PENGGUNAAN alat tidak sesuai ketika haid boleh mendatangkan ketidakselesaan.
PENGGUNAAN alat tidak sesuai ketika haid boleh mendatangkan ketidakselesaan.
Hafiz Ithnin


PENGGUNAAN tampon dan cawan haid atau 'menstrual cup' menjadi pilihan kebanyakan wanita yang sudah berkahwin dan aktif melakukan hubungan seks berbanding penggunaan tuala wanita ketika golongan itu didatangi haid.

Perkara itu dikongsikan Pakar Obstetrik dan Ginekologi Avisena Women's and Children's Specialist Hospital Shah Alam, Dr Norleen Mohd Salleh.

Pakar itu menjelaskan, penggunaan cawan haid dan tampon popular dalam kalangan wanita kerana mereka tidak perlu khuatir mengenai isu selaput dara atau himen iaitu lipatan membran yang menutup sebahagian luar vagina.

Katanya, tampon mempunyai ciri-ciri kecil, lembut, datang dalam pelbagai saiz dan senang disimpan serta dibuang.

Namun, kesesuaiannya bergantung pada keyakinan pemakai untuk membiasakan diri memasukkan tampon dalam faraj dengan teknik yang betul.

"Tampon sesuai untuk wanita yang aktif dalam sukan, kembara dan yang bekerja dalam waktu yang panjang. Perlu ditukar antara enam hingga lapan jam mengikut saiz.

"Perkara ini penting untuk mengelakkan darah haid tersimpan terlalu lama yang mengundang jangkitan. Sindrom kejutan darah (toxic shock syndrome) walaupun tidak biasa berlaku, agak membahayakan akibat jangkitan kuman dalam faraj dan seterusnya dalam pelvis," katanya.

Menjelaskan mengenai cawan haid pula katanya, alat itu adalah inovasi terkini untuk wanita. Ia diperbuat daripada bahan plastik mudah lentur dan perlu ditukar setiap 12 jam selepas penggunaan.

PAD sanitari antara yang popular digunakan wanita.
PAD sanitari antara yang popular digunakan wanita.

"Cara penggunaan cawan haid memerlukan latihan. Ia tidak mahal, boleh dipakai semula, senang dicuci dan mesra alam kerana tidak perlu dibuang melainkan sudah koyak. Kadangkala bahan ini memerlukan pelincir untuk memudah cara penggunaan ketika memasukkannya dalam faraj.

"Bahan ini dapat mengekalkan nilai keasidan dan kealkalian (pH) dan ekoflora faraj selain kurang menimbulkan bau akibat bakteria kepada wanita yang menggunakannya," katanya.

Jelasnya, tampon dan cawan haid , jika dipakai dengan betul, tidak menyakitkan si pemakai. Namun, perlu berhati-hati terutama jika ada tanda-tanda sakit dalam faraj, lendiran faraj yang gatal, berbau atau bertukar warna kerana perkara sebegitu adalah gejala jangkitan faraj yang perlu rawatan sesuai.

"Seperkara lagi, wanita yang belum berkahwin sebenarnya tidak perlu mempunyai kebimbangan mengenai kerosakan pada selaput dara kerana penggunaan alat berkenaan walaupun berpotensi berlaku kerana khuatir dianggap sudah melakukan hubungan kelamin sebelum berkahwin.

TAMPON sesuai untuk wanita yang aktif bersukan.
TAMPON sesuai untuk wanita yang aktif bersukan.

"Stigma ini perlu diubah kerana kerosakan selaput dara bukan atas faktor hubungan kelamin sahaja. Jadi, masyarakat perlu memahami mengenai faktor lain seperti seseorang anak gadis itu menggunakan tampon atau cawan haid ketika tempoh haid berlaku," katanya.

Dr Norleen menambah, ibu atau penjaga juga belum bersedia memperkenalkan tampon atau cawan haid berkenaan kepada gadis yang kali pertama mendapat haid (menarche) kerana ia dilihat sesuatu yang kompleks berbanding penggunaan pad sanitari yang lebih popular digunakan untuk wanita belum berkahwin.

"Dari segi sejarah awal, ada evolusi kaedah penyerapan bermula dari zaman sebelum tamadun apabila daun kering digunakan sebagai pelapik pada alat sulit wanita ketika mereka didatangi haid.

"Seterusnya, kain pula menggantikan kaedah itu dan ia bertahan agak lama sehingga sekitar akhir tahun 60-an. Waktu ini pad sanitari mula diperkenalkan dengan gelungan tepi untuk digantung ke tali pinggang. Kaedah ini kemudian diinovasi ke bahan yang kuat menyerap, hipoalergenik sama ada dengan atau tanpa pewangi," katanya.

Menjelaskan mengenai pad sanitari katanya, kaedah pakai buang pad menyumbang pada pencemaran hasil sisa pembuangan kerana ia bukan suatu bahan yang tidak mudah terlupus.

PENGGUNAAN cawan haid memerlukan latihan.
PENGGUNAAN cawan haid memerlukan latihan.

"Cara pembuangan juga perlu diberi perhatian iaitu dibungkus rapi kerana khuatir mampu mengundang vektor penyakit berjangkit seperti lalat. Ia juga tidak boleh dipam melalui mangkuk tandas.

"Pad sanitari dari segi belanjawan kekal harga termampu. Ia masih popular dalam kalangan remaja kerana mudah dipakai. Apatah lagi, di pasaran ketika ini mempunyai teknologi terbaharu dengan ciri-ciri seperti bersayap untuk mengelakkan kebocoran tepi, berpelekat supaya lebih statik, pelbagai saiz untuk hari yang lebih berdarah dan didatangkan dengan pewangi untuk meresap bau kurang menyenangkan," katanya.

Tambahnya, terdapat segelintir pemakai yang mengalami ruam sentisif pada bahan pad mahu pun bahan pewangi.

Untuk golongan ini, ada pad yang diperbuat daripada fabrik hipoalergenik yang boleh dicuci dan dipakai semula walaupun daya serapan agak kurang daripada pad pakai buang.

"Pastinya pemilihan kaedah ini perlu kaunseling dari doktor, izin lisan daripada ibu bapa atau penjaga terutama pada sesi kaunseling kepada remaja yang kali pertama mengalami haid.

"Disarankan sesi kaunseling umum diadakan di peringkat sekolah rendah dan menengah atas untuk persiapkan gadis melangkah alam akil baligh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 7:01 AM