Sejak usia sembilan tahun lagi wanita ini menjadi pemerhati setiap gerak-geri pekerjaan bapa angkatnya di bengkel kereta.
Ketika itu tugasnya hanya menyusun satu persatu pelbagai peralatan yang diperlukan mekanik bagi memudahkan pekerja di bengkel membaik pulih pelbagai ragam kerosakan kenderaan pelanggan.
Bertitik tolak dari situ, Stephanie David, 34 mula mencintai dunia yang didominasi kaum Adam.
Sehingga pada usia kira-kira 14 tahun, dia sudah tahu serba sedikit cara membaiki kenderaan yang hanya dipelajari daripada pemerhatian sejak kecil.
Pada usia 24 tahun pula, Stephanie memberanikan diri membuka bengkel membaik pulih kenderaan sendiri di Kota Kinabalu, Sabah.
Mungkin di negeri itu dia adalah satu-satunya wanita yang bukan sahaja menjadi pemilik bengkel, malah mekanik wanita.
"Hati perlu kuat!," jelasnya kepada penulis tatkala ditanya mengenai cabaran dilalui dalam dunia membaiki kenderaan.
Stephanie berkata, sepanjang menjadi mekanik wanita, pelbagai ragam pelanggan sudah dihadapinya. Daripada memuji sehingga menguji kesabaran semuanya berada dalam kamus kerjayanya.
"Disebabkan itu saya katakan, menjadi mekanik ini perlu mempunyai hati yang kuat. Bukan mudah berurusan dengan pelanggan.
"Kadangkala ada segelintir pelanggan yang melihat saya wanita mungkin tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai kenderaan. Bagi saya itu adalah asam garam menjadi mekanik," katanya.
Jelasnya, membaiki kenderaan bukan suatu hal yang mudah kerana ia adalah tanggungjawab besar bagi memastikan kenderaan yang dipandu pelanggan berada dalam keadaan selamat.
"Sebelum menyerahkan semula kunci kepada pelanggan kita perlu pastikan kenderaan itu dalam keadaan baik kerana jika rosak mungkin boleh menyebabkan risiko kepada pemandu itu sendiri.
"Jadi, saya juga sentiasa memastikan kenderaan yang sudah dibaiki benar-benar bersedia dipandu kerana jika berlaku kesilapan, kemalangan mungkin boleh berlaku kepada pemilik dan itu adalah tanggungjawab besar yang perlu diberi perhatian," katanya.
Jelasnya, tangan cedera ketika membaiki kenderaan bukan sesuatu yang asing bagi dirinya kerana ia adalah perkara yang biasa dan kadangkala sukar untuk dielakkan.
"Tangan luka ketika bekerja itu sudah menjadi perkara biasa kerana biarpun kita lakukan dengan cermat jika ia ingin berlaku sukar untuk dielakkan.
"Bagi saya jika luka hanya basuh dan teruskan kembali bekerja kerana jika kita fikirkan mengenai kesakitan sampai bila pun sukar menyiapkan kenderaan pelanggan," katanya.
Stephanie kini mempunyai lima pekerja dan sebagai majikan, tiada istilah hanya duduk dalam bilik penyaman udara, malah turut sama membantu menyiapkan kenderaan pelanggan.
"Bagi saya walaupun sebagai majikan, bukan bererti kita hanya duduk dan memerhati sahaja, tetapi perlu turut sama-sama berkerja dengan 'anak buah' yang lain kerana saya lebih selesa begitu.
"Saya juga tidak kekok bekerja dengan lelaki kerana perkara ini sudah dilakukan sejak saya berusia sembilan tahun," katanya.
Katanya, menjadi mekanik sebenarnya tidak begitu sukar apabila sudah memahami mengenai setiap komponen dan cara ia berfungsi.
"Jujurnya saya tidak mempunyai guru yang mengajar saya dalam bidang membaiki kenderaan dan saya belajar semuanya sendiri.
"Sejak berusia sembilan tahun dan hanya menjadi penyusun alatan kemudian saya membaca serta mempraktikkan cara komponen dalam kenderaan berfungsi dan memahaminya. Jadi, bagi saya pekerjaan ini mudah, tetapi penuh tanggungjawab," katanya.
Katanya, jika ada wanita yang ingin menjadi mekanik sepertinya bukan suatu hal yang mustahil. Pokok pangkal minat dan bulat hati untuk meneruskan niat itu.
"Pertama secara asasnya perlu memahami cara membaiki dan menimba pengalaman sendiri untuk memulihkan sesuatu kenderaan. Kedua hati perlu cekal apabila berdepan pelanggan.
"Kadangkala apabila berdepan pelanggan yang mempercayai cara kita ia adalah suatu rahmat, tetapi apabila berdepan pelanggan yang berasakan dirinya sahaja betul, ia sesuatu cabaran," katanya.
Akuinya, sikap tegas dan sentiasa berilmu adalah perkara penting apabila berdepan pelanggan pelbagai kerenah seperti itu.
Jelasnya lagi, tiada yang mustahil untuk wanita pada hari ini berada dalam kerjaya yang sering didominasi lelaki jika mempunyai minat dan hati yang kental.