URUTAN antara kaedah yang dapat membantu bayi mengalami masalah sembelit.
URUTAN antara kaedah yang dapat membantu bayi mengalami masalah sembelit.
Nurul Husna Mahmud


Bayi juga tidak terkecuali menghadapi masalah kesukaran membuang air besar dan keadaan itu boleh menjejaskan 'mood' mereka sepanjang hari.

Berbanding orang dewasa yang boleh mengekspresi rasa sakit dan tidak selesa menerusi kata-kata, bayi yang mengalami masalah ini kebiasaannya akan meragam, menangis dan meneran sehingga wajah bertukar kemerah-merahan.

Melihat keperitan itu, ibu muda yang hanya mahu dikenali sebagai Wan tidak ketinggalan berkongsi masalah sukar membuang air besar atau sembelit yang dialami anaknya berusia tujuh bulan.

"Saya perasan anak saya lebih mudah mengalami sembelit. Keadaan itu lebih kerap berlaku apabila dia mula diperkenalkan makanan pejal. Ketika menyusu badan dulu, masalah itu pernah terjadi dua atau tiga kali sahaja tetapi tidak serius.

"Namun kebelakangan ini ia lebih ketara, terutama diperkenalkan dengan makanan pejal. Selang dua tiga hari mesti ada masalah sembelit.

"Saya simpati apabila melihat kesusahan anak ketika dia membuang air besar. Dia akan mengeluarkan bunyi 'menderam' yang panjang ketika meneran. Boleh lihat kepayahan dia menjalani rutin terbabit apabila wajahnya menjadi kemerah-merahan selain berpeluh kerana perlu keluarkan najisnya yang keras.

"Paling teruk, pernah juga lihat punggungnya seperti bengkak dan luka kerana masalah itu. Kalau ususnya dalam keadaan sihat, najis berwarna perang cerah dan teksturnya lembut.

"Tetapi apabila mengalami masalah sembelit, saya perasan najisnya lebih gelap seakan-akan warna kelabu dan hampir kehitaman. Teksturnya juga lebih kering menyebabkan anak saya meragam sepanjang hari," katanya.

Kata ibu muda itu lagi, dia berkongsi masalah dialami bayinya dalam talian atau dalam komuniti ibu-ibu. Pelbagai reaksi diterima dan tip diturunkan.

Untuk dia ikut semua saranan itu menimbulkan rasa bimbang kerana bayinya baru sahaja didedahkan dengan makanan pejal dan kemungkinan petua dikongsi boleh memburukkan tahap kesihatan usus bayinya.

Menurut Pakar Kanak-kanak Hospital Pakar KPJ Rawang Dr Raja Salihantunnisa Raja Ibrahim, masalah sembelit yang berlaku pada bayi atau kanak-kanak di bawah usia satu tahun boleh berpunca daripada pelbagai faktor.

Antaranya pemakanan ibu, ini khusus bagi kanak-kanak yang eksklusif menyusu badan. Masalah sembelit lebih jarang berlaku dalam kalangan bayi yang menyusu ibu kerana kandungan susu badan lebih mudah dihadam berbanding bayi mengambil susu formula.

"Masalah sembelit berlaku pada bayi ini jika difahami dalam kalangan orang biasa adalah merujuk kepada keadaan bayi yang mengalami masalah membuang air besar. Jadual ke 'tandas' dua tiga kali sehari boleh dilanjutkan kepada seminggu jika tidak dapat membuang air besar.

DR RAJA SALIHATUNNISA
DR RAJA SALIHATUNNISA

"Biasanya bayi atau kanak-kanak akan merengek kerana perut mereka menjadi keras. Begitu juga najis yang keluar, keadaannya kering seperti 'biji kacang' atau menyerupai tekstur najis kambing.

"Bayi itu sendiri ketika membuang boleh lihat betapa tidak selesanya, termasuklah ketika meneran sehingga wajah menjadi kemerah-merahan. Lebih serius apabila najis itu juga berdarah yang mungkin berkait rapat dengan kecacatan pada usus.

"Ibu bapa perlu peka dengan rutin membuang air besar anak kerana kekerapan bayi atau kanak-kanak membuang besar berbeza mengikut umur. Contohnya bayi bawah enam bulan lebih kerap iaitu boleh membuang dua hingga tiga kali sehari kerana mereka minum susu sepenuhnya," katanya.

