NUR KHURSHIAH sedang menyediakan air rebusan untuk tangas basah wangi.
NUR KHURSHIAH sedang menyediakan air rebusan untuk tangas basah wangi.
Nurul Husna Mahmud


Tanggapan penulis mengenai rawatan tradisional, tangas hanya eksklusif untuk wanita selepas bersalin adalah tidak tepat.

Lebih mengejutkan tangas boleh dilakukan terhadap lelaki sebagai rawatan alternatif bagi penyakit berkait dengan angin pasang.

Itu fakta menarik dikongsi Pengasas Manja Suri Homespa, Nur Khurshiah Khalib mengenai kaedah rawatan tradisi itu yang sering kali dilihat antara prosedur penting dalam rawatan selepas berpantang.

Kata Nur Khurshiah, bukan sahaja golongan wanita tidak jelas mengenai prosedur rawatan itu, malah ada pengamal perubatan tradisional juga kurang cakna dengan kaedah tangas yang sebenar.

"Ramai orang kita mengaitkan tangas adalah benda yang sama dengan orang dulu-dulu mandi wab sebagai rawatan buat wanita bersalin. Bukan wanita yang berpantang sahaja keliru dengan kaedah sebenar, ada segelintir perawat atau bidan tradisi kurang jelas dengan kaedah itu.

"Tangas yang sebenar boleh dilihat apabila kaedah rawatan itu menggunakan kerusi khas yang berlubang di bahagian tengah. Ia sengaja direka sedemikian bagi membolehkan ramuan atau aktiviti bertangas dapat dilakukan dengan merawat ruangan intim wanita.

"Kalau mandi wap pula, biasanya tiada bukan pada permukaan duduk dan biasanya seluruh badan 'dikelubung' bagi membolehkan badan berpeluh. Kaedah ini sebenarnya berkesan juga untuk turunkan berat badan selain pembuangan toksin menerusi berpeluh," katanya.

Tangas juga bukanlah dihadkan untuk merawat masalah wanita selepas bersalin semata-mata. Sebaliknya terdapat beberapa jenis tangas yang dibezakan dengan penggunaan ramuan dan peranannya digunakan merawat wanita pelbagai peringkat usia.

Lelaki juga tidak ketinggalan boleh memanfaatkan rawatan tangas tertentu bagi mengubati masalah berkait dengan angin pasang dan buasir.

"Tangas dalam rawatan alternatif sebenarnya ada tiga jenis dan setiap satunya mempunyai peranan tertentu. Dua daripada tangas itu pula terbahagi kepada dua mengikut ramuan yang digunakan.

"Tiga jenis tangas yang ada dalam dunia perawatan tradisi ialah tangas basah, tangas kering dan tangas perasap. Bagi tangas basah dan kering itu juga terbahagi kepada dua iaitu herba serta wangi.

TANGAS basah bagi mengeluarkan kotoran atau darah kotor yang terperangkap dalam saluran intim atau peranakan.
TANGAS basah bagi mengeluarkan kotoran atau darah kotor yang terperangkap dalam saluran intim atau peranakan.

"Sebagai contoh tangas basah wangi menggunakan ramuan jenis bunga-bungaan dalam jumlah yang ganjil. Manakala bagi tangas basah herba pula menggunakan air rebusan herba," katanya.

Menjelas lebih lanjut fungsi tangas kepada wanita berpantang, setiap jenisnya mempunyai fungsi dan peranan tertentu.

"Tangas basah wangi atau herba, biasanya digunakan bagi mengeluarkan kekotoran atau darah nifas yang masih berbaki dalam saluran faraj atau rahim.

"Malah tangas basah ini juga membantu merawat keputihan dan kekotoran dalaman sepanjang saluran peranakan sehinggalah ke bahagian intim turut digelar 'makam' rahsia. Selain itu tangas ini juga membantu memecahkan lemak, air dan angin yang terperangkap dalam badan.

"Menerusi kaedah dan ramuan yang betul contohnya penggunaan herba bagi merawat masalah angin terperangkap pada bahagian rahim boleh dikeluarkan menerusi sendawa atau kentut (kentut faraj) apabila menjalani tangas," katanya.

Tangas basah juga digunakan bagi wanita yang belum berkahwin dan lelaki yang mempunyai masalah angin pasang.

Tambahnya, rawatan tangas basah boleh dilakukan pada hari ke - 30 untuk wanita berpantang dan disusuli 14 hari kemudian dengan tangas kering atau dikenali sebagai tangas perapat.

