ADAWIYYAHTUNNISA mahu terus harumkan nama negara.
ADAWIYYAHTUNNISA mahu terus harumkan nama negara.
Nurul Husna Mahmud


MEMANAH dalam kedudukan berdiri statik juga sukar mengenai sasaran apatah lagi dalam keadaan perlu melepaskan anak panah ketika menunggang kuda.

Namun itu tidak menjadi masalah buat atlet memanah berkuda, Adawiyyatunnisa Azham Affif yang tampak bersahaja ketika beraksi di '1st International Horseback Archery Masters Tournament' di Xilinhot, Inner Mongolia kelmarin.

Aksi gadis manis berusia 17 tahun itu dikongsi bapanya, Azham Affif Ishak kepada penulis menerusi pesanan WhatsApp secara langsung dari Mongolia.

Menurut Adawiyyatunnisa, dia teruja dapat mewakili negara dalam kejohanan memanah berkuda.

Meskipun tampil sebagai satu-satunya srikandi dalam pasukan disertai oleh sembilan atlet itu, Adawiyyatunnisa tidak mempersiakan peluang apabila muncul dengan memenangi pingat gangsa untuk acara Asian (Chinese Style) Serial Shot dan berada di ranking ke-16 keseluruhan pada hari ketiga kejohanan.

"Dalam kejohanan memanah berkuda, semua peserta adalah pencabar dan pesaing yang perlu diberi perhatian apatah lagi saya masih berusia 17 tahun dan perempuan pula.

"Mereka ada strategi serta pengalaman tersendiri dan ia amat berkait rapat kepada skil, kecekapan dan peralatan yang masing-masing gunakan.

"Kedudukan dalam pertandingan boleh berubah sekelip mata dengan hanya perbezaan skor pada satu anak panah dan perbezaan satu saat larian kuda.

"Kelebihan mungkin ada pada atlet yang ada kemahiran memanah dinamik dan kemahiran menunggang kuda kesatria.

"Bagi saya setiap kali dalam pertandingan tidak kiralah peringkat mana pun sehingga ke peringkat dunia sekarang ini, fokus dan penyerahan diri kepada takdir Allah adalah senjata utama saya," katanya.

Tambah Adawiyyatunnisa, dia bersyukur pendedahan awal oleh bapanya seawal usia 11 tahun dalam pertandingan banyak membantunya menangani tekanan dalam pertandingan.

"Minat dan pendedahan utama adalah daripada ayah yang sepenuh masa berkecimpung dalam aliran seni bela diri memanah berkuda.

"Kami sekeluarga iaitu ibu dan dua adik lelaki turut dilatih ayah. Maka persekitaran kami sangat membina dan membantu perkembangan aktiviti memanah berkuda saya.

"Bahkan sejak 2021, ayah membuat keputusan untuk berpindah ke ladang kecil di Hulu Langat, Selangor supaya kami dapat pelihara kuda di kawasan tempat tinggal dan berlatih sekerap mungkin.

"Seawal usia 11 tahun saya sudah mewakili Kelab Seni Panahan Jawi untuk Pertandingan Memanah Berkuda Piala Botani 2018 di Shah Alam.

"Pada usia 12 tahun juga saya sudah mewakili Malaysia kategori remaja (kanak-kanak perempuan pertama mewakili negara di luar negara) dalam kejohanan '14th World Horseback Archery Championship' di Sokcho, Korea Selatan," katanya.

Menyentuh keunikan dan kesesuaian sukan itu untuk wanita, kata Adawiyyatunnisa, Ia memberi ruang wanita bersaing bersama-sama dengan lelaki.

"Dalam sukan memanah berkuda terutama kejohanan dunia, kategori adalah terbuka yang mana jika atlet itu ada kemahiran, tidak kira umur atau jantina boleh bersaing sekali.

"Dalam kejohanan dunia di Mongolia, lima atlet wanita bersaing bersama-sama 44 atlet lelaki dalam pertandingan yang sama.

"Ini membuktikan sukan ini tidak pernah mendiskriminasikan individu sebaliknya meraikan wanita dalam sukan lasak," katanya.

Tambah Adawiyyatunnisa, suasana atau bagaimana atlet setiap negara tampil mengenakan persalinan tradisional masing-masing menambahkan lagi keunikkan kejohanan memanah berkuda terbabit.

"Keunikan dalam disiplin sukan memanah berkuda, berlainan dengan genre memanah dipertandingkan secara profesional. Setiap peserta memanah berkuda akan menggayakan busana tradisi untuk menunjukkan identiti bangsa atau negara asal mereka.

"Ini membuatkan pertandingan sukan bela diri terbabit yang selama ini dianggap ekstrim lebih berwarna-warni dan meriah.

"Untuk atlet pula, bukan sahaja nampak cantik, tapi ia membangkitkan semangat dan seakan membawa aura yakni sokongan moral serta kebersamaan daripada keluarga dan masyarakat yang diwakilinya," katanya.

Anak sulung kepada pasangan Azham Affif dan Azewati Mohamad Noh itu tidak lupa menitipkan harapan tinggi untuk masa depan sukan terbabit.

"Malaysia secara umumnya sudah mencipta nama di peringkat antarabangsa dalam sukan memanah berkuda sejak tahun 2017 lagi.

"Saingan sengit tentu sekali Mongolia dan Kazakhstan amat mendominasi kedudukan tangga teratas dalam kebanyakan kejohanan peringkat Asia kini.

"Bagaimanapun, kualiti jurulatih dan sekolah memanah berkuda di Malaysia tetap ada 'bisanya' dan ia terbukti menerusi keputusan pertandingan.

"Andai kemudahan dan sokongan dana dapat diberikan pihak kerajaan mahupun swasta terhadap usaha membangunkan sukan itu, tentunya prestasi atlet negara akan lebih menyerlah," katanya.

Dia juga berharap tenaga pengajar wanita dalam sukan itu dapat lebih banyak dilahirkan.

"Alhamdulillah semakin ramai wanita mempelajari disiplin memanah berkuda tetapi bilangannya masih boleh dikira terutama yang berkelayakan untuk bertanding di peringkat nasional.

Ini kerana kegiatan ini amatlah mencabar dan lasak. Risiko kemalangan dan kecederaan agak tinggi.

"Tenaga pengajar wanita yang diiktiraf di peringkat nasional baru seorang dan ia menyukarkan lagi kaum hawa yang kebanyakannya agak pemalu untuk dilatih jurulatih lelaki.

"Saya berharap dengan pencapaian ini dapat menarik perhatian lebih ramai wanita untuk sertai dan melangkah lebih jauh dalam sukan memanah berkuda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 7:01 AM