Semangat patriotik dan cintakan negara perlu disemai sejak daripada kanak-kanak kerana mereka generasi pelapis yang akan menjadi pemimpin suatu hari nanti.
Ada pelbagai aktiviti boleh dilakukan yang sesuai dengan usia mereka antaranya dengan mengenakan kostum merdeka untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang disambut pada setiap tahun.
Menyedari perkara itu, perancang majlis, Ziddaini Putra Yazit mengambil inisiatif menghasilkan sembilan rekaan busana tradisional dan uniform kanak-kanak yang unik dan menarik.
Antara rekaan dihasilkan termasuk Puteri Perak, Sari, Ngepan Iban, pahlawan dan inspirasi uniform tentera serta angkasawan.
Menariknya, Ziddaini menampilkan kelainan menghasilkan rekaan celoreng menggunakan warna bendera Jalur Gemilang.
Ziddaini berkata, penghasilan rekaan busana bertemakan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia mampu menaikkan semangat patriotik dalam kalangan kanak-kanak.
"Untuk rekaan busana sempena Hari Kebangsaan, ia mengetengahkan konsep uniform dan pakaian potongan tradisional membabitkan pelbagai kaum dan etnik yang di negara ini.
"Kebiasaannya, pakaian kanak-kanak dihasilkan dengan kain kosong dengan warna Jalur Gemilang.
"Jadi, saya buat kelainan dengan menghasilkan pakaianbermotifkan corak celoreng merangkumi empat warna pada Jalur Gemilang dan bunga raya," katanya.
"Rekaan ini direalisasikan dengan bantuan beberapa individu mempunyai kepakaran dalam bidang jahitan pakaian tradisional," katanya.
Katanya, biarpun direka untuk kanak-kanak, penghasilannya dilakukan secara berhati-hati untuk menghormati Jalur Gemilang dan kaum serta etnik di negara ini.
"Sebagai contoh untuk penghasilan busana inspirasi pakaian tradisional Kadazan Dusun, saya dapatkan nasihat Dr Benedict Topin dari Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun Murut (KDCA) yang kemudian berbincang dengan ketua adat di sana.
"Selepas tiga hari, Dr Benedict beri kebenaran dengan mengatakan busana dihasilkan dinamakan sebagai kontemporari berinspirasikan pakaian tradisional Kadazan Dusun," katannya.
"Saya ingin tunjukkan rasa kecintaan terhadap negara dengan penghasilan rekaan pakaian untuk kanak-kanak, sekali gus menyemai perasaan patriotisme kepada mereka," katanya.