PETUGAS Hospital Pakar KPJ Rawang dari pelbagai unit membantu program Pick.
PETUGAS Hospital Pakar KPJ Rawang dari pelbagai unit membantu program Pick.
Nurul Husna Mahmud


DALAM usaha mencapai imuniti kelompok bagi membendung penularan pandemik Covid-19 dan mengurangkan komplikasi penyakit terbabit, institusi swasta turut menyatakan komitmen dalam menjalankan proses vaksinasi kepada orang ramai.

Tidak ketinggalan dalam menyertai usaha itu ialah Hospital Pakar KPJ Rawang di bawah Kumpulan KPJ Healthcare Berhad apabila terpilih sebagai lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 yang berdaftar dengan ProtectHealth Corporation.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Christine Chew, penyertaan Hospital Pakar KPJ Rawang, membolehkan masyarakat setempat mendapat akses yang lebih mudah dan selesa bagi mendapatkan vaksin Covid-19.

"Ini antara usaha pihak hospital untuk membantu kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) khususnya masyarakat yang menetap sekitar Hulu Selangor, Gombak dan 30 kilometer radius dari kawasan hospital.

"PPV ini sudah memulakan operasi pada Julai lalu dengan kapasiti harian sekurang-kurangnya 100 suntikan vaksinasi. Sehingga kini (ketika artikel ini ditulis) sejumlah 1,080 vaksinasi untuk penerima berusia antara 60 hingga 80 tahun diberikan.

CHRISTINE bersama penerima vaksin warga emas di PPV KPJ Rawang.
CHRISTINE bersama penerima vaksin warga emas di PPV KPJ Rawang.

"Kami akan meningkatkan kapasiti ini secara berperingkat sehingga 120 vaksinasi sehari bagi mencapai sasaran semasa keadaan endemik ini," katanya.

Pihaknya menyarankan orang ramai mengambil inisiatif mendaftarkan temu janji bagi mendapatkan vaksin Covid-19 dengan segera menerusi platform yang ditetapkan.

"Oleh kerana vaksinasi berkenaan dilakukan sebagai sebahagian daripada program Pick di bawah Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF), semua vaksinasi diberikan adalah percuma dengan kos yang ditanggung kerajaan Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 6:39 AM