AKSI NOOR Nadira sudah mampu melakukan aktiviti luncur udara secara solo.
AKSI NOOR Nadira sudah mampu melakukan aktiviti luncur udara secara solo.
Nurul Husna Mahmud


MELAKUKAN terjunan dari pesawat di udara dengan ketinggian beribu kaki diibaratkan sebagai 'kerja gila' atau perbuatan menempah maut.

Namun tidak bagi Noor Nadira Mahidan, 38, apabila menyifatkan sukan ekstrim udara boleh menjadi aktiviti rekreasi selamat bagi yang gemarkan cabaran ketinggian.

"Sukan ekstrim udara seperti terjun udara (skydiving) dan luncur udara (paragliding) sudah lama ada dalam senarai 'bucket list' dan ia hanya tercapai selepas berkahwin.

"Saya tunggu anak-anak besar dahulu dan ada modal yang cukup untuk belajar, barulah ikut sertai kelas sukan udara," katanya ibu kepada tiga cahaya mata lelaki itu.

Noor Nadira berkata, dia bermula dengan disiplin sukan luncur udara dan disusuli aktiviti terjun udara iaitu mendarat statik (static landing).

Pembabitan dalam sukan ini kata Nadira, bukan untuk cari 'penyakit' tetapi dia mengikuti saluran betul iaitu berguru dengan pakar dalam sukan berkenaan demi merealisasikan impian sudah lama disimpan.

Penyertaan dirinya dalam sukan itu juga dapat memberi inspirasi kepada wanita di luar yang mempunyai impian sama.

"Saya suka berkongsi dan sebenarnya aktiviti ekstrim ini lebih menyeronokkan jika dilakukan beramai-ramai.

"Malah saya sendiri ambil inisiatif untuk ketengahkan sukan ekstrim udara kepada penggiat sukan ekstrim tempatan.

"Mula-mula saya ajak rakan rapat atau memiliki hobi yang suka kepada aktiviti lasak. Saya jalinkan kerjasama dengan operator tempatan untuk anjurkan acara.

"Saya cuba tingkatkan kesedaran mengenai penyertaan sukan udara ekstrim secara selamat dengan kerjasama penggiat yang berpengalaman," katanya.

Menurutnya, cabaran penggiat atau sukan udara untuk berkembang ialah kerana kekangan modal atau sumber kewangan.

"Namapun sukan udara dan ekstrim, peralatan digunakan biasanya 'high spec' kerana ia membabitkan nyawa.

"Standard prosedur operasi sangat ketat dan bermakna kos juga tinggi. Sebaik ia bermula dari 'ground' hinggalah masuk ke pesawat semuanya memerlukan penelitian atau kemahiran pakar.

"Malaysia yang kita ketahui sukan ini bukan sukan arus perdana, fasiliti sehinggalah kepada peralatan adalah inisiatif operator dan komuniti. Tidak semua sanggup melabur untuk hobi yang mahal," katanya.

Noor Nadira sendiri mengakui pelaburan awal untuk menceburi sukan luncur udara ialah RM3,000 dan RM 5,000 bagi terjun udara.

"Saya harung cabaran sukan atas keinginan minat dan impian. Sukan udara perlukan komitmen tinggi kerana latihan diperlukan penting untuk keselamatan penggiatnya.

"Komitmen sukan itu sendiri sangat berat apatah lagi bagi wanita sudah berkeluarga. Contoh saya sendiri, apabila anak sakit atau ahli keluarga tidak dapat jaga anak sementara saya berlatih, saya terpaksa tinggalkan latihan.

"Saya bersyukur apabila suami, Muhammad Yusof Yaakub, 40, menjadi penyokong begitu juga keluarga, ibu bapa serta sebelah mentua sanggup mengambil peranan menjaga anak supaya saya dapat ikuti latihan," katanya.

Selain restu pasangan, Noor Nadira mengakui sistem sokongan terutama daripada keluarga sangat penting kepada wanita yang terbabit dalam sukan ekstrim udara.

"Inspirasi saya pula selain minat, saya baru tahu selepas saya sertai sukan terjun udara, ibu saya mengatakan bapa saya juga menyimpan impian sama.

"Bapa saya adalah pesara tentera laut dan pernah berhasrat menyertai unit terjun udara tetapi tidak direstui ibunya (nenek).

"Sekarang apabila saya lakukan aktiviti ini, bapa adalah orang yang paling teruja dan untuk diri sendiri seolah-olah saya berjaya menunaikan hasratnya," katanya.

Noor Nadira menyimpan impian untuk terjun udara di Thailand kerana fasiliti di negara jiran dikatakan antara pusat sukan itu yang terbaik di rantau Asia Tenggara.

"Hasrat saya yang terdekat ialah terbang ke Thailand untuk lakukan terjun udara di sana. Saya juga hendak belajar pengurusan sukan itu dengan pihak sana.

"Saya berharap satu hari nanti ada pusat sukan terjun udara dengan fasiliti lengkap ada di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 7:02 AM