NILAI tahap menyayangi diri dengan melihat wajah di cermin.
NILAI tahap menyayangi diri dengan melihat wajah di cermin.
Muhamaad Razis Ismail


Ramai dalam kalangan kita sering berdepan masalah dalam hubungan tidak kisah membabitkan pasangan suami isteri, kekasih, rakan, ibu bapa dan sebagainya.

Tanpa disedari masalah ini timbul antaranya berpunca daripada kita yang tidak atau kurang menyayangi diri sendiri.

Jadi, benar ada istilah yang menyatakan seseorang itu perlu menyayangi diri sendiri sebelum menyayangi orang lain.

Bagaimanapun, sejauh manakah ia diaplikasi dalam kehidupan seharian?

Pakar Kepimpinan Diri Keluarga & Organisasi, Dr Azuraida Shahadan berkata, menyayangi diri merujuk kepada bagaimana cara kita menghargai dan melindungi diri.

DR AZURAIDA
DR AZURAIDA

Katanya, dalam keadaan ramai yang terkesan termasuk remaja berikutan negara dilanda pandemik Covid-19, mencintai diri sendiri adalah elemen penting.

"Ramai remaja berdepan masalah emosi kerana minda mereka belum terbentuk sepenuhnya sehingga membuat keputusan yang berubah-ubah.

"Bagi individu dewasa kebanyakan mereka mampu mengatasinya berbanding remaja yang kadangkala membuat keputusan di luar jangka.

"Oleh itu, melalui pendekatan menyayangi diri sendiri dapat membantu kita mencapai kejayaan, kebahagiaan dan mengawal diri," katanya selepas program Teen Talk di Hari Terbuka 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

RAMAI tidak menyedari kegagalan hubungan berpunca daripada kurang menyayangi diri.
RAMAI tidak menyedari kegagalan hubungan berpunca daripada kurang menyayangi diri.

Menurutnya, apabila seseorang itu memahami konsep menyayangi diri, individu itu akan lebih memahami dirinya sendiri.

"Kesannya, kita akan lebih mudah untuk mengawal situasi yang berada di sekeliling," katanya.

Mengulas lanjut, individu yang kurang menyayangi diri boleh memberi kesan negatif kepada sendiri dan orang lain.

"Mereka ini cenderung mencederakan diri sendiri secara fizikal. Contohnya apabila sedang stres, individu itu suka menghantukkan kepala di dinding, melukakan tangan dengan pisau dan sebagainya.

ABAIKAN kritikan yang menjatuhkan diri.
ABAIKAN kritikan yang menjatuhkan diri.

"Tidak hanya fizikal, ia juga boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental termasuk stres, kemurungan dan sebagainya. Jika tidak dikawal untuk jangka panjang ia boleh mengakibatkan penyakit mental," katanya.

Katanya, antara kaedah paling mudah untuk menilai kadar cinta terhadap diri itu adalah melihat diri di cermin.

"Perkataan pertama yang terdetik dalam diri apabila melihat wajah di cermin menggambarkan tahap kita mencintai diri sendiri.

"Sekiranya perkataan negatif, maka tahap kita menyayangi diri itu rendah," katanya.

Jelasnya terdapat formula yang boleh digunakan untuk meningkatkan rasa cinta terhadap diri sendiri antara dengan mengamalkan ABCDE.

PENDEKATAN menyayangi diri dapat membantu memahami dirinya sendiri.
PENDEKATAN menyayangi diri dapat membantu memahami dirinya sendiri.

Accept (Terima)

Terima apa yang kita miliki dengan hati terbuka. Kadangkala kita tidak terima kritikan berkenaan diri. Dengan menerima kritikan dengan hati terbuka, kita akan lebih bersyukur dengan apa yang kita miliki

Belajar terima pujian

Kita perlu tahu sebenarnya pujian itu adalah mengenai diri anda dan jangan jauhi pujian. Jangan terlalu memikirkan makna di sebalik pujian itu. Anda boleh memberi respon kepada pujian itu dengan berkata terima kasih.

Cakap perkara baik dengan diri

Apabila melihat diri di cermin, ucapkan perkara yang baik. Sekiranya melihat muka berkedut atau berjerawat, kita abaikan dengan hanya fokuskan dengan kecantikan diri.

GAGAL mengawal diri antara punca kurang menyayangi diri.
GAGAL mengawal diri antara punca kurang menyayangi diri.

Dengar muzik yang positif

Elakkan dari mendengar muzik yang ganas dan mempunyai lirik negatif. Dengar muzik yang mempunyai nilai positif dan memberi motivasi kepada diri.

Elakkan daripada menggunakan kata-kata kasar

Apabila kita menggunakan perkataan kasar termasuk mencarut, ia boleh yang beri impak negatif kepada diri.

MULAKAN hari dengan senyuman untuk kekal positif.
MULAKAN hari dengan senyuman untuk kekal positif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 6:20 AM