KULIT kemerahan antara ciri penyakit rosacea.
KULIT kemerahan antara ciri penyakit rosacea.
Muhamaad Razis Ismail


WAJAH kemerahan sering dianggap cantik sehingga mampu menarik perhatian ramai.

Kebiasaannya wajah seperti ini sering dilihat dalam kalangan model dan pelakon yang menghias kaca televisyen, akhbar dan majalah.

Jadi, tidak hairanlah ramai yang mengimpikan untuk memiliki kulit ala Caucasian ini untuk kelihatan lebih cantik.

Bagaimanapun ramai yang masih tidak menyedari bahawa, keadaan wajah seperti ini berkemungkinan besar adalah kesan daripada penyakit rosacea.

Selain itu, jerawat, bernanah, kulit kering dan salur darah berkembang (telangiectasia) antara ciri-ciri penyakit kulit ini yang masih ramai tidak mengetahuinya.

Pakar Estetika, Mejar (B) Dr Hamidah Mohd Salleh berkata, rosacea adalah penyakit kulit kronik yang sering berlaku di bahagian tengah muka.

Katanya, ia biasanya kelihatan di dahi, hidung, pipi, dagu dan kadang kala boleh dikesan di bahagian leher.

"Penyakit ini sering berlaku dalam kalangan individu berusia antara 30 hingga 50 tahun dan boleh juga membabitkan bayi selain warga emas.

"Wanita mempunyai peratusan lebih tinggi untuk terkena penyakit ini namun lelaki (hidap rosacea) akan mengalami simptom yang lebih teruk," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau yang bertugas di Klinik Lovina berkata, sehingga kini punca sebenar penyakit ini masih kurang jelas dalam dunia perubatan.

PENCUCI muka tidak sesuai menjadikan rosacea lebih serius.
PENCUCI muka tidak sesuai menjadikan rosacea lebih serius.

"Bagaimanapun, kajian mendapati genetik antara faktor yang menyebabkan penyakit ini. Sekiranya mempunyai sejarah keluarga yang mengalami rosacea, anda memiliki peratusan tinggi untuk menghidap penyakit sama.

"Penggunaan produk yang mempunyai kandungan steroid boleh menyebabkan penyakit ini menjadi lebih serius selain mempunyai peratusan parasit Demodex yang tinggi di muka.

"Faktor lain adalah persekitaran antaranya bekerja di tempat panas dan tidak memakai krim tabir suria (sunscreen) serta pelindung matahari," katanya.

Beliau berkata, kesedaran masyarakat terhadap penyakit ini masih lagi rendah dan kebanyakannya hanya menyedari selepas bertemu dengan doktor.

"Masih ramai yang beranggapan, muka kemerahan dan salur darah yang kelihatan di wajah nampak cantik namun sebenarnya ia berkemungkinan besar tidak sihat," katanya.

BERTEMU doktor untuk pengesahan.
BERTEMU doktor untuk pengesahan.

Selain itu, ada yang beranggapan, kulit hidung menjadi tebal dan menggerutu adalah berpunca daripada masalah resdung.

"Perlu juga diingat rosacea tidak sama dengan kulit terbakar (sunburn) kerana ia (kulit terbakar) tidak berlaku sepanjang masa.

"Mereka yang berkulit gelap juga tidak terkecuali daripada terkena penyakit ini," katanya.

Jelasnya, penyakit rosacea boleh dibahagikan dalam empat kategori iaitu Erythematotelagiectasia, Papulopustular, Rhinophyma dan Ocular.

RHINOPHYMA menyebabkan kulit hidung menjadi tebal.
RHINOPHYMA menyebabkan kulit hidung menjadi tebal.

Mengulas lanjut, penyakit ini tidak berjangkit dan menyebabkan kematian namun boleh menjadi lebih serius sekiranya tidak mendapatkan rawatan.

"Antaranya, anda akan berdepan masalah kulit di muka termasuk jerawat dan kulit tebal di hidung.

"Keadaan ini secara tidak langsung memberi kesan kepada keyakinan diri dan boleh menyebabkan kemurungan.

"Lebih serius, penyakit ini boleh memberi kesan kepada penglihatan sehingga menyebabkan keradangan kornea," katanya.

Mereka yang mengalami rosacea, dinasihatkan mengelakkan makanan pedas, alkohol, kopi, senaman secara berlebihan dan penggunaan krim mengandungi steroid sebagai langkah pencegahan.

"Selain itu juga, doktor akan berikan antibiotik oral dan sapu. Rawatan vaskular laser boleh dilakukan untuk menghilangkan

telangiectasia.

"Bagi yang mengalami rhinophyma, pembedahan perlu dilakukan untuk membuang kulit tebal pada hidung," katanya.

BOLEH beri kesan kepada penglihatan.
BOLEH beri kesan kepada penglihatan.

Kategori rosacea:

1.Rosacea erythematotelagiectasia - kulit muka kemerahan dan salur darah mengembang kelihatan di permukaan kulit.

2.Rosacea Papulopustular- muka kemerahan dan terdapat jerawat yang tidak surut biarpun menggunakan pelbagai ubat serta pencuci muka.

3.Rosacea Rhinophyma- kulit tebal di hidung dan menggerutu selain kulit berlebihan di pipi atau dahi. Ia kerap berlaku dalam kalangan lelaki.

4.Rosacea Ocular- mata sering merah, kelihatan kotor, mengalami radang mata dan kelopak mata menjadi bengkak. Boleh mengakibatkan kerosakan kornea.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 7:02 AM