FAKTOR usia bukan penghalang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang diminati.
FAKTOR usia bukan penghalang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang diminati.
Muhamaad Razis Ismail


KESIBUKAN tugas sebagai setiausaha kepada hakim Mahkamah Rayuan tidak menghalang wanita ini untuk meneruskan minatnya dalam bidang kaunseling.

Pada sebelah siang, Muzayana Ibrahim, 35, atau lebih mesra disapa Ayana bertanggungjawab memastikan urusan harian di kamar hakim berjalan lancar.

Manakala pada sebelah malam, wanita berasal dari Klang, Selangor ini memakai 'kostum' sebagai seorang kaunselor pelatih yang memberi perkhidmatan sesi kaunseling dan berkongsi mengenai kesedaran kesihatan mental melalui media sosial.

Lebih menarik, Ayana turut menyediakan perkhidmatan kaunseling secara percuma kepada mereka yang memerlukan sama ada secara dalam talian atau bersemuka.

Beliau yang didiagnosis dengan kebimbangan sosial dan gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD) pada usia 25 tahun itu menyedari keperluan bantuan yang harus diberikan kepada individu yang berdepan dengan masalah kesihatan mental.

Bukan itu sahaja, pada masa sama beliau juga sedang melanjutkan pengajian dalam sarjana 'Guidance & Counselling' di Universiti Antarabangsa UNITAR (UNITAR) secara separuh masa.

Ayana mengakui bukan seorang yang gemar menggunakan media sosial, namun beliau melihat platform itu dapat membantu untuk berhubung dengan lebih ramai orang.

"Platform ini sangat efektif untuk berkongsi mengenai isu-isu berkenaan kesedaran kesihatan mental seperti cara mengatasi kebimbangan melampau, respon dari trauma ketika kecil dan sebagainya.

SETIAUSAHA hakim Mahkamah Rayuan bertukar tugas pada waktu malam, beri kaunseling percuma secara dalam talian.
SETIAUSAHA hakim Mahkamah Rayuan bertukar tugas pada waktu malam, beri kaunseling percuma secara dalam talian.

"Disebabkan tidak bekerja secara langsung sebagai seorang kaunselor, saya menggunakan peranan sebagai seorang kaunselor pelatih untuk menyebarkan dan berkongsi maklumat kepada orang ramai melalui media sosial," katanya.

Mengulas lanjut, beliau memilih untuk menyediakan perkhidmatan kaunseling secara percuma di media sosial kerana masih wujud stigma kaunselor tidak boleh dipercayai, talian bantuan kesihatan mental tidak membantu dan banyak lagi.

"Kebanyakan mereka yang berkongsi perkara ini pernah mencuba mencederakan diri sendiri dan tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bantuan.

"Sejak itu, saya mengambil keputusan untuk menyediakan perkhidmatan kaunseling percuma secara dalam talian (menggunakan Google Meet) pada sebelah malam dan bagi sesi secara bersemuka, saya akan memberi tarikh janji temu dari jam 12 tengah hari sehingga jam 6 petang di Putrajaya, Cyberjaya dan Kota Warisan," katanya.

SESI perkongsian di TikTok.
SESI perkongsian di TikTok.

Beliau bersyukur, perkhidmatan kaunseling yang disediakan mendapat sambutan dan maklum balas yang amat memberangsangkan.

"Saya tidak sangka ramai orang yang memerlukan bantuan kaunseling tetapi tidak berani untuk pergi ke klinik kesihatan hanya kerana stigma yang dimomokkan daripada orang lain.

"Disebabkan saya tidak dapat bergerak seorang diri untuk menerima klien yang ramai di atas faktor masih bekerja, saya juga dapat bantuan dari kaunselor pelatih dari universiti lain yang berminat untuk turut sama memberikan kaunseling percuma," katanya.

Mengulas lanjut, beliau tidak menyangka sambutan orang ramai yang dapat menerima cara saya menyampaikan dan berkongsi tentang kesihatan mental.

AYANA (tiga dari kiri) bersama penonton media sosial dan klien melakukan pelbagai aktiviti bermanfaat.
AYANA (tiga dari kiri) bersama penonton media sosial dan klien melakukan pelbagai aktiviti bermanfaat.

"Walaupun pada mulanya agak susah kerana tidak tahu bagaimana untuk menggunakan media sosial sepenuhnya, tetapi dengan hanya menjadi diri sendiri, saya melihat ramai yang dapat menerima apa ingin saya sampaikan," katanya.

Biarpun begitu, dalam usahanya membantu ramai yang berdepan dengan masalah kesihatan mental, beliau tidak pernah meletakkan diri sebagai seorang 'hero'.

"Walaupun kita berniat baik untuk membantu ramai orang, tetapi kita manusia dan hanya mampu membantu setakat yang termampu. Klien tetap perlu berusaha untuk membuat perubahan dalam hidup mereka sendiri," katanya.

Berkongsi pengalaman yang tidak dilupakan, beliau pernah mendapat klien yang tidak siuman kerana semasa sesi secara dalam talian diadakan dia tidak berpakaian.

"Walaupun sudah diingatkan mengenai prosedur sesi kaunseling, dia hanya berpakaian sekejap sahaja. Saya terpaksa merujuk kes klien ini kepada pakar psikologi yang berdekatan untuk memastikan lelaki ini mendapat rawatan yang diperlukan," katanya.

Berkongsi berkenaan pengurusan masa akuinya, bukanlah mudah bekerja, belajar dan juga perkhidmatan kaunseling namun tidak mustahil untuk dilakukan.

AYANA berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi.
AYANA berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi.

"Saya perlu sentiasa mengemas kini dan menyelaraskan kalendar di setiap peranti supaya tidak berlaku percanggahan waktu.

"Malah saya bersyukur dengan sokongan yang diberikan keluarga dan rakan sekerja kerana mereka memahami kehidupan baru yang dipilih. Saya juga amat memerlukan sokongan yang banyak kerana ada masa saya sendiri juga tidak kuat dan rasa letih tetapi ia tidak mematahkan semangat untuk terus bergerak," katanya.

Ditanya berkenaan perancangan masa hadapan, beliau berhasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang psikologi untuk lebih memahami mengenai diagnosis dan perubatan.

"Bidang kaunseling menawarkan perkhidmatan yang dapat membantu klien untuk memahami dan menyelesaikan masalah mereka sendiri tetapi psikologi akan dapat membantu saya dari sudut yang lebih mendalam dan seterusnya mengubati klien itu sendiri.

"Saya juga berharap dapat bekerjasama dengan persatuan atau pertubuhan yang memberi sokongan dalam membawa perubahan kepada stigma dan pemikiran negatif terhadap kesihatan mental. Kerjasama dalam menangani stigma bukan sahaja kepada penyakit itu malahan kepada mereka yang menghadapinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 6:20 AM