PASTIKAN topik perbualan jelas, seterusnya bercakap dengan kadar perlahan, secara berhadapan dalam jarak dekat bagi membantu mereka membaca gerakan bibir penyampai.
PASTIKAN topik perbualan jelas, seterusnya bercakap dengan kadar perlahan, secara berhadapan dalam jarak dekat bagi membantu mereka membaca gerakan bibir penyampai.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


DIANGGARKAN kira-kira 30 peratus dalam kalangan warga emas berusia 65 hingga 75 tahun mengalami masalah hilang pendengaran sensorineural di usia lanjut (presbycusis) akibat proses degenerasi organ pendengaran.

Selain itu, 50 peratus dari kalangan warga emas berusia 75 tahun turut mengalami masalah pendengaran pada peringkat usia berkenaan.

Menurut perkongsian info di laman web rasmi MyHEALTH, Kementerian Kesihatan (KKM), gangguan pendengaran itu berlaku secara beransur-ansur dan bersifat kekal.

Bagaimanapun, faktor utama penyebab berlaku masalah hilang pendengaran sensorineural di usia lanjut belum diketahui secara pasti.

Namun, ada beberapa faktor yang boleh mempengaruhi masalah itu seperti faktor usia, hipertensi, diabetes mellitus dan pendedahan kepada bunyi bising yang berlanjutan.

Menurut KKM, antara gejala gangguan pendengaran di peringkat itu termasuk sukar mendengar dan memahami perbualan, seterusnya mengganggu emosi serta menjejaskan komunikasi antara individu terbabit dengan orang lain.

"Rehabilitasi aural seperti pemasangan alat bantu dengar dapat membantu warga tua mempunyai masalah pendengaran untuk mendengar dengan lebih baik.

"Namun, strategi komunikasi dengan golongan individu itu perlu dititikberatkan supaya kemampuan mendengar mereka menjadi lebih baik dan berkesan terutama apabila berada di persekitaran yang bising," kata KKM.

Dalam pada itu, jika ada dalam kalangan ahli keluarga anda yang menghadapi masalah pendengaran presbycusis, ada beberapa strategi komunikasi yang boleh diaplikasi.

Antaranya, tarik perhatian sebelum memulakan perbualan untuk memberitahunya bahawa kita sedang bercakap dengannya.

Pastikan topik perbualan adalah jelas, seterusnya bercakap dengan kadar perlahan, secara berhadapan dengannya dalam jarak dekat bagi membantu mereka membaca gerakan bibir penyampai.

Bantuan visual seperti isyarat tangan boleh membantu individu terbabit untuk lebih fokus dan memahami mesej yang disampaikan dalam perbualan.

Selain itu, anda perlu bercakap dengan kadar yang perlahan dan jelas apabila berbual dengan individu yang mengalami masalah hilang pendengaran sensorineural di usia lanjut.

Cara itu dapat membantunya mendengar dan memahami perbualan berkenaan dengan lebih baik serta berkesan.

Setiap mesej yang disampaikan juga akan menjadi lebih jelas, selain memudahkannya untuk memproses setiap bunyi pertuturan yang didengari.

Pastikan juga tiada halangan ketika bercakap dengan mereka kerana mesej yang hendak disampaikan akan terganggu sekiranya berbual sambil makan, menguap atau apabila tangan menutupi mulut.

Sekiranya berlaku gangguan komunikasi, anda perlu mengulangi mesej yang disampaikan dalam kadar perlahan, ataupun olah semula ayat pertuturan itu supaya lebih senang untuk mereka difahami.

Dalam hal ini, elakkan daripada menggunakan ayat pertuturan yang kompleks dan jangan lupa dapatkan maklum balas untuk memastikan mereka benar-benar memahami mesej yang disampaikan.

Ini kerana kebanyakan warga emas yang bermasalah pendengaran menghadapi kesukaran untuk memahami perbualan di persekitaran yang bising.

Oleh demikian, pastikan persekitaran mendengar mereka jauh dari sumber bunyi bising atau bunyi yang boleh mengganggu tumpuan untuk mendengar.

Perlu diingat bahawa matlamat utama adalah untuk memudahkan komunikasi, bukan mewujudkan emosi atau tanggapan negatif dalam kalangan warga emas yang bermasalah pendengaran.

Sekiranya matlamat itu tidak dapat dicapai menggunakan komunikasi secara lisan, maka komunikasi bukan lisan seperti menyampaikan mesej menggunakan tulisan atau isyarat juga boleh membantu mereka untuk memahami mesej yang ingin disampaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 6:45 AM