KINI memilih kerjaya yang mempunyai masa fleksibel.
KINI memilih kerjaya yang mempunyai masa fleksibel.
Lizam Ridzuan dan Suhaila Khairie

Lebih lima tahun lalu, wanita ini mengambil keputusan meninggalkan dunia korporat yang dicintai untuk beralih kepada sesuatu yang lebih diminati demi mencabar keupayaan diri.

Itulah antara pilihan dalam perjalanan hidup Darlene Harifin, 39, yang juga seorang penasihat takaful, pempengaruh media sosial dan disc jockey (DJ) selain sentiasa aktif sama ada di dalam kerjaya atau gaya hidupnya

Mengimbau kisah pada 2006, Darlene pernah menjadi finalis pencarian Remaja Media Hiburan seterusnya mula membina kerjaya selepas meraih tempat lima teratas dalam pertandingan berkenaan.

Meskipun pernah menerima beberapa tawaran untuk berlakon dalam filem, namun minatnya yang mendalam dalam bidang muzik mendorong Darlene mengorak langkah sebagai DJ.

"Awalnya memang agak susah kerana saya bermula daripada kosong dan hanya belajar sendiri, tapi berkat usaha dan kesungguhan, saya dapat menguasai cara menggunakan peralatan DJ hanya selepas sebulan mempelajarinya," katanya yang cukup dikenali sebagai DJ

Cassie D.

Ketika menjadi DJ dia berpeluang membuat persembahan dalam acara-acara besar malah pernah beraksi dalam festival muzik di Filipina, Indonesia, Bangkok dan Sri Lanka dan satu-satunya wanita Melayu yang berada dalam kelompok itu.

Ketika itu beliau bertugas dalam dunia korporat di salah sebuah syarikat gas dan petroleum di negara ini dan perlu mengimbangi masa di antara kerjaya dan muzik.

Ditambah pula aktiviti hujung minggunya semakin sibuk selepas memiliki motosikal berkuasa tinggi Aprilia Shiver 750 dan kemudian bertukar kepada Honda CBR1000RR yang sentiasa aktif dengan program 'track day.'

Namun sudah pasti jiwa kelajuan Darlene ini menyebabkannya pernah terbabit dengan beberapa kemalangan sama ada di atas jalan raya atau jatuh di litar perlumbaan.

"Saya pernah terbabit dalam kemalangan sehingga hampir terputus jari dan mengalami kecederaan teruk di bahagian hidung yang menyebabkan saya trauma serta mengambil masa setahun untuk sembuh," katanya.

KEKAL positif dalam kehidupan.
KEKAL positif dalam kehidupan.

Anak ketiga daripada tujuh beradik itu bercerita, dia terpaksa melakukan pembedahan plastik pada muka dan sejak itu dia berehat sebentar dalam dunia muzik dan kerjaya sehinggalah pulih dan memilih untuk berundur daripada dunia koprorat selepas itu.

Maka bermulah kerjaya baharunya sebagai penasihat takaful sejak era Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana mengalami permintaan kerja yang berkurangan membuatkannya nekad untuk memilih haluan berbeza.

"Dorongan utama saya untuk menceburi bidang takaful adalah kerana kos rawatan ibu saya yang sedang mengalami sakit jantung adalah tinggi selain saya dapati masih ramai yang tidak mempunyai perlindungan takaful ketika pandemik Covid-19 melanda dunia.

"Niat saya adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan perlindungan takaful dan paling utama ialah waktu kerja yang fleksibel juga memudahkan saya untuk bekerja mengikut masa sendiri dan kembali aktif dengan muzik," katanya.

Tidak pernah serik, Darlene juga kini memiliki sebuah lagi motosikal berkuasa tinggi iaitu Harley-Davidson XR1200 bagi memenuhi jiwa permotorannya namun sentiasa lebih berhati-hati dan sentiasa mengenakan kelengkapan sempurna apabila menunggang.

Darlene yang sudah bekerja selama tiga tahun dalam bidang takaful itu berkata, dia mampu melakukan semua pekerjaan ini disebabkan ia memberi kepuasan dan kegembiraan buat dirinya.

"Perkara paling penting adalah untuk kekal positif dan menjadi teratur apabila sebelah siang saya akan fokus kepada kerjaya sementara sebelah malam pula saya luangkan dua jam untuk mencipta lagu dan hujung minggu pula saya menunggang 'superbike' bersama rakan-rakan.

"Saya juga jarang mengeluh disebabkan penat dan kita perlu rajin berusaha untuk berjaya kerana tiada siapa yang akan bantu selain diri kita sendiri," katanya pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Meskipun dilihat ceria, namun dia dan pasangannya yang sudah mendirikan rumah tangga lebih sembilan tahun itu masih belum dikurniakan cahaya mata bagaimanapun, sentiasa berusaha dan berdoa ke arah itu.

"Saya sudah tiga kali melakukan proses rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) dan diharap kali ini akan membuahkan hasil namun saya reda atas segala ketentuan dari-Nya dan setiap yang berlaku sudah pasti ada hikmah di sebalik itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 7:02 AM