PENGHUNI empat pusat jagaan warga emas di sekitar Semenyih digembirakan sempena sambutan Hari Bapa oleh McDonald's Malaysia yang berganding bahu bersama Harian Metro menerusi TKHM.
PENGHUNI empat pusat jagaan warga emas di sekitar Semenyih digembirakan sempena sambutan Hari Bapa oleh McDonald's Malaysia yang berganding bahu bersama Harian Metro menerusi TKHM.
Suliati Asri & Nor ‘Asyikin Mat Hayin


KUALA Lumpur: Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.

Bersempena Hari Bapa, McDonald's Malaysia terus berganding bahu bersama Harian Metro menerusi Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) memperluas inisiatif kemasyarakatannya dalam usaha membawa keceriaan kepada komuniti dengan menyantuni warga emas di pusat jagaan warga emas.

Terbaharu, McDonald's Malaysia dan TKHM tampil kelainan menerusi program Titipan Kasih Harian Metro bersama McDonald's Malaysia Sempena Hari Bapa dengan meraikan 100 warga emas dari empat pusat jagaan warga emas di sekitar Semenyih iaitu Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Pusat Jagaan Warga Emas Al-Fattah, Pusat Jagaan Nur Hasanah dan Pusat Jagaan Insan.

Menariknya, program yang berlangsung di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia itu dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik yang memberikan keceriaan kepada warga emas diraikan.

Selain sesi terapi dan motivasi serta jamuan makan, program itu juga

diserikan dengan acara memotong kek sempena Hari Bapa dan ditutup dengan solat jemaah bersama -sama warga emas.

Menerusi program ini juga, McDonald's Malaysia turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM10,000.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia Datuk Azmir Jaafar berkata sebagai restoran keluarga pihaknya ingin sentiasa mencipta kenangan yang indah bersama komuniti melalui aktiviti yang memberi impak positif dan bermakna untuk kehidupan semua.

Menurutnya, untuk mencapai hasrat itu pihaknya sentiasa berusaha mencari peluang untuk menyumbang kembali kepada masyarakat yang berdekatan dengan restoran McDonald's, lebih-lebih lagi kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang.

"Sempena Hari Bapa, kami ingin dedikasikan sambutan ini kepada semua bapa, walau di mana pun anda berada.

"Jasa anda akan sentiasa dikenang sebagai wira kepada keluarga," katanya.

Majlis turut dihadiri, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro Yusri Abdul Malik, Pengarah Komunikasi Korporat McDonald's Malaysia Shamsidar Yahya, Pengurus Kanan, Komunikasi Korporat McDonald's Malaysia Wan Shariena Bahrom, Pengarang Berita Kanan HM merangkap Pengarah Projek Titipan Kasih Noor Azam Abd Aziz dan Pengarang Berita (Rencana) Hartini Mohd Nawi.

Yusri ketika ditemui berkata program kali ini menampilkan kelainan dengan meraikan hari bapa bersama warga emas di empat pusat jagaan orang tua di sekitar Semenyih.

Katanya, program bukan saja memberi keceriaan terutama kepada golongan bapa yang keseorangan

di pusat jagaan tetapi satu usaha menyampaikan mesej bahawa masih ada yang sayang dan mengambil tahu mengenai mereka.

Jelasnya, sebagai restoran khidmat segera terbesar di Malaysia, usaha dilaksanakan McDonald's Malaysia menerusi pelbagai program komuniti adalah sangat baik kerana ia menyantuni semua golongan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

SUKARELAWAN menyantuni penghuni pusat jagaan warga emas dengan mengagihkan buah tangan.
SUKARELAWAN menyantuni penghuni pusat jagaan warga emas dengan mengagihkan buah tangan.

"Seperti program hari ini, Harian Metro juga sudah banyak kali melaksanakan program kemasyarakatan bersama McDonald's yang menyantuni semua golongan masyarakat daripada kanak-kanak, anak yatim, orang susah hinggalah kepada golongan orang tua.

"Ini memperlihatkan McDonald's Malaysia sentiasa mengambil tahu dan prihatin kepada golongan yang memerlukan.

"Harian Metro menerusi TKHM dan McDonald's Malaysia

juga akan sentiasa berganding bahu menyantuni pelbagai lapisan masyarakat dalam memberi bantuan tanpa mengira kawasan dan latar belakang ekonomi sesuatu masyarakat," katanya.

Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia Azman Razman menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Harian Metro dan McDonald's diatas usaha menyantuni warga pusat jagaan itu menerusi penganjuran program yang nyata memberi kegembiraan kepada mereka.

Menurutnya, program komuniti yang dilaksanakan ini adalah satu langkah yang baik.

SHAMSIDAR (empat dari kiri), Wan Shariena (tiga dari kiri), Yusri (lima dari kiri) dan Azam (dua dari kanan) bersama pengurusan empat pusat jagaan warga emas yang menerima sumbangan.
SHAMSIDAR (empat dari kiri), Wan Shariena (tiga dari kiri), Yusri (lima dari kiri) dan Azam (dua dari kanan) bersama pengurusan empat pusat jagaan warga emas yang menerima sumbangan.

"Saya sangat terharu kerana McDonald's adalah syarikat pertama yang menyambut Hari Bapa bersama warga emas di sini.

"Warga emas memaklumkan bahawa penganjuran program ini adalah hari paling bahagia buat mereka di sini kerana sudah lama tidak ada orang yang meraikan dan memberi mereka hadiah.

"Hari ini, terpancar keceriaan di raut wajah mereka. Kami berharap dengan keceriaan dibawakan oleh TKHM bersama McDonald's ini akan kekal sebagai memori indah kepada ayah di sini dan semoga di pada masa akan datang program ini akan memberikan keceriaan kepada warga emas yang lain juga,"katanya.

Azman berkata, Pusat Jagaan Mahmudah dihuni oleh 47 orang dan kebanyakan mereka adalah terlantar di katil, tidak mampu menguruskan diri, perlu memakai lampin pakai buang dan setiap hari perlu dimandikan serta disuap untuk makan.

"Oleh itu, kami berharap insan di luar sana dapat membantu pusat jagaan Mahmudah yang tidak mengenakan sebarang bayaran dan semuanya adalah 100 peratus percuma," katanya.

Menurutnya, waktu ataupun trend penyumbang selalunya semasa bulan Ramadan. Jadi, apabila ada pihak korporat memberi bantuan dan sumbangan di luar bulan mulia itu, ia sebenarnya cukup bermakna kepada pusat jagaan dalam meneruskan operasi yang memerlukan kos kewangan yang tinggi setiap bulan.

"Jadi, mereka ini sangat-sangat memerlukan sokongan daripada kita semua. Dengan adanya program seumpama ini, ia bukan saja dapat menceriakan dan menggembirakan tetapi dapat mencipta kenangan indah dan terus tersenyum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 7:01 AM