Hafiz Ithnin


WANITA berbangsa cina berusia 58 tahun ini tertib 'menguli' tanah liat yang diproses untuk dijadikan pelbagai karakter orang-orang kecil atau makanan. Ketelitiannya nyata menghasilkan seni miniatur yang cukup halus.

Minatnya terhadap seni miniatur sebenarnya berputik sejak lapan tahun lalu selepas sahaja bersara di dalam bidang makanan dan nutriasi. Bagi mengisi kekosongan waktu, dia meneruskan minat yang 'tertunda' sejak kecil itu.

Ketika itu, dia mengajar kanak-kanak melukis di sebuah pusat seni lukis di ibu negara dan kemudiannya diperkenalkan seorang rakan kepada individu yang mempunyai minat di dalam bidang sejarah dan miniatur.

Bertitik tolak dari situ, Chua Helen mengasah bakatnya di dalam pembuatan karakter miniatur yang sebenarnya bukan mudah untuk dihasilkan. Apatah lagi kisah setiap miniatur yang ingin dihasilkan bersandarkan sejarah negara.

Chua berkata, dia hanya belajar membuat miniatur itu daripada seorang guru dari Taiwan selama seminggu sahaja kemudian dia mula mengasah bakat secara peribadi dengan melihat rujukan menerusi platform media sosial.

"Sebenarnya untuk mendapatkan karakter maniatur ini boleh saja dibeli di pasaran kerana ada yang sudah siap. Namun, keunikan tempat saya bekerja ini ialah kami menghasilkan pameran maniatur yang berkonsepkan sejarah Malaysia.

"Jadi, karakter yang dijual itu tidak sepadan dengan kehendak kami untuk mempamerkan sebuah penceritaan yang bersandarkan bangsa dan budaya tempatan. Jadi, kita perlu hasilkan sendiri karakter yang diinginkan," katanya.

Chua berkata, sejak lapan tahun lalu dia terbabit dalam penghasilan pelbagai projek persembahan miniatur sejarah di Malaysia untuk dipamerkan dan merasa begitu puas apabila hasil air tangannya menarik perhatian umum.

KETELITIAN Chua dalam membuat maniatur boleh dipuji.
KETELITIAN Chua dalam membuat maniatur boleh dipuji.

Katanya, bagi menghasilkan miniatur yang mempunyai kisah sejarah dan budaya di Malaysia sebenarnya bukan mudah kerana dia juga perlu membuat pembacaan atau mendapatkan rujukan sesuatu karakter yang ingin dipersembahkan.

"Contohnya jika konsep mengenai sejarah Melaka abad ke-15, saya perlu mencari rujukan mengenai zaman itu kemudian barulah dapat menghasilkan karakter miniatur yang diinginkan.

"Jika tidak nanti watak yang ingin dipersembahkan itu tidak mencapai matlamatnya. Bermakna kita bukan sekadar membuat miniatur tetapi perlu membuat kajian atau bacaan mengenai persembahan itu," katanya.

Cerita ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia pada awalnya bekerja sepenuh masa dengan syarikat yang membuat persembahan miniatur di galeri. Namun, sejak dua tahun lalu dia hanya menghasilkannya di rumah dan secara separuh masa sahaja.

ANTARA maniatur yang dihasilkan Chua.
ANTARA maniatur yang dihasilkan Chua.

Jelasnya, faktor usia menyebabkan dia tidak lagi membuat miniatur secara sepenuh masa kerana bagi menghasilkan seni itu dia perlu duduk dan menghasilkannya secara teliti.

"Kini mungkin hanya dua atau tiga jam sahaja saya buat di rumah dan ia lebih mudah. Tambahan pula jika duduk terlalu lama bagi menghasilkan miniatur ini boleh menyebabkan saya sakit belakang.

"Jadi, minat saya masih ada dan hanya dibuat secara separuh masa sahaja di rumah. Perkara ini kerana bagi membuat miniatur ini mengambil masa yang agak lama kadang-kala sehingga tiga bulan bagi mendapatkan keseluruhan karakter di dalam sebuah persembahan," katanya.

Katanya, bagi membuat maniatur bukan sekadar membentuk dan menghasilkan karakter itu sahaja tetapi dia juga perlu membuat pakaian atau busana yang dipakai karakter berkenaan.

"Memandangkan saya membuat maniatur untuk kebanyakan kisah sejarah di Malaysia jadi penghasilan pakaian juga perlu selari dengan sesuatu era yang ingin dipersembahkan seperti pemakaian kain batik atau busana tradisional lama.

MEMASTIKAN karaktor yang dicipta mencerminkan kisah yang ingin dipersembahkan.
MEMASTIKAN karaktor yang dicipta mencerminkan kisah yang ingin dipersembahkan.

"Justeru, saya juga perlu membuat busana itu dan disarungkan kepada miniatur yang sudah siap supaya karakternya lebih nampak asli dan sesuai dengan jalan penceritaan yang ingin disampaikan," katanya.

Katanya, antara cabaran lain bagi membuat miniatur itu ialah tanah liat yang siap diproses mudah mengeras dan hanya bertahan kira-kira lima minit sahaja. Jadi, dia perlu membuatnya dengan cepat.

"Terdapat banyak jenis tanah liat yang diproses bagi membuat miniatur ini tetapi jenis yang saya digunakan lebih sesuai kerana ia mampu bertahan lama apabila dipersembahkan kerana lebih utuh apabila sudah keras.

"Jadi, saya perlu menghasilkan maniatur dengan cepat supaya tanah liat itu tidak keras sebelum dapat menyiapkan karektor yang diinginkan. Jika tidak kita perlu membuatnya semula," katanya.

Katanya, selain puas melihat karakter maniatur yang sudah disiapkan dapat dipersembahkan kepada umum, membuat miniatur juga adalah satu terapi minda kepada dirinya.

"Apabila sudah pencen ini saya rasa tidak tertekan ketika membuat miniatur ini dan ia menjadi satu terapi diri kepada saya kerana anak-anak sudah besar dan mempunyai kerjaya masing-masing.

"Suami dan anak-anak juga amat menyokong saya mengisi waktu lapang dengan membuat miniatur ini kerana mereka tahu saya sememangnya suka mengenai kerja-kerja seni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 7:01 AM