SESUAI untuk diberikan kepada bayi dan kanak-kanak.
SESUAI untuk diberikan kepada bayi dan kanak-kanak.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Buah naga atau pitaya antara buah eksotik yang digemari rakyat negara ini.

Mempunyai kulit yang unik, isinya lembut berbiji-biji halus, ia juga antara buah kegemaran kanak-kanak.

Begitupun, tahukah anda apa sebenarnya khasiat buah naga untuk kanak-kanak?

Buah naga dikatakan kaya dengan antioksidan tinggi yang dapat berfungsi membantu menghindari kerosakan atau keradangan sel. Salah satu antioksidan itu yang dinamakan fenol, dapat membantu melindungi bayi dari radikal bebas sehingga si kecil dikatakan tidak mudah sakit.

Uniknya, buah ini juga mengandungi beta karoten dan likopen yang membuatkannya berwarna terang.

Selain itu, buah naga juga memiliki kandungan prebiotik yang bagus untuk kesihatan perut kanak-kanak dan bayi.

Ia mengandungi sejenis karbohidrat yang dikenali sebagai oligosakarida yang berfungsi sebagai prebiotik untuk membantu meningkatkan fungsi pencernaan.

Dalam pada itu, jumlah serat yang tinggi pada buah naga juga dapat membantu kanak-kanak mencerna makanan dengan baik.

BUAH naga banyak khasiat.
BUAH naga banyak khasiat.

Ia sekali gus membantu melatih pergerakan usus kanak-kanak dan membantu mengurangkan masalah kembung perut.

Lebih istimewa, buah naga juga antara buah-buahan yang mengandungi mineral seperti zat besi, magnesium dan potasium.

Sumber mineral itu bukan saja baik untuk kesihatan tulang, malah ia juga membantu menggalakkan pertumbuhan rambut yang sihat.

Ia juga kaya dengan kandungan vitamin A dan vitamin C yang dapat membantu melindungi kanak-kanak daripada jangkitan serta baik untuk kesihatan kulit.

Selain manfaatnya yang banyak, tekstur buah naga juga lembut, menjadikannya pilihan sesuai dan selamat untuk diberikan kepada bayi seawal usia enam bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 6:30 AM