PASANGAN dan anak-anak antara pihak yang perlu dilatih untuk memahami keperluan individu itu bersendiri.
PASANGAN dan anak-anak antara pihak yang perlu dilatih untuk memahami keperluan individu itu bersendiri.
Nurul Husna Mahmud

ISTILAH 'me time' atau masa untuk diri sendiri selalu dianggap membazir kerana ada segelintir mengaitkannya sebagai tindakan yang memerlukan kos tinggi dan masa yang panjang.

Sedangkan masa untuk diri sendiri ini boleh dilakukan dengan rutin atau perbuatan yang mudah seperti mandi ataupun menikmati makanan kesukaan secara bersendirian.

Pensyarah Kanan dan Pakar Psikologi Kanak-kanak Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya Dr Noor Aishah Rosli, masih ramai tidak memahami keperluan masa untuk diri sendiri dan mengabaikan rutin itu yang hakikatnya mempunyai implikasi besar terhadap kesejahteraan mental individu.

"Konteks penting dalam 'me time' ialah kesedaran individu itu memperuntukkan sebahagian waktu untuk menghargai diri. Rutin itu eksklusif untuk diri dia, melakukan perkara yang disukai dan akhirnya membentuk pemikiran positif mengenai diri sendiri.

TIDUR adalah rutin mudah cara individu mengisi waktu untuk diri sendiri.
TIDUR adalah rutin mudah cara individu mengisi waktu untuk diri sendiri.

"Penting juga rutin itu boleh dilakukan setiap hari. Ini kerana impak atau kebaikan masa untuk diri sendiri ini adalah bertujuan menghargai diri dan meningkatkan rasa sayang pada diri," katanya.

Pilihan individu untuk mengisi waktu bersendiri itu tiada hadnya dan bersifat pelbagai mengikut kesesuaian kemampuan diri.

"Mengenai pilihan aktiviti bagi setiap individu mengisi waktu bersendirian itu juga pada saya subjektif dan mengikut kemampuan atau kapasiti masing-masing.

"Anda sebenarnya lebih tahu cara untuk hargai diri sendiri. Ada yang mengatakan dengan bercuti dan membeli-belah adalah cara mereka menghargai diri itu juga betul.

"Ada juga kata menikmati waktu mandi atau mengenakan pupur muka dan duduk dalam bilik berpenghawa dingin sambil berbaring juga sudah memadai. Kesimpulannya aktiviti yang dilakukan bergantung kepada keadaan dan situasi individu.

"Paling berkesan ialah jika rutin itu boleh dilakukan setiap hari dan boleh dinikmati dalam tempoh yang singkat. Contohnya saya mengisi waktu sendiri dengan berguling-guling dan menonton cerita di Youtube sudah dirasakan suatu yang mendatangkan ketenangan dan bertenaga untuk memulakan kerja,"katanya.

RUTIN untuk diri sendiri seperti membeli-belah dan melancong adalah contoh buat mereka yang mampu.
RUTIN untuk diri sendiri seperti membeli-belah dan melancong adalah contoh buat mereka yang mampu.

Pada mereka yang tiada waktu untuk menghargai diri kebiasaannya mudah rasa penat dan tertekan. Sekali gus itu mempengaruhi fikiran, emosi dan terserlah pada kelakuan.

"Apabila individu itu terlalu sibuk untuk beri masa pada diri atau melakukan perkara yang disukai, perasaan mereka akan menjadi serabut dan kemudiannya mempengaruhi fikiran.

"Keadaan itu jika tidak dibendung dan gagal ditangani akan menyebabkan ia mempengaruhi kelakukan termasuklah lebih mengeluh, mudah marah, mengeluarkan kata-kata kesat dan perbuatan negatif yang lain," katanya.

Menjelaskan lagi keperluan masa untuk diri sendiri itu ibarat telefon pintar yang perlu dicas bateri untuk kekal berfungsi setiap hari.

"Manusia juga perlukan dicas semula dan salah satunya dengan melakukan perkara disukai secara sendirian. Ketika ini mereka akan berfikir dan bercakap sesuatu yang baik untuk diri sendiri.

"Proses ini penting kerana keadaan itulah yang dorong mereka ada kesedaran nilai diri, menyayangi diri dan mula aturkan fikiran supaya dapat tingkatkan keyakinan diri," katanya.

MEMBELAI haiwan peliharaan seperti kucing juga antara pilihan aktiviti yang baik untuk isi diri bersendirian.
MEMBELAI haiwan peliharaan seperti kucing juga antara pilihan aktiviti yang baik untuk isi diri bersendirian.

Menyentuh perbezaan pilihan aktiviti atau cara menikmati waktu sendiri, kata Noor Aishah, peringkat umur memberi perbezaan ketara dalam individu menikmati waktu bersendiri.

"Bagi golongan dewasa sebenarnya tidak jauh beza cara individu itu menikmati waktu bersendiri baik lelaki dan wanita. Cumanya peringkat kanak-kanak dan remaja ada perbezaan sedikit.

"Pada usia ini mereka sebenarnya lebih menghargai 'me time' dengan berkongsi masalah bersama rakan atau individu lain selain ibu bapa. Mungkin jika mereka rapat dengan saudara kandung, mereka akan berkongsi atau lakukan perkara yang disukai dengan adik-beradik.

"Kalau tidak pun mereka ini lebih selesa untuk bercerita dengan orang luar termasuklah kaunselor. Menerusi cara itu mereka dapat tingkatkan rasa yakin pada diri," katanya.

Cabaran atau penghalang untuk individu mempunyai waktu untuk bersendiri atas beberapa faktor seperti persekitaran, konflik dengan pasangan dan pemikiran negatif.

HARGAI diri dengan melakukan sesuatu yang meningkatkan keyakinan diri.
HARGAI diri dengan melakukan sesuatu yang meningkatkan keyakinan diri.

"Apabila saya terfikir mengenai kesukaran individu untuk ada masa diri sendiri terus saya bayangkan wanita atau ibu yang tinggal dalam rumah yang kecil dan dipenuhi dengan anak-anak masih kecil.

"Memang keadaan atau faktor persekitaran sedemikian menyebabkan itu satu halangan individu untuk ada masa bersendirian. Bagi saya jika ada yang dalam keadaan begini pergilah keluar dan ambil masa untuk berjalan atau bersantai di padang atau taman berdekatan.

"Selain itu biasanya individu yang ada konflik dengan pasangan. Biasanya mereka ini tertekan dan diselubungi emosi negatif selain sukar untuk bertenang. Begitu juga jika individu itu seorang yang pemikirannya negatif, dengan bersendiri lebih banyak fokus terhadap perkara negatif serta kelemahan diri.

"Mereka ini sepatutnya cari tempat duduk sendirian dan kosongkan fikiran dengan melakukan sesuatu yang positif meskipun perbuatan itu semudah melelapkan diri di atas katil," katanya.

Beliau turut menasihati, masa untuk diri sendiri perlulah konsisten selain mengasuh ahli keluarga lain untuk memberi ruang pada diri.

"Bagi mereka yang sudah berkeluarga, saya sarankan 'setkan' satu aktiviti yang mudah untuk mereka lakukan setiap hari dan kemudian beritahu kepada ahli keluarga mengenainya. Dengan cara itu pasangan mahupun anak-anak dapat memahami isyarat mengenai waktu anda perlu bersendirian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 7:00 AM