TIADA siapa yang sempurna dalam dunia ini kerana setiap individu memiliki kelebihan dan kekurangan diri masing-masing.
Namun, tidak kira siapa pun diri anda, anda sememangnya berharga dan gunakan sebaiknya kelebihan, jangan sesekali jadikan kekurangan diri penghalang daripada berjaya.
Bagi memperkasakan dan meraikan lagi kepelbagaian keupayaan wanita di negara ini, Loreal Paris mengadakan acara peragaan fesyen menarik di Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2023 sempena kempen global, Walk Your Worth.
Ia bagi memberi inspirasi kepada wanita di negara ini untuk menghargai diri sendiri dan menghadapi takdir hidup mereka dengan penuh keyakinan.
Acara peragaan berkenaan menampilkan beberapa wanita hebat yang mewakili pelbagai latar belakang berbeza.
Mereka bukan sahaja memiliki kecantikan, malah kekuatan dan kisah hidup yang tersendiri untuk dikongsikan dengan masyarakat.
Lebih daripada sekadar slogan, 'Because You're Worth It' sememangnya menjadi simbolik dalam memperkasakan lagi wanita bagi menggalakkan mereka untuk tidak gentar mengejar cita-cita dan percaya pada nilai diri sendiri.
Pengurus Besar Loreal Malaysia dan Singapura Bahagian Produk Pengguna, Ankit Porwal berkata, pihaknya teruja menampilkan barisan wanita hebat itu sempena kempen global berkenaan di negara ini.
Ini kerana kata Porwal, adalah menjadi misi mereka untuk memberi inspirasi dan menggalakkan wanita dari semua lapisan masyarakat untuk menerokai 'suara' serta menerima nilai keunikan identiti diri masing-masing.
"Kami bangga dapat meraikan gerakan ini dengan rakyat Malaysia dan memberi inspirasi kepada mereka untuk menjalani kehidupan dengan penuh kebanggaan.
"Menerusi kerjasama dengan KLFW, kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia menyertai kami untuk menerima mesej berkenaan," katanya.
Kempen berkenaan disertai ramai personaliti pempengaruh tanah air antaranya Dr Jezamine Lim; pemuzik etnik,
Belle Sisoski; bekas atlet gimnastik kebanggaan negara, Farah Ann; Pengasas Persatuan Vitiligo Malaysia, Sonya Charles; jurulatih seni mempertahankan diri, Benny Farok; model plus size Nalisa Amin dan Nandini Balakrishnan.
Bekas juara dunia squash wanita yang juga legenda negara, Datuk Nicol David turut berkongsi perjalanan beliau dalam menghargai kemampuan dan kekurangan dirinya, di sebalik kejayaan yang dicipta.
Ikon futsal dan bola sepak wanita negara, Steffi Sidhu pula menggalakkan wanita untuk memecah tembok penghalang dan cekal dalam mengharungi cabaran mendatang.
Katanya, kehidupan masing-masing memiliki jalan tersendiri, namun belajar menghargai kepayahan yang dilalui.
"Belajar menghargai kepayahan yang dilalui dan terus berusaha untuk mengatasinya.
"Ini kerana anda adalah wanita dan anda begitu berharga," katanya.
Diadakan di The Boathouse, acara peragaan berkenaan menampilkan pelbagai rekaan fesyen menarik daripada pereka terkenal tempatan.
Antaranya, Nurita Harith, Farah Khan, Syomirizwa Gupta, Ezzati Amira dan ramai lagi yang diserikan lagi dengan solekan serta dandanan rambut daripada jenama berkenaan.
Acara peragaan itu bukan sahaja menyerlahkan kreativiti dan kepelbagaian, malah berfungsi sebagai peringatan yang mendalam bahawa menghargai nilai seseorang adalah kunci untuk melangkah dengan yakin ke arah masa depan yang lebih cerah.