LETAKKAN makanan sihat di dalam peti sejuk pada paras mata.
LETAKKAN makanan sihat di dalam peti sejuk pada paras mata.
Muhamaad Razis Ismail


PEMAKANAN sihat boleh menjadi agak mencabar apabila kita cenderung untuk mendapatkan makanan dengan mudah.

Kadangkala apabila ingin makan sesuatu, kita akan cenderung membuka peti sejuk yang menempatkan pelbagai jenis makanan.

Apabila peti sejuk dibuka, kemungkinan besar anda lebih cenderung untuk mengambil makanan atau minuman yang anda lihat dahulu.

Edison Institute Of Nutrition berkongsi panduan susun atur makanan di dalam peti sejuk dan pada masa sama dapat membantu anda mengamalkan pemakanan sihat.

1.Pastikan kedudukan makanan sihat pada paras mata

Anda lebih cenderung untuk makan makanan yang anda lihat dahulu. Dengan mengekalkan pilihan makanan paling sihat pada paras mata dalam peti sejuk ia membantu anda untuk memilih makanan itu sebelum mencari sesuatu yang lain yang mungkin tidak sihat.

2.Elakkan terlalu banyak pilihan makanan

Terlalu banyak makanan kadang kala boleh menyebabkan anda sukar untuk membuat pilihan. Pastikan anda hanya meletakkan makanan sihat dan diperlukan sahaja di dalam peti sejuk supaya anda lebih mudah membuat pilihan makanan sihat.

3.Sembunyikan makanan tidak sihat

Dalam situasi di mana anda mempunyai pencuci mulut atau makanan ringan, bungkus dan letakkan ia di tempat yang agak tersembunyi supaya tidak terlalu menonjol ketika membuka peti sejuk.

Edison Institute Of Nutrition berkongsi beberapa jenis makanan sihat yang boleh disimpan di dalam peti sejuk:

1.Sayur-sayuran

Simpan sayur-sayuran segar yang dipotong dadu dalam bekas lutsinar di rak tengah peti sejuk anda. Dengan cara ini, anda lebih cenderung untuk mengambil sayur yang sudah siap dipotong.

2.Buah potong

Seperti sayur-sayuran, menyimpan buah-buahan di dalam peti sejuk akan meningkatkan kemungkinan mendapatkan snek yang sihat.

3.Telur

Snek penuh protein adalah pilihan yang bagus. Pertimbangkan untuk membuat telur rebus lebih awal dan simpan di dalam peti sejuk. Ia boleh dimakan sama ada dengan salad, sandwich atau sebagai snek dengan buah atau keropok.

4.Air

Letakkan jag air masak di ruang hadapan atau tengah peti sejuk supaya anda lebih mudah untuk mengambilnya sebagai minuman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 6:55 AM