SESEORANG yang memikirkan mengenai bunuh diri mungkin merasa terpencil dan putus asa.
SESEORANG yang memikirkan mengenai bunuh diri mungkin merasa terpencil dan putus asa.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Tahukah anda bahawa individu yang terfikir untuk membunuh diri sebenarnya mempunyai pelbagai sebab untuk 'melakukannya?'

Namun, bercakap mengenai pemikiran itu tidak menjadikan individu terbabit cenderung untuk mengakhiri hidup sebaliknya boleh menyelamatkan nyawa mereka.

Sebagai ahli keluarga atau rakan yang terdekat, individu itu sebenarnya boleh dibantu dengan pelbagai cara.

Psikologi Klinikal, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Shazrina Sabri berkata, ahli keluarga atau rakan terdekat boleh meluangkan masa berbual dengan individu berkenaan secara terbuka tanpa sebarang gangguan.

Katanya, perbualan itu boleh dilakukan sama ada ketika berjalan-jalan bersama, beriadah mahupun ketika memandu.

"Sekiranya anda melihat seseorang bercakap mengenai bunuh diri secara dalam talian, hantar mesej kepada mereka secara peribadi dan jangan kongsikan luahan mereka di media sosial.

"Mulakan perbualan dengan bertanya khabar, tanya keadaan dirinya, adakah urusan rumah, tempat kerja atau sekolahnya berjalan lancar dan sebagainya.

"Pastikan anda menunjukkan keprihatinan yang tulus terhadapnya dan dengar luahan tanpa penilaian," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Shazrina, selepas merasakan individu itu sudah mula mempunyai rasa percaya, bolehlah bertanya secara berterus-terang 'Adakah anda berfikir untuk membunuh diri? Dan jika jawapannya 'Ya', beberapa maklum balas boleh diberikan.

Antaranya, mengucapkan terima kasih kerana mempercayai dan sudi berkongsi perasaan berkenaan.

Selain itu, Shazrina berkata, individu yang mempunyai fikiran untuk membunuh diri juga perlu diyakinkan bahawa mereka sebenarnya tidak bersendirian.

"Beritahu mereka bahawa ada orang lain juga mempunyai perasaan yang sama dan mereka tidak bersendiri.

"Bantu mereka mendapatkan sumber bantuan untuk pencegahan bunuh diri seperti menelefon hotline bantuan dan bimbing mereka mendapatkan pertolongan daripada pakar kesihatan mental.

"Mereka mungkin memerlukan masa untuk bercakap dengan seseorang jadi, jika mereka masih tidak bersedia untuk mendapatkan bantuan profesional, yakinkan bahawa mereka tidak bersendirian. Selain bimbing untuk mengakses maklumat pertolongan diri secara dalam talian," katanya.

ELAKKAN daripada menganggap mereka sengaja mencari perhatian.
ELAKKAN daripada menganggap mereka sengaja mencari perhatian.

Jelas Shazrina lagi, ahli keluarga atau rakan terdekat juga harus mengetahui apakah individu terbabit sudah membuat sebarang perancangan (untuk membunuh diri).

Ini penting kerana orang yang sudah membuat perancangan sebenarnya adalah lebih berisiko.

"Sekiranya anda merasakan bahawa mereka berisiko atau mengatakan bahawa mereka tidak merasa selamat, sila bawa ke unit kecemasan dengan segera.

"Selain itu, anda juga dapat membantu mereka membuat rancangan krisis dan keselamatan yang terdiri daripada siapa yang harus dihubungi dan apa yang harus dilakukan dalam situasi krisis," katanya.

Sementara itu, Shazrina berkata, terdapat beberapa perkara yang tidak boleh dilakukan dalam membantu individu yang mempunyai fikiran untuk membunuh diri.

Kata Shazrina, jangan sesekali cuba memberitahu kepada mereka bahawa bunuh diri akan menyakitkan perasaan orang tersayang.

Selain itu, jangan cuba menyelesaikan masalah mereka dan sentiasa dengar masalah yang diluahkan dengan penuh rasa empati serta tidak menuding jari.

Katanya, elakkan juga daripada menganggap mereka sengaja mencari perhatian sebaliknya ambil serius luahan dan perasaan mereka.

"Apapun, jangan sesekali cuba mencari jalan keluar yang mudah dengan meminta mereka bersikap ceria atau bersikap positif kerana ia akan menunjukkan bahawa anda menafikan perasaan mereka.

"Ini kerana seseorang yang memikirkan mengenai bunuh diri mungkin merasa terpencil dan putus asa.

"Sebaiknya, jadilah individu yang mendengar tanpa spekulasi dan bantulah mereka mendapatkan sokongan serta bantuan yang diperlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 7:00 AM