PESERTA kursus asas Malim Gunung Perhutanan (MGP) mempelajari cara ikatan tali ketika berada dalam hutan.
PESERTA kursus asas Malim Gunung Perhutanan (MGP) mempelajari cara ikatan tali ketika berada dalam hutan.
Mohd Rafi Mamat

 

DALAM kelembutan tersemai kekuatan mental dan fizikal dalam diri 400 wanita yang berperanan sebagai pemandu pelancong.

Mereka ini memiliki kecekalan tinggi bersahabat dengan alam dan menjadikan bukit, gunung serta hutan sebagai lokasi kunjungan yang begitu setia.

  Pada masa sama, mereka adalah individu istimewa apabila diiktiraf sebagai Malim Gunung Perhutanan (MGP) oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) yang mempunyai lesen bagi membawa pelancong menjelajah kawasan pelancongan yang terdapat dalam hutan simpan kekal di Semenanjung Malaysia.

  Paling menarik latihan diberikan selain pendedahan dalam pelbagai perkara seperti pertolongan cemas, ikhtiar hidup, undang-undang, pandu arah, ikatan tali, kompas, memasang khemah dan membaca peta.

  Bagi Shahrifah Musyabani Syed Muhammad, 40, pengalaman lebih enam tahun sebagai pemandu pelancong di Terengganu memberi kelebihan kepadanya ditauliah sebagai anggota MGP.

  Menurutnya, sebelum ini dia hanya terbabit sebagai pemandu pelancong yang lebih pada hobi setiap hujung minggu tanpa memiliki kemahiran khusus yang perlu ada pada seorang pemandu pelancong.

Katanya, untuk menjadi MGP individu terbabit perlu mengikuti tiga peringkat kursus yang disediakan JPSM sebelum diiktiraf sebagai MGP berlesen.

  "Saya berbangga menjadi MGP yang akan bertanggungjawab mempromosi tempat menarik terdapat dalam kawasan hutan simpan kekal yang menyimpan pelbagai khazanah alam semula jadi. Air terjun, tasik, bukit, gunung, pokok balak dan jeram antara produk yang sedia menanti pelancong.

PENGARAH Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Roslan Rani dan Mohd Yussainy Md Yusop (kanan) pada Majlis Penutup Kursus Asas MGP di Janda Baik, Bentong.
PENGARAH Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Roslan Rani dan Mohd Yussainy Md Yusop (kanan) pada Majlis Penutup Kursus Asas MGP di Janda Baik, Bentong.

  "Selain itu, saya juga lebih tertumpu membawa pelancong menjelajah tempat menarik terdapat dalam kawasan hutan simpan di Terengganu antaranya Bukit Tangga, Bukit Tawang, Gunung Tebu dan  Gunung Sarut," katanya pada Majlis Penutup Kursus Asas MGP yang disempurnakan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Roslan Rani di Janda Baik, Bentong, baru-baru ini.

  Seramai 116 peserta dari Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak, Johor, Selangor, Kedah, Perlis, Melaka dan Negeri Sembilan menyertai kursus selama lima hari itu. Kursus teori dan amali itu anjuran JPSM mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

  Shahrifah Musyabani berkata, sokongan suami, Sharul Adli Adam, 45  yang juga ahli MGP menambahkan lagi semangatnya terus terbabit sebagai pemandu pelancong di Terengganu.

Peserta dari Johor, Kuah Shok Poh, 46, berkata, pengalaman mengikut kursus MGP di Janda Baik kali ini begitu mencabar terutama ketika mengikuti latihan menyelamat di air dan berjalan dalam hutan.

  Katanya, peserta bukan sahaja belajar cara menyelamat diri sendiri tetapi juga kumpulan pelancong di bawah jagaan kita. Semua langkah keselamatan ketika menyeberang sungai dan aktiviti perkhemahan berhampiran sumber air perlu diberi keutamaan.

  "Pengalaman kursus amat penting kerana tanpa kemahiran tidak mungkin MGP dapat membantu pelancong terutama ketika berlaku kecemasan dalam hutan yang jauh dari jalan utama.

  "Ini kali pertama saya mengikuti kursus MGP anjuran JPSM membabitkan kursus asas, selepas ini saya perlu mengikuti kursus lanjutan (penyelamat) dan kursus lanjutan perhutanan," katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun sebagai pemandu pelancong di Johor.

  Rakannya, Noor Hasmida Abdul Halim, 38 dari Perak mengakui amat penting kursus yang diadakan bagi memberi ilmu perhutanan selain pertolongan cemas yang dapat digunakan sekiranya berlaku perkara tidak diingini dalam hutan.

  "Sepanjang aktiviti pendakian kemungkinan berlaku pelancong yang sesak nafas, dengan kemahiran dimiliki saya mampu memberi pertolongan awal dengan cara bantuan pernafasan atau 'Cardiopulmonary Resuscitation' (CPR).

  "Setiap MGP juga memiliki kemahiran menggunakan kompas selain membaca peta kawasan yang dilawati, sekiranya tersesat kebolehan berkenaan mampu menyelamat mereka," katanya yang berpengalaman lebih tiga tahun sebagai pemandu pelancong di Perak.

Sementara itu, Pengarah Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri JPSM, Mohd Yussainy Md Yusop berkata, MGP bertanggungjawab sepenuhnya membawa pelancong tempatan dan antarabangsa mengikuti aktiviti dalam hutan simpan kekal yang diwartakan jabatan perhutanan negeri di Semenanjung.

  Katanya, kini terdapat seramai 1,877 MGP lelaki dan wanita yang berdaftar dengan JPSM dan mereka bertanggungjawab mempromosi produk pelancongan yang terdapat dalam kawasan hutan simpan kekal di Semenanjung.

"Program MGP mula diperkenalkan pada 2020 sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 menjadi barisan hadapan JPSM dan Kementerian Sumber Asli dan Kelastarian Alam (NRES) dalam membantu pendaki sebagai penunjuk arah pendakian selain berperanan sebagai first responder (bantu mula) sekiranya berlaku kecederaan dan kemalangan semasa aktiviti pendakian.

  "Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (2023-2025) pihaknya menerima peruntukan sebanyak RM5.5 juta daripada kerajaan bagi melatih MGP bagi  memberikan perkhidmatan lebih cekap dan profesional dalam aktiviti pendakian dalam kawasan hutan simpanan kekal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 7:01 AM