Bagi bayi yang mengambil susu ibu tetapi masih mengalami masalah sembelit didapati berpunca daripada pemakanan ibu itu sendiri. Ibu yang menyusu berkemungkinan mengambil sumber makanan yang ada produk tenusu, kafien, kurang air dan serat serta ubat-ubatan.

"Bayi yang menyusu badan tetapi mengalami masalah sembelit, seharusnya ibunya perlu lebih memilih makanan yang baik untuk bayi mereka. Ada kemungkinan produk tenusu dan juga kafien boleh menyebabkan bayi yang minum susu itu mendapat kesan secara tidak langsung.

"Begitu juga keadaannya ibu yang menyusukan bayi mungkin ada mengambil ubat tertentu sebagai contoh anti depresi bagi merawat masalah kemurungan atau psikologi dan mungkin boleh menjadi penyebab kepada masalah yang sama," katanya.

Kata Dr Raja Salihatunnisa lagi, bayi atau kanak-kanak bawah satu tahun juga sensitif dengan persekitaran baru turut mengalami gejala sembelit kerana tidak selesa.

"Satu lagi punca yang biasanya kanak-kanak terutama sudah dihantar kepada pengasuh atau taska, mereka ada tabiat menahan dari membuang air besar. Ini kerana faktor tidak selesa membuang air besar di tempat baru. Apabila terlalu kerap menahan, ini menjadikan masalah sembelit boleh berlaku pada bayi atau kanak-kanak," katanya.

Tambah pakar itu lagi, isu sembelit yang berlaku dalam kalangan bayi tidak boleh dipandang ringan kerana ia berkait juga dengan masalah kecacatan atau komplikasi penyakit lain seperti saraf dan masalah hipotiroidisme kongenital.

"Ibu bapa yang mendapati anak mereka mengalami gejala sembelit luar biasa terutama najis yang keluar berdarah, disarankan terus bertemu dengan pakar untuk membuat saringan yang lebih rapi.

"Sebagai contoh kalau ada masalah hipertiroid iaitu kekurangan hormon tiroid, pengesanan boleh dilakukan menerusi sampel darah bayi yang mengalami gejala sembelit. Begitu juga dalam pengesanan masalah saraf, Spinal Bifida, sembelit antara gejala berkait rapat dengan penyakit itu.

"Selain itu, sembelit juga boleh menjadi petanda kepada kecacatan ketika kelahiran seperti Hirschrung's disease iaitu keadaan di mana bayi lahir memiliki lubang dubur agak ketat sehingga sukar membuang air besar.

"Jika pengesanan dilakukan awal, lebih cepat langkah merawat bersesuaian dengan punca sembelit dalam kalangan bayi dapat ditangani," katanya.

PENYAKIT Saraf Bifida boleh dikesan menerusi gejala sembelit.
PENYAKIT Saraf Bifida boleh dikesan menerusi gejala sembelit.

Dalam kes rawatan membabit kanak-kanak mengalami sembelit yang biasa, kata Dr Raja Salihatunnisa, biasanya pihaknya akan memberi ubat laktulose iaitu melembutkan najis atau laksatif mengikut keperluan.

"Saya lebih sarankan ibu bapa untuk beri bayi atau anak mereka sumber makanan yang tinggi serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Selain itu pengambilan air mencukupi bagi bayi atau kanak-kanak sudah mula makan pejal.

"Bagi yang menyusu, saya sarankan ibu bapa pantau susu formula diambil sesuai kerana bimbang juga anak mereka ada masalah alahan pada bahan tenusu. Lain-lain petua saya selalu sarankan ibu untuk mengurut perut bayi mereka.

"Satu lagi ialah membuat gerakan pada kaki bayi mereka seolah-olah sedang mengayuh basikal. Ini membantu pergerakan usus sekali gus melancarkan proses anak untuk membuang air besar.

"Jika masih tidak boleh diselesaikan dengan kaedah itu, barulah doktor akan beri ubat untuk lembutkan najis dan penggunaan julap atau laksatif jika ada keperluan. Ini kerana bimbang anak terbiasa dan malas melakukan proses itu dengan sendiri," katanya.

Ada juga makanan tambahan seperti probiotik akan diberikan kepada pesakit mengikut keperluan kerana ada masalah sembelit yang berlaku akibat kekurangan bakteria baik dalam usus yang membantu kerja melawas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 7:00 AM