WANITA juga golongan paling ramai  mangsa ugutan selain penipuan atas talian akibat kurang kesedaran. - FOTO Pexels
WANITA juga golongan paling ramai mangsa ugutan selain penipuan atas talian akibat kurang kesedaran. - FOTO Pexels
Muhammad Saufi Hassan


Kaum wanita bukan sahaja menjadi mangsa buli siber atau ugutan siber, malah semakin kerap menjadi sasaran penipuan digital, termasuk penipuan 'love scam' dan skim penipuan mata wang kripto.

Keadaan ini sekali gus mengakibatkan kerugian dari segi kewangan dan tekanan emosi.

Menyedari hakikat berkenaan, Komuniti Keselamatan Siber Malaysia (rawSEC) antara yang tampil memberikan pencerahan khususnya kepada kaum wanita berhubung langkah pencegahan di ruang sosial.

Biro Komunikasi rawSEC, Sharifah Atira Syed Kamarul Baharim berkata, ia sudah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab komuniti berkenaan dan semestinya untuk dirinya sendiri yang turut bergelar wanita.

"Kami yakin salah satu punca hal ini kerap berlaku adalah kerana kurangnya kesedaran dalam ruang siber walaupun pelbagai usaha dan kempen sudah dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat serta inklusif.

"Antara cabaran dalam memberikan kesedaran terhadap hak wanita di ruang siber adalah kerana kebebasan pengguna dalam mengakses web atau aplikasi yang mempunyai kandungan negatif.

"Kandungan seperti ini memberi impak ketidakpekaan dan normalisasi tingkah laku buli," katanya.

Sharifah Atira berkata, cabaran lain yang dirasakan perlu dipandang serius adalah kurangnya rasa empati.

Beliau berkata, kekurangan empati atau tidak memahami tentang kesan tindakan mereka terhadap mangsa boleh menjurus kepada pembuli terlepas pandang atau meremehkan kerosakan sebenar yang mereka lakukan.

Menurutnya, hak wanita di ruangan siber akan terjejas apabila ada individu yang merasakan perbuatan negatif mereka di atas talian mampu memberikan mereka rasa berkuasa dan kawalan terhadap individu lain.

Mengulas berhubung situasi buli siber, katanya, tidak dinafikan peratusan mangsa buli siber dalam kalangan wanita adalah lebih tinggi berbanding lelaki di negara ini.

SALAH satu punca wanita sering menjadi topik buli di ruang siber kerana kurangnya kesedaran dalam ruang siber walaupun pelbagai usaha dan kempen sudah dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat serta inklusif. - FOTO Pexels
SALAH satu punca wanita sering menjadi topik buli di ruang siber kerana kurangnya kesedaran dalam ruang siber walaupun pelbagai usaha dan kempen sudah dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat serta inklusif. - FOTO Pexels

SHARIFAH Atira ketika memberikan penerangan berhubung kesedaran wanita dalam ruang siber.
SHARIFAH Atira ketika memberikan penerangan berhubung kesedaran wanita dalam ruang siber.

ANTARA cabaran dalam memberikan kesedaran terhadap hak wanita di ruang siber adalah kerana kebebasan pengguna dalam mengakses web atau aplikasi yang mempunyai kandungan negatif. - FOTO Pexels
ANTARA cabaran dalam memberikan kesedaran terhadap hak wanita di ruang siber adalah kerana kebebasan pengguna dalam mengakses web atau aplikasi yang mempunyai kandungan negatif. - FOTO Pexels

"Wanita yang dimaksudkan adalah secara keseluruhan tidak kira peringkat umur, agama atau taraf pendidikan.

"Hal ini membuktikan bahawa kaum wanita adalah sasaran utama untuk dijadikan mangsa jenayah siber.

"Akibat daripada jenayah siber ini mengakibatkan mangsa terkesan daripada segi fizikal dan mental, oleh itu, kaum wanita haruslah sentiasa berhati-hati dan bertindak secara rasional," katanya.

Katanya, antara langkah yang boleh diambil jika berdepan dengan situasi begini ialah melaporkan jenayah siber kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) atau pusat bantuan Cyber999.

"Mangsa juga dinasihatkan untuk menyimpan bukti jenayah seperti mengambil tangkap layar atau menyalin pautan serta menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan undang-undang selanjutnya.

"Selain itu, kepada mangsa jenayah siber yang masih di bawah umur, kami sangat sarankan untuk berkongsi pengalaman itu dengan ibu bapa, guru, atau orang dewasa lain yang dipercayai.

"Kami yakin mereka boleh membantu anda ketika menghadapi situasi ini dan mengawal kesan emosi akibat buli siber," katanya.

Ketika ditanya berhubung tahap literasi digital dalam kaum wanita, Sharifah Atira tidak menafikan hal itu kerana bidang digital rata-rata didominasi kaum lelaki.

Bagaimanapun, beliau berkata, ini bukanlah bermaksud literasi digital dalam kaum wanita adalah sifar.

"Di RawSec, kami berpeluang untuk berjumpa dengan ramai wanita yang bukan sahaja celik namun hebat dalam bidang digital yang diceburi.

"Dengan kewujudan platform aplikasi digital seperti Tiktok dan X, kami percaya akan dapat memudahkan gerakan kesedaran digital untuk pengguna di luar sana terutamanya wanita.

"Tambahan pula, kami juga pernah melihat kandungan kesedaran digital di aplikasi TikTok dan pencipta kandungan adalah seorang wanita," katanya.

Menurutnya, golongan wanita perlu lebih berhati-hati ketika berada di ruang siber untuk mengurangkan risiko daripada menjadi mangsa jenayah siber.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 7:01 AM