LUAHKAN perasaan kepada rakan-rakan yang boleh dipercayai bagi mengurangkan tekanan.
LUAHKAN perasaan kepada rakan-rakan yang boleh dipercayai bagi mengurangkan tekanan.
Hafiz Ithnin


ISU kesihatan mental semakin menjadi perhatian kerana ia boleh memberi kesan buruk jika tidak dibendung dari awal.

Ketika ini banyak pihak memperjuangkan isu kesihatan mental dan memberi kesedaran kepada masyarakat supaya lebih peka kepada hal berkenaan.

Masalah kesihatan mental bukan sahaja boleh berlaku terhadap orang dewasa, tetapi juga kanak-kanak yang dikhuatiri mampu memberi kesan jangka panjang apabila mereka membesar kelak.

Tekanan antara masalah kesihatan mental yang sering dibincangkan. Ia berlaku dalam pelbagai faktor antaranya kewangan, masalah hubungan atau persekitaran sosial.

Justeru, dalam ruangan Wanita Metro (WM) kali ini, kami ingin kongsikan beberapa tip yang mungkin boleh dipraktikkan untuk melepaskan diri daripada berada dalam keadaan tekanan yang melampau:

1. Jangan simpan

Sekiranya anda mempunyai masalah, cari individu yang boleh dipercayai untuk memberi anda ruang meluahkan perasaan.

Jangan simpan perasaan tertekan anda seorang diri kerana ia mungkin menjadi bom yang boleh meletus pada bila-bila masa.

Berkongsi masalah anda dengan orang yang boleh dipercayai mampu melegakan rasa tekanan yang anda hadapi.

2. Pilih individu yang betul untuk berkongsi perasaan

Berkaitan dengan tip pertama, kenal pasti individu yang anda percayai dan tidak menghakimi setiap luahan peribadi. Malah, anda juga boleh menangis atau tidak perlu berselindung dengan mereka ketika meluahkan perasaan.

Ketika ini juga ada banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi peluang kepada mereka yang mempunyai tekanan untuk berkongsi luahan rasa tertekan dengan hanya menerusi telefon. Individu yang mendengar luahan anda itu juga biasanya adalah terlatih dan mampu memberikan nasihat.

3. Lakukan aktiviti riadah atau bersukan

Sememangnya aktiviti riadah dan bersukan mampu memberi kesan baik bukan sahaja kepada kesihatan fizikal, malah mental.

Ketika melakukan aktiviti itu, anda dapat mengecas tenaga positif dalam badan. Malah, jika anda mempunyai masalah untuk tidur, aktiviti sukan membantu menjadikan anda lebih mudah tidur.

Aktiviti sukan dan beriadah juga membantu anda melupakan seketika masalah dihadapi kerana perasaan berada dalam keadaan tenang.

Seusai rasa tenang, anda dapat menyusun strategi untuk menyelesaikan masalah dengan lebih baik berbanding dalam keadaan tertekan.

4. Jauhi persekitaran toksik

Persekitaran sosial amat penting untuk memelihara kesihatan mental kerana jika anda sentiasa berdepan individu yang bersifat toksik atau negatif secara tidak langsung memberi kesan kepada diri sendiri.

Contohnya, jika anda berada di tempat kerja yang mempunyai majikan sukar untuk bertolak ansur atau sering memalukan anda di khalayak ramai, perkara paling penting ialah menyusun strategi untuk mencari kerja baharu secepat mungkin.

Jangan berada dalam lingkungan individu yang toksik kerana ia mampu memberi tekanan kepada mental anda, apatah lagi jika anda perlu berdepan mereka setiap hari.

5. Dapatkan rawatan

Jika anda mengalami tekanan mental yang sukar untuk dibendung, berjumpa pakar kerana mereka dapat membantu anda secara klinikal.

Jangan berasakan masalah mental adalah 'gila' kerana ia sesuatu perkara yang tidak tepat sama sekali. Mendapatkan rawatan tanpa rasa malu dan prejudis kepada diri sendiri sebenarnya adalah langkah terbaik untuk membantu diri sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 6:45 AM