusolek dalam satu masa, maka pasukan saya mengendalikannya bagi memastikan kelancaran acara dan peserta tampil anggun," katanya.

Menurut Eyra, sejak pandemik Covid-19, dia sudah mula kurang melakukan kelas fizikal untuk jurusolek dan hanya secara dalam talian dan kini fokusnya hanya membuat kandungan yang bersesuaian dengan keperluan kerjayanya.

Menyentuh mengenai solekan kesan khas sememangnya ia bukan sahaja satu bidang yang unik, malah menjadikan sesuatu watak atau karakter itu lebih realistik.

Namun, katanya, bidang itu meskipun memerlukan kemahiran yang tinggi, namun ia tidak begitu diiktiraf di negara ini selain memakan masa lebih lama untuk menyiapkan. Kadangkala kurang dihargai dan tidak dibayar setimpal untuk kerja itu.

Kesan khas kebanyakannya tertumpu kepada kesan luka, parut, darah, kesan tembakan dan lain-lain selain imej fantasi untuk visual futuristik perlu lebih tumpuan dalam penghasilan. Paling sukar ialah solekan 'rostethic' atau 'gore' kerana teknik yang begitu teliti selain produk solekan yang sukar didapati di Malaysia.

TEKNIK solekan menjadikan Eyra 'lelaki'.
TEKNIK solekan menjadikan Eyra 'lelaki'.

"Kesan yang ditampilkan dalam filem itu kebiasaannya tidak ramai yang tahu peranan jurusolek kesan khas yang bertanggungjawab menjadikan sesuatu watak itu hidup dan saya menyeru untuk pihak yang terbabit di belakang tabir supaya diiktiraf peranannya.

"Selain itu, jurusolek kesan khas ini juga perlu menetapkan harga bersesuaian dan tidak mengenakan harga terlalu rendah yang akan menurunkan nilai kemahiran. Ia penting bukan berapa banyak yang perlu dicari, tetapi hasil yang ditampilkan perlu berkualiti," katanya.

Menurutnya lagi, banyak bakat di luar sana yang mempunyai kemahiran sangat baik, namun tidak begitu dikenali dan ia perlu disemai untuk meningkatkan bilangan individu yang berkemahiran seperti itu dalam dunia seni di Malaysia.

"Saya kini fokus memperkasakan wanita terutama buat mereka yang masih solo, ibu tunggal atau suri rumah menerusi seminar berkaitan penjagaan kulit, badan, rambut, kesihatan dan solekan.

"Ia bagi menjadikan mereka lebih anggun dan berketrampilan dalam menyusuri kehidupan ini serta dalam masa sama membuka peluang perniagaan kepada yang berminat," katanya yang mempunyai seorang cahaya mata lelaki.

Selari dengan dirinya yang selalu menjadi hos di laman sosialnya dengan berkongsi tip dan teknik kecantikan, Eyra dipilih sebagai Key Opinion Constumers (KOC) untuk sebuah jenama kenderaan antarabangsa di Malaysia dan berpeluang mengikuti program persidangan antarabangsa di luar negara baru-baru ini.

Ini adalah satu pengalaman baharu untuknya terbabit dalam bidang pemasaran industri automotif tempatan selain merencana minatnya dalam bidang kecantikan untuk digabungkan menjadi satu pada masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 7:02 AM