MOHD Shukrie (dari kiri), Dr Noor Azmi dan Dr Zaki ketika meninjau pameran di Persidangan Penjagaan Kesihatan KPJ 2022.
MOHD Shukrie (dari kiri), Dr Noor Azmi dan Dr Zaki ketika meninjau pameran di Persidangan Penjagaan Kesihatan KPJ 2022.

KPJ Healthcare Berhad baru-baru ini melancarkan Persidangan Penjagaan Kesihatan KPJ tahunan bagi tahun ini dengan menghimpunkan kuasa pemutus utama, pakar penjagaan kesihatan dan pakar perunding dari luar serta dalam negara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ia bagi membincangkan isu berkaitan penjagaan, merangkumi pengajaran yang diperoleh daripada pandemik, pendigitalan, transformasi dan teknologi serta isu dan trend penting dalam pengurusan penjagaan kesihatan serta keselamatan pesakit.

Bertemakan 'The Pandemic: Now and What Next?' Persidangan itu diadakan secara fizikal buat kali pertama sejak pandemik Covid-19.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Dr Zaki Morad berkata, Persidangan Penjagaan Kesihatan KPJ itu menjadi tradisi sejak 2001.

"Acara tahunan kami ini terus menarik perhatian pakar penjagaan kesihatan dari seluruh dunia. Berdasarkan kejayaan persidangan kami sebelum ini, tema untuk tahun ini menetapkan perbincangan penting seiring kita bergerak ke hadapan dalam keadaan endemik negara hari ini," katanya.

Ia dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

"Untuk memaksimumkan semua kapasiti penjagaan kesihatan sedia ada di Malaysia dengan berkesan dan merapatkan jurang, kita perlu menyemak, menganalisis serta mempertingkatkan lagi perkongsian awam-swasta.

"Perkongsian rapat antara sektor hanya akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia apabila kami meningkatkan pilihan rawatan untuk kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana serta memastikan kesinambungan penjagaan, terutama bagi pesakit yang menghidap penyakit kronik.

"Ini juga selaras dengan Rangka Kerja Strategik Kementerian Kesihatan untuk mengekalkan sistem penjagaan kesihatan bertaraf dunia, namun mampu milik dan boleh diakses oleh semua," katanya.

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, pandemik yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejak dua tahun lalu menjejaskan semua pihak termasuk sektor penjagaan kesihatan.

"Ini adalah peluang untuk kita semua bersidang dan memanfaatkan kepakaran masing-masing sambil bekerjasama ke arah matlamat dalam mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 6:20 AM