BATU sungai dibakar digunakan dalam terapi tangas kering.
BATU sungai dibakar digunakan dalam terapi tangas kering.

"Sementara itu, tangas kering pula menggunakan batu tungku atau sungai yang dipanaskan. Bahan-bahan seperti daun sireh digunakan sebagai alas sebelum meletakkan ramuan lain di atasnya seperti herba bagi tangas kering herba.

"Bagi tangas wangi pula menggunakan bunga atau minyak aroma bagi merawat anggota kelamin. Tangas kering wangi juga diungkapkan sebagai 'ungkup wangi' atau 'ganggang wangi' di sesetengah tempat.

"Tangas ini juga dikenali sebagai tangas perapat bagi wanita bersalin untuk merapatkan semula anggota faraj dan rahim. Ia juga membantu mencegah jangkitan bakteria di kawasan intim," katanya.

Selain untuk merapatkan anggota intim wanita, tangas kering terutama herba boleh digunakan sebagai rawatan alternatif bagi individu yang mempunyai masalah buasir.

Terakhir sekali ialah tangas perasap. Tangas perasap menggunakan kerusi kayu khas yang hanya mempunyai ruang terbuka pada ruang atas.

"Ramuan penting ialah arang bagi membolehkan asap itu digunakan dalam mengeluarkan toksin atau saki baki darah yang melekat pada bahagian saluran peranakan.

"Tangas perasap juga berkesan mengubati masalah saluran rahim terkeluar atau 'tombong.' Saluran rahim dihadapi wanita biasanya sepanjang lima hingga tujuh sentimeter mengikut individu.

SIRIH menjadi ramuan utama dalam merawat masalah dalaman wanita dengan cara bertangas.
SIRIH menjadi ramuan utama dalam merawat masalah dalaman wanita dengan cara bertangas.

"Rupa 'tombong' terkeluar ini tidak selesa pada pandangan mata.

Ia dikatakan berpunca daripada wanita yang bersalin itu melanggar pantang.

"Pada masa sama, tangas berasap ini juga membantu mengecutkan rahim dan salah satu rawatan penutup kepada tempoh berpantang iaitu dilakukan selepas 100 hari," katanya.

Beliau turut mengingatkan sebarang rawatan tangas hanya bermula selepas 30 hari berpantang bagi mengelak komplikasi.

"Baik ibu atau pengamal perubatan tradisi, paling penting dalam kaedah bertangas ialah masa serta kaedah betul memastikan keberkesanan rawatan tanpa sebarang komplikasi.

"Andainya tangas dilakukan di awal tempoh berpantang, risiko seperti tumpah darah, luka terbuka dan 'tumpah air' boleh berlaku.

"Ibu itu juga boleh mengalami masalah dehidrasi yang serius termasuklah sakit kepala dan pengsan apabila tangas dilakukan di awal tempoh berpantang," katanya.

Sementara itu, ibu kepada lima cahaya mata, Rusdiana Aripin, 36, mengakui apabila dia melakukan tangas selepas bersalin anak kelima, kesihatan bertambah baik.

NUR Khurshiah melakukan rawatan tangas bagi wanita sementara suaminya pula membantu lelaki yang mengalami masalah angin pasang dengan tangas.
NUR Khurshiah melakukan rawatan tangas bagi wanita sementara suaminya pula membantu lelaki yang mengalami masalah angin pasang dengan tangas.

"Sebelum ini saya tidak tahu sangat kepentingan berpantang dan hanya menjalani rawatan yang penting sahaja seperti tertungku dan berurut.

"Apabila saya lakukan rawatan tangas, rasa perbezaan ketara. Badan jadi ringan dan tiada sakit atau bisa-bisa badan.

"Setiap kali rasa sakit kepala atau badan lesu, saya amalkan rutin bertangas sebulan sekali untuk bantu kembalikan kesihatan dan kecergasan tubuh," katanya.

Katanya, dia sukar berpeluh dan menjadi ibu kepada lima cahaya mata memerlukan dia cergas sepanjang masa.

"Bertangas pada saya membantu badan untuk berpeluh sebab saya susah sangat berpeluh. Kata orang peluh mengeluarkan toksin.

"Saya bukan sahaja lencun dengan peluh tetapi kadang-kala kentut dan sendawa membuatkan badan jadi selesa. Malam pula lebih lena tidur selepas lakukan rawatan bertangas ,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 7:00 AM