AMRAN menunjukkan kemahirannya melukis batik di Pameran Seni ‘Journey to Moscow’.
AMRAN menunjukkan kemahirannya melukis batik di Pameran Seni ‘Journey to Moscow’.
Muhamaad Razis Ismail


Bagi mengutip dana ke Pertandingan Abilimpik Antarabangsa ke-10 di Moscow, Rusia, Majlis Pemulihan Malaysia (MCR) menganjurkan Pameran Seni 'Journey to Moscow' di KL Jazz & Arts Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pameran selama tiga hari itu diadakan sempena Kempen Kesedaran Abilimpik 2021 bagi menyokong hasil kerja orang kurang upaya (OKU) dan mengutip dana untuk ke Pertandingan Ablimpik Antarabangsa tahun hadapan.

Seramai 16 peserta bakal mewakili negara ke pertandingan terbabit membabitkan 15 kategori termasuk melukis, memasak, gubahan bunga dan fotografi.

Abilimpik adalah pertandingan kemahiran vokasional antarabangsa untuk OKU mempamerkan potensi dan kebolehan mereka.

MCR adalah badan penyelaras yang bertanggungjawab menganjurkan Pertandingan Abilimpik bagi memilih mereka yang berkelayakan untuk mewakili negara ke Pertandingan Abilimpik Antarabangsa.

Presiden Majlis Pemulihan Malaysia (MCR), Datin Paduka Khatijah Sulieman berkata, sejak Malaysia menyertai pertandingan ini bermula tahun 1995, kita pernah memenangi pingat emas, perak dan gangsa.

"Insya-Allah, pada tahun hadapan, seramai 16 peserta dari Malaysia akan menyertai 15 kategori yang akan dipertandingkan termasuk melukis, seni tangan sutera, gubahan bunga dan memasak di Moscow," katanya.

DR Ahmad Zainuddin (kanan) membuka lukisan peserta sebagai tanda merasmikan Pameran Seni ‘Journey to Moscow’ baru-baru ini.
DR Ahmad Zainuddin (kanan) membuka lukisan peserta sebagai tanda merasmikan Pameran Seni ‘Journey to Moscow’ baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya melaksanakan pelbagai program termasuk menganjurkan pameran lukisan bagi mengumpul dana untuk membawa semua peserta ini ke Rusia pada tahun hadapan.

"Karya seni yang dipamerkan bukan sahaja dihasilkan

peserta Abilimpik, malah ramai OKU dan pelukis terdiri daripada rakan dan penyokong MCR.

"Pembelian karya seni ini, dapat memberi semangat dan membantu peserta Abilimpik Malaysia yang membawa nama negara ke persada antarabangsa.

Pameran dirasmikan Naib Canselor dan Presiden Kolej Universiti Yayasan Pahang, Profesor Emeritus Datuk Dr Ahmad Zainuddin.

Sementara itu, salah seorang peserta Abilimpik Malaysia, Amran Hamid, 42, mengakui teruja apabila sekali lagi dapat mewakili negara ke Pertandingan Abilimpik Antarabangsa.

Bapa kepada dua anak ini berkata, dia akan memanfaatkan sebaik mungkin peluang ini untuk mengharumkan nama negara bagi kategori seni tangan sutera.

SEBAHAGIAN lukisan di Pameran Seni ‘Journey to Moscow’.
SEBAHAGIAN lukisan di Pameran Seni ‘Journey to Moscow’.

Katanya, kini dia sedang membuat persediaan rapi untuk mendapat keputusan yang lebih baik berbanding di Perancis pada 2016.

"Walaupun sibuk bekerja sebagai pembantu Jabatan Kebajikan Masyarakat, saya cuba membahagikan masa sebaik mungkin untuk berlatih.

"Pihak MCR juga banyak membantu dengan menyediakan tenaga pengajar yang berpengalaman untuk saya meningkatkan kemahiran melukis batik bagi memperoleh keputusan terbaik di Rusia nanti," katanya.

Bagi Nur Amiratul Farahin Ab Rahman, 24, yang akan mewakili negara bagi kategori melukis berjanji akan melakukan yang terbaik di peringkat antarabangsa.

"Ini adalah pertandingan peringkat tertinggi yang pernah saya sertai.

"Biarpun serba kekurangan, saya bersyukur dianugerahkan dengan kelebihan boleh melukis sehingga dapat mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

"Saya mahu buktikan bahawa orang OKU juga mampu berjaya dan mengharumkan nama negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 6:40 AM