SUHANA (depan lima dari kiri) bersama Pengerusi Perkim Wanita Bahagian Selangor, Datin Patimah Ismail (depan empat dari kiri) meraikan ahli sempena sambutan bulan Kemerdekaan.
SUHANA (depan lima dari kiri) bersama Pengerusi Perkim Wanita Bahagian Selangor, Datin Patimah Ismail (depan empat dari kiri) meraikan ahli sempena sambutan bulan Kemerdekaan.
Nurul Husna Mahmud


DALAM usaha menghargai sumbangan wanita dalam kemasyarakatan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Wanita Ulu Kelang menganjurkan program Beauty & Wellness sempena Bulan Kebangsaan kali ini.

Acara terbabit berlangsung di Kelab Darul Ehsan, Ampang, Selangor itu turut menyaksikan kehadiran 200 ahli yang tampil mengenakan pakaian bertemakan warna Jalur Gemilang.

Dalam acara itu, pelbagai aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan, ceramah penjagaan kesihatan, demonstrasi solekan dan jualan barangan oleh ahli diadakan.

Menurut pengerusinya, Datin Suhana Sulaiman, satu pendekatan berbeza dalam banyak acara pernah dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

"Kami tidak pernah mengadakan majlis pengisian berunsurkan kesihatan dan kecantikan sebelum ini. Kesempatan meraikan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, kami merealisasikan penganjuran acara Beauty & Wellness bersama sebahagian daripada 626 ahli.

"Kebanyakan ahli kami terdiri daripada wanita dalam kalangan 40 tahun ke atas. Pada usia ini isu penjagaan kesihatan dan kecantikan adalah perkara utama kerana berisiko mendapat pelbagai penyakit.

"Pengisian dalam program cenderung kepada aspek penjagaan kesihatan termasuk pemakanan. Selain itu, kami juga bekerjasama dengan Wardah iaitu syarikat produk kecantikan membantu ahli mendapat tip penting dalam aspek penjagaan kecantikan diri," katanya.

Peranan Perkim Cawangan Wanita Ulu Kelang umumnya adalah NGO yang menggerakkan dakwah secara progresif aktif dalam kerja menyantuni saudara baru (mualaf).

Selain menjalankan kerja membantu saudara Muslim yang lain menerusi acara kebajikan seperti menyumbang kepada anak yatim dan asnaf termasuk sekolah tahfiz perlukan sokongan selain bantuan daripada masyarakat.

"Kami menjalankan semua kerja kebajikan termasuk memberi bantuan, sumbangan dan derma dalam pelbagai bentuk kepada sesiapa yang berkelayakan.

"Program jariah kami banyak membantu saudara baru, orang yang sakit, miskin, susah dan daif, anak yatim, ibu tunggal dan anak sekolah tahfiz.

"Pada setiap tahun, kami menguruskan pengislaman saudara baru yang ingin memeluk Islam.

"Tidak hanya menyalurkan dalam bentuk sumbangan kewangan dan keperluan masyarakat setempat, kami juga mengambil inisiatif mengelolakan kelas tuisyen bagi pelajar yang terdiri daripada anak yatim dan asnaf," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Perkim Cawangan Ulu Kelang, Datin Jsof Jeni Datuk Kaharuddin berkata, penganjuran aktiviti terbabit juga penting dalam menghargai kerja keras sukarelawan terdiri daripada ahli yang membantu menjadi tulang belakang dalam aktiviti kemasyarakatan.

"Dalam persatuan ini, ahlinya terdiri daripada pelbagai peringkat lapisan masyarakat dan latar belakang yang memainkan peranan penting dalam menjayakan setiap program kebajikan dijalankan.

"Apatah lagi kebanyakan kerja dijalankan atas nama dakwah yang menjadi kewajipan membantu saudara lain terutama mualaf sekurang-kurangnya ada tempat bergantung.

"Kami melihat dengan acara ini dapat merapatkan kepelbagaian latar belakang dalam pada masa sama memberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan serta kecantikan meskipun pada usia lebih separa abad," katanya.

Kata Jsof Jeni, pihaknya berharap lebih ramai penyertaan dalam kalangan wanita muda selain golongan profesional untuk sama-sama menyumbang ke arah aktiviti dakwah lebih matang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 6:55 AM