PENGUNJUNG ceria mendapat anak pokok sumbangan UNIQLO di Taman Tugu.
PENGUNJUNG ceria mendapat anak pokok sumbangan UNIQLO di Taman Tugu.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PENGUNJUNG Taman Tugu di ibu negara berpeluang mendapatkan pokok percuma yang akan diedarkan kepada orang ramai pada setiap Sabtu bermula jam 8.30 hingga 10.30 pagi.

Inisiatif bagi memupuk kesedaran masyarakat untuk mengurangkan kesan karbon itu dilaksanakan pihak taman terbabit dengan tajaan peruncit global, UNIQLO.

Menerusi program Plant Giveaway, sebanyak 200 anak pokok daripada pelbagai spesies akan diedarkan dalam tempoh berkenaan setiap minggu.

Inisiatif itu juga sebahagian daripada sumbangan RM300, 000 yang disumbangkan peruncit global terbabit kepada usaha pemuliharaan taman berkenaan.

Sumbangan itu adalah sebahagian daripada hasil yang dikutip daripada caj beg kertas beli-belah yang dikenakan peruncit global terbabit ke atas pelanggan mereka.

Selain itu, ia juga disalurkan kepada penajaan program Plant & Hunt, khas untuk kanak-kanak mempelajari kitaran hidup pokok dan penyebaran benih melalui beberapa siri aktiviti pendidikan.

Dalam pada itu, bagi menghargai sumbangan berkenaan, Taman Tugu turut menawarkan dua plot korporat angkat kepada peruncit global terbabit bagi tujuan penanaman pokok.

MEMUPUK semangat cintakan alam sekitar dalam diri kanak-kanak.
MEMUPUK semangat cintakan alam sekitar dalam diri kanak-kanak.

Ia adalah inisiatif terbaharu yang dilancarkan Taman Tugu dan peruncit global terbabit adalah pihak swasta pertama yang mengambil bahagian.

Plot korporat seluas sembilan meter persegi setiap satu itu membolehkan kira-kira lima pokok yang penting kepada ekosistem alam semula jadi di tanam di kawasannya.

Ketua Pegawai Kewangan UNIQLO Malaysia dan Singapura, Yasushi Anezaki berkata, pihaknya sentiasa komited untuk sama-sama membantu menjaga dan melindungi alam sekitar.

Kata Anezaki, menerusi kerjasama itu, mereka juga akan mengambil bahagian bagi memastikan kawasan rekreasi yang indah berkenaan mudah diakses untuk dinikmati serta dihargai oleh orang ramai.

AKTIVITI pendidikan alam sekitar yang menyeronokkan untuk kanak-kanak sertai.
AKTIVITI pendidikan alam sekitar yang menyeronokkan untuk kanak-kanak sertai.

Katanya, usaha itu bukan sahaja akan menambah baik habitat untuk kepentingan biodiversiti alam malah meningkatkan lagi hubungan ekologi di kawasan taman terbabit.

"Kami bangga menjadi rakan korporat pertama yang mengambil plot korporat angkat di Taman Tugu dan semoga pokok yang ditanam akan tumbuh subur serta menjadi tempat perlindungan kepada haiwan.

"Diharap pokok itu berfungsi sebagai peringatan komitmen kami terhadap masa depan yang mampan dan memberi inspirasi kepada lebih banyak syarikat untuk mengambil bahagian dalam pemeliharaan hutan bandar," katanya pada majlis yang diadakan baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Kelestarian UNIQLO Malaysia, Evelyn Tan dan Ketua Pengumpulan Dana, Aktivasi dan Komunikasi Taman Tugu Malaysia, Tracey Surin.

ANEZAKI dan Evelyn menanam pokok di plot korporat UNIQLO di Taman Tugu.
ANEZAKI dan Evelyn menanam pokok di plot korporat UNIQLO di Taman Tugu.

Menurut Tracey, kerjasama dengan syarikat korporat mega seperti peruncit global itu dapat membantu memberi perubahan besar dan perubahan kepada aktiviti pemuliharaan hutan.

"Kami menghargai usaha yang dilakukan dan percaya sumbangan itu akan dapat membantu meningkatkan lagi kesedaran menjaga alam selain memberi manfaat kepada usaha pemuliharaan serta pemeliharaan di taman ini," katanya.

Pada program yang sama, kanak-kanak pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) turut dijemput untuk menyertai program Plant & Hunt.

Mereka bukan sahaja diajar cara menanam pokok dengan betul malah turut menyertai aktiviti pendidikan alam sekitar menarik bersama kakitangan Taman Tugu.

Ini kerana usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar perlu dipupuk sejak kecil lagi bagi memastikan ia dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 7:01 AM