Bagi kekal bertahan dan rasa seronok di tempat kerja, selain rakan kerja yang baik, sikap penyelia atau pengurus juga memainkan peranan penting untuk seseorang itu terus berkhidmat di sesuatu organisasi.
Namun kita juga boleh mencipta ruang sendiri bagi memastikan diri kekal positif untuk bekerja.
Selain sentiasa menyokong dan menyertai apa juga aktiviti bermanfaat yang dianjurkan syarikat.
Meskipun kadang kala tidak seperti apa yang dirancang namun anggaplah ia satu usaha ke arah yang lebih baik untuk keseluruhan rakan sekerja dalam menuju visi yang sama.
Menurut Pegawai Psikologi Kanan, Pejabat Pendaftar Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani, untuk mencintai dan menghargai pekerjaan haruslah ia dianggap satu ibadah dan tanggungjawab yang diamanahkan.
"Perasaan ini membantu anda untuk lebih fokus dan memanfaatkan masa di tempat kerja dengan efektif serta produktif.
"Selain itu untuk memupuk persahabatan yang bermakna di tempat kerja, ia juga boleh dilakukan dengan meraikan ulang tahun kelahiran, menganjurkan aktiviti 'pot-luck' atau 'team-building.'
"Ia bukan sahaja menunjukkan keprihatinan dan belas kasihan terhadap satu sama lain malah mengamalkan kemurahan hati, penghargaan, ketulusan dan penghormatan," katanya.
Menurut Fatimah juga, memberikan komitmen 100 peratus tanpa gagal dalam membina organisasi yang mempunyai misi dan visi adalah perlu sebagai merasakan diri antara aset dalam organisasi.
"Bagi mengekalkan ruang yang positif sentiasalah mengamalkan kemaafan di antara satu sama lain untuk kesilapan-kesilapan lalu dan mengambil pengajaran di atas setiap perkara yang berlaku dan bukannya saling menyalahkan antara satu sama lain.
"Cara lain ialah dengan mempunyai daya kawalan dan pola pemikiran yang positif di tempat kerja. Pilih untuk mengawal pola fikir dan suasana hati kita.
"Menerusi kawalan itu, secara tidak langsung kita tetap memiliki motivasi yang tinggi dan semangat yang tidak surut apabila menghadapi cabaran yang terjadi," katanya.
Keadaan ini terutamanya di pejabat, iaitu 'rumah kedua' bagi kebanyakan individu sekurang-kurangnya mengambil masa lapan jam sehari berada di tempat kerja atau pejabat.
Tambah Siti Fatimah lagi, visualkan kejayaan adalah salah satu cara dengan membayangkan kejayaan diri sendiri di dalam minda walaupun ia hanyalah hal-hal yang kecil.
Ini kerana kejayaan yang beribu langkah bermula dengan hanya setapak kehadapan dan hal ini akan sangat menolong dan mendorong diri kita untuk memiliki sikap yang semakin positif.
Selain bersemangat untuk menyelesaikan pelbagai cabaran yang mendatang di dalam pekerjaan.