PCOS turut beri kesan pada kitaran haid, kesuburan serta  fizikal seseorang. - FOTO Google
PCOS turut beri kesan pada kitaran haid, kesuburan serta fizikal seseorang. - FOTO Google
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SINDROM Ovari Polisistik atau PCOS adalah gangguan metabolik, endokrin dan reproduktif yang mempengaruhi tahap hormon seseorang wanita.

PCOS adalah sindrom yang boleh memberi kesan kepada kitaran haid, kesuburan dan rupa fizikal seseorang wanita yang menghidapinya.

Pesakit PCOS akan menghadapi masalah kitaran haid tidak menentu disebabkan ketidak-seimbangan hormon dalam badan dan ini boleh menjejaskan kesuburan pesakit.

Penghidap PCOS juga mempunyai level hormon lelaki (androgen) yang lebih tinggi, menghasilkan hirsutism, rambut kepala nipis di bahagian ubun-ubun (botak) dan jerawat.

Diangggarkan PCOS mempengaruhi seorang daripada 10 wanita sepanjang usia reproduktif mereka.

Apa yang lebih membimbangkan adalah, sekurang-kurangnya 50 peratus wanita masih tidak didiagnosis kerana tidak sedar selain gejala yang mereka alami adalah dari segi fizikal sahaja.

Keadaan itu sememangnya perlu dielakkan kerana jika tidak didiagnosis atau dirawat, risiko untuk mengalami komplikasi kesihatan jangka panjang adalah tinggi.

Antaranya ia boleh menyebabkan kanser endometrium, tekanan darah tinggi, diabetes jenis 2 termasuk kadar kemurungan dan kegelisahan yang tinggi.

PCOS amnya sering digambarkan sebagai sista berganda yang terbentuk di ovari dan menyebabkan telur (di ovari) dilepaskan secara tidak teratur.

Sista berkenaan menghasilkan hormon yang dikenali sebagai androgen ('hormon lelaki').

Tahap androgen yang tinggi akan menyumbang kepada haid tidak teratur dan menyebabkan lebih banyak simptom PCOS.

Walaupun kes sebegitu sering berlaku kepada 50 peratus daripada pesakit PCOS namun ada juga pesakit yang tidak mempunyai sista.

TIGA wanita tulang belakang kempen kesedaran, MY PCOS, I Love You. - FOTO Google
TIGA wanita tulang belakang kempen kesedaran, MY PCOS, I Love You. - FOTO Google

Malah ada juga segelintir wanita yang tidak mengalami PCOS tetapi mempunyai sista.

PCOS mempunyai pelbagai simptom dan tahap keparahan serta bukan semua wanita mengalami tanda yang sama.

Gejala boleh berlaku seawal selepas akil baligh, iaitu ketika remaja atau dewasa.

Diagnosis dapat dilakukan berdasarkan gejala berikut iaitu ovari polisistik, haid yang tidak teratur (atau tidak ada haid sama sekali), jerawat, ketahanan insulin, senggugut teruk, keguguran rambut atau hirsutisme, masalah berat badan serta kemandulan.

Bagi majoriti yang menghadapi PCOS, mengawal gejala fizikal bukan senang namun mereka juga terpaksa mengawal emosi dan kesihatan mental membabitkan kemurungan dan kegelisahan yang juga sering dianggap tidak penting.

Dalam hal itu, adalah penting bagi pasangan, rakan-rakan atau ibu bapa untuk menyokong dan memberi semangat.

Apabila PCOS diurus dengan baik, kualiti hidup akan bertambah baik, untuk itu lakukan perubahan gaya hidup sama ada mencuba diet baru dan terus berjuang sehingga dia mendapat rawatan sebaik mungkin.

Justeru, sempena bulan kesedaran PCOS, My PCOS Sdn Bhd melancarkan 'MY PCOS, I Love You,' iaitu sebuah platform utama untuk semua maklumat berkenaan sindrom berkenaan.

Seiiring dengan itu, satu siri web (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris) dan pelbagai program serta

aktiviti bulanan membabitkan pakar perubatan profesional akan diadakan untuk orang ramai.

Turut diadakan, bengkel dan webinar perkongsian ilmu untuk wanita dan penyokong mereka.

Sebagai sebahagian daripada pelancaran 'MY PCOS, I Love You,' penonton dapat menyaksikan pelancaran siri itu melalui laman sesawangnya yang memaparkan satu episod setiap dua minggu yang dikhususkan untuk 16 wanita Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat, berkongsi pengalaman mereka sendiri dengan PCOS.

MASALAH rambut berlebihan yang biasa dialami oleh penghidap Sindrom PCOS. - FOTO Google
MASALAH rambut berlebihan yang biasa dialami oleh penghidap Sindrom PCOS. - FOTO Google

APABILA PCOS diurus dengan baik, kualiti hidup akan bertambah baik. - FOTO Google
APABILA PCOS diurus dengan baik, kualiti hidup akan bertambah baik. - FOTO Google

Ia meliputi cabaran, kesukaran dan kemenangan yang dilalui menjadikan mereka wanita lebih kuat serta tabah.

Sesi siaran langsung juga akan diadakan bersama pelopor dalam Penggantian Hormon Bioidentikal, Dr Neal Rouzier; Pengasas PlusVibes, Madiha Fuad; Pakar Kesihatan Wanita, Dr Sharan Kaur; Doktor Perubatan Pencegahan MK Prima, Dr. Keily Wong, Raja Sarina Iskandar dan pengarang terkenal, Lara Briden.

Tidak ketinggalan, pameran berkaitan PCOS akan diadakan di sekolah dan universiti kelak.

Dalam kumpulan sokongan itu, mereka akan menceritakan kisah suka duka selain berkongsi info terkini berkaitan cara menangani sindrom dalam jangka masa yang panjang.

Sementara itu, organisasi berkenaan ditubuhkan tiga wanita iaitu Deena Marzuki selaku Pengasas Bersama dan Presiden, Ili Sulaiman (Pengasas bersama dan Duta) serta Stephanie Yang (Pengasas bersama merangkap Penasihat).

Mereka bertemu ketika masing-masing sedang berusaha untuk mengawal PCOS.

Bersama-sama, mereka berkongsi kesusahan, semangat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat sambil mewujudkan sebuah komuniti dan ruang selamat bagi meningkatkan kehidupan wanita Malaysia yang berjuang dengan sindrom itu.

Deena umpamanya, didiagnosis dengan PCOS ketika usianya baru 17 tahun dengan pelbagai gejala seperti haid yang tidak teratur, keletihan dan pertumbuhan rambut yang berlebihan.

Ili pula adalah pengacara program makanan dan usahawan yang mengalami kegelisahan, kemurungan, keguguran rambut dan kenaikan berat badan, akhirnya didiagnosis dengan sindrom PCOS, ketahanan insulin serta endometriosis.

Manakala Stephanie adalah seorang usahawan farmaseutikal dan jurulatih kesihatan wanita.

Walaupun bekerja di bidang kesihatan, Stephanie tanpa sedar menderita PCOS hampir empat tahun selepas kelahiran anak keduanya.

Stephanie melakukan ujian darah dan keputusan menunjukkan dia menghadapi masalah ketahanan insulin, hipertiroidisme, gejala keguguran rambut, keletihan dan haid yang tidak menentu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 7:01 AM