MENGAMBIL makanan seimbang dapat membantu meningkatkan kesihatan mata.
MENGAMBIL makanan seimbang dapat membantu meningkatkan kesihatan mata.
Muhamaad Razis Ismail


PENJAGAAN kesihatan mata amat penting untuk memastikan anda dapat melihat dengan baik tanpa berdepan masalah termasuk rabun, katarak, glaukoma, mata kering dan sebagainya.

Bagaimanapun, masih ramai beranggapan bahawa penglihatan yang lemah berpunca daripada peningkatan usia.

Sebaliknya, dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan mengambil makanan seimbang dapat membantu meningkatkan kesihatan mata.

Seperti anggota badan lain, mata juga memerlukan pemakanan khusus bagi mengekalkan fungsi retina dan kesihatan mata yang menyeluruh.

Oleh itu, pengambilan makanan yang betul yang mengandungi nutrisi seimbang amat penting supaya mata kekal sihat.

Menerusi perkongsian Edison Institute of Nutrition, terdapat 10 makanan yang boleh dimasukkan dalam diet anda untuk kesihatan mata:

1.Ikan

Kebanyakan ikan adalah sumber asid lemak omega-3 yang sangat baik. Memilih ikan berminyak boleh memberikan tahap nutrien yang lebih tinggi lagi. Ikan yang memiliki omega-3 tinggi termasuk salmon, trout, dan makarel. Beberapa kajian mencadangkan asid lemak omega-3 boleh membantu melindungi mata dewasa daripada degenerasi makula dan sindrom mata kering. Asid lemak juga boleh membantu pengaliran cecair intraokular yang betul dari mata, mengurangkan risiko tekanan mata tinggi dan glaukoma. Minyak hati ikan kod juga sangat tinggi dalam vitamin A dan D. Vitamin A membantu melindungi permukaan mata (kornea) untuk mendapatkan penglihatan yang baik.

2.Kekacang

Makanan ringan yang sihat ini juga mengandungi paras omega-3 yang tinggi. Kacang, mengandungi banyak vitamin E yang boleh membantu melindungi mata anda daripada kerosakan akibat penuaan. Kacang terbaik termasuk walnut mentah, gajus dan lentil yang dimasak.

3.Biji

Biji juga mengandungi omega-3 dan vitamin E yang tinggi. Chia, rami, labu, bunga matahari dan biji rami adalah sumber yang paling banyak.

BUAH sitrus mengandungi tahap vitamin C yang tinggi.
BUAH sitrus mengandungi tahap vitamin C yang tinggi.

4.Buah sitrus

Buah sitrus mengandungi tahap vitamin C yang tinggi. Ini adalah antioksidan yang disyorkan untuk membantu mengelakkan kerosakan yang berkaitan dengan usia. Lemon, oren, dan limau antara sumber terbaik.

5.Sayur hijau berdaun

Sayur ini kaya dengan zeaxanthin, lutein, beta karotena dan juga vitamin C yang bermanfaat. Bayam dan kangkung adalah pilihan yang sangat baik.

6.Lobak merah

Lobak merah mengandungi beta-karotena yang bertukar kepada vitamin A dalam badan. Vitamin A adalah penting untuk penglihatan kerana ia adalah komponen rhodopsin iaitu protein yang membantu retina anda menyerap cahaya. Beta-karotena diperlukan badan anda untuk menghasilkan vitamin A.

7.Keledek

Ubi keledek kaya dengan beta-karotena selain sumber vitamin E yang baik.

8.Daging lembu

Daging lembu mengandungi tahap zink yang tinggi, membantu meningkatkan kesihatan mata jangka panjang dan juga boleh membantu melambatkan kehilangan penglihatan serta degenerasi makula akibat penuaan. Ayam juga mengandungi zink, tetapi dalam tahap yang lebih rendah daripada daging lembu.

TELUR mengandungi lutein dan zeaxanthin sama yang boleh membantu mengurangkan risiko kehilangan penglihatan yang berkaitan dengan usia.
TELUR mengandungi lutein dan zeaxanthin sama yang boleh membantu mengurangkan risiko kehilangan penglihatan yang berkaitan dengan usia.

9.Telur

Telur mengandungi lutein dan zeaxanthin sama seperti sayur-sayuran berdaun yang boleh membantu mengurangkan risiko kehilangan penglihatan yang berkaitan dengan usia. Ia juga mempunyai sumber terbaik untuk vitamin C, E dan A serta zink.

AIR dapat mengurangkan gejala mata kering.
AIR dapat mengurangkan gejala mata kering.

10. Air

Minum air yang mencukupi boleh mengelakkan dehidrasi yang seterusnya boleh membantu mengurangkan gejala mata kering.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 7:33 PM