HM Digital
Diam tak diam, acara fesyen terunggul negara, Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) memasuki tahun ke-10.
Berbanding edisi sebelumnya, penganjuran KLFW 2023 lebih istimewa kerana ia diadakan di tujuh lokasi berbeza sepanjang tujuh hari penganjurannya.
Peragaan penutup KLFW2023 berlangsung meriah di Hotel InterContinental KL yang menyaksikan tiga pertunjukan fesyen menarik oleh Super Sunday, Buttonscarves dan Fiziwoo.
Berlatarkan kemewahan, peragaan tiga jenama itu memberi keunikan tersendiri.
Pengasas KLFW, Andrew Tan berkata, kerjasama dengan hotel itu adalah seiring dengan misi acara berkenaan yang bukan hanya menganjurkan minggu fesyen di lokasi menarik, malah turut memberi kesedaran mengenai alam sekitar.
Sementara itu, Pengurus Besar Intercontinental KL, Meera Raj berkata, pihaknya teruja dapat bekerjasama dengan KLFW 2023 kerana acara itu bukan sahaja meraikan kreativiti pereka tempatan, malah turut mengutamakan kelestarian alam sekitar.
"Selain meraikan bakat tempatan, kami turut mengambil bahagian dalam menjaga kelestarian alam sekitar dengan memperkenalkan kemudahan mengecas kenderaan elektrik (EV).
"Ia bagi mengatasi keperluan mendesak untuk menangani kebimbangan alam sekitar, sekali gus menerajui masa depan yang lebih bersih dan hijau," katanya.