"PERGINYA tanpa diduga dan begitu cepat. Dimasukkan hospital disebabkan muntah yang berterusan, sehari kemudian, dia pergi buat selamanya," kongsi Nurhafidzah Shaiful Bahri, 39, saat kehilangan suami tercinta.
Selama 16 tahun menjadi suri rumah, kehilangan itu cukup memberi tamparan hebat Nurhafidzah.
Walaupun sedih di atas kehilangan suami tersayang, dia perlu kuat demi membesarkan tujuh anaknya yang kini berusia antara tiga hingga 16 tahun.
Nurhafidzah berkata, sebagai manusia biasa dan isteri yang selama ini bergantung harap kepada suami tercinta, perasaan kehilangan dan sedih itu pastinya dirasai.
"Ketika arwah suami menghembuskan nafas terakhir, saya sempat berkata kepada arwah "abang, abang pergi dulu. Takpa kami pun nanti akan menyusul. Macam mana pun, orang akan besarkan anak-anak.
"Ketika itu juga, saya juga nekad untuk kuat dan teruskan hidup kerana anak-anak," katanya.
Ketika dalam edah, Nurhafidzah bagai hilang arah. Banyak perkara yang perlu diselesaikan tetapi tidak tahu mahu bermula dari mana.
Menurutnya, selepas arwah tiada, sumber pendapatan juga tidak ada dan untuk membuat tuntutan terhadap peninggalan arwah, ia memakan masa lebih kurang enam hingga sembilan bulan.
"Selama ini, segalanya diuruskan arwah suami dan saya hanya menguruskan anak-anak serta rumah tangga. Rutin harian juga hanyalah untuk keluarga.
"Jadi, apabila perkara ini berlaku, saya jadi buntu dan tidak tahu mahu bermula dari mana. Saya betul-betul hilang arah," katanya.
Namun, dalam keadaan buntu itu juga, Nurhafidzah perlahan-lahan mengatur rentak dan kembali melangkah untuk menguruskan kehidupan.
"Langkah pertama yang saya lakukan adalah menguruskan segala yang berkaitan dengan arwah sendiri dan tidak melantik sesiapa.
"Ketika itu, saya tidak punya kewangan yang mencukupi jika melantik mana-mana pihak menguruskannya. Itu juga cara saya untuk menghilangkan kesedihan," katanya.
Untuk urusan sekolah pula, Nurhafidzah bersyukur kerana pihak sekolah sangat memberi kerjasama dan memahami situasi yang dihadapi.
"Ahli keluarga dan orang sekeliling juga sentiasa membantu selain ada sekali gus memberikan suntikan semangat.
"Dari segi kewangan pula, rezeki Allah itu maha luas. Ada saja yang menghulurkan bantuan, Alhamdulillah," katanya yang kini menjana pendapatan dengan menjadi wakil jualan sebuah produk kesihatan antarabangsa.
Selain berniaga, Nurhafidzah juga kini kembali aktif melakukan kerja-kerja amal berkaitan alam sekitar menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkannya pada 2017 iaitu Malaysia Go Green.
Sekuat manapun seseorang itu menerima ketentuan Ilahi, namun ada masa diri terasa sedih dan kadang seperti mahu berputus asa.
Perasaan itu juga turut dirasai Nurhafidzah lebih-lebih lagi apabila rindu terhadap arwah suami bertandang.
"Kadang kala, selalu terfikir dulu masa dia ada, adalah tempat untuk bercerita dan meluah perasaan. Kini bila sudah tidak ada, semuanya perlu ditanggung sendirian.
"Saya pula jenis yang bukan mencari kawan, keluarga atau sesiapa untuk bercerita. Memang terasa 'down' sangat.
"Apabila perkara itu berlaku, saya akan diam atau pun saya akan bercerita dengan anak-anak. Alhamdulillah mereka sangat memahami," katanya.
Nurhafidzah juga sentiasa berpegang kepada tekadnya, walau apa juga yang dihadapi, dia perlu terus bersemangat, berjuang untuk anak-anak.
"Untuk menghilangkan pelbagai rasa tertanggung, rasa sedih, saya banyak bermonolog maksudnya meluahkan segala rasa dengan Allah dan al-Quran dijadikan penguat semangat," katanya.