WARNA mampu beri impak visual yang kuat.
WARNA mampu beri impak visual yang kuat.
Muhamaad Razis Ismail


WARNA sebenarnya mempunyai kekuatan tertentu kepada wajah pemakai yang diterjemahkan secara visual tanpa disedari.

Ilmu mengenai rahsia warna dapat membantu seseorang untuk mencapai mesej atau impak visual yang diingini kepada orang sekeliling selain menaikkan seri wajah.

Sebagai contoh, warna merah memberi mesej berani, biru untuk tenang dan sebagainya.

Perunding imej bertauliah, Azlia Idha berkata, sebenarnya tidak semestinya warna yang disukai adalah warna paling sesuai dengan pemakai.

Katanya, walaupun seseorang itu berkulit putih, terdapat warna yang membuatkan pemakai kelihatan lebih pucat apabila mengenakannya.

"Bahagian warna yang paling penting untuk dititikberatkan adalah yang paling dekat dengan wajah iaitu warna tudung atau blaus (bagi lelaki atau wanita yang tidak bertudung).

"Ini kerana warna itu akan memberikan impak kepada keseluruhan kulit wajah sama ada kelihatan lebih berseri atau sebaliknya," katanya.

Menurutnya, mengenali warna yang sesuai dengan wajah mampu memberi impak visual yang kuat kepada keseluruhan penampilan seseorang.

"Contohnya, anda boleh mempamerkan mesej kelihatan lebih berpengaruh, matang atau mesra apabila memakai warna yang sesuai.

"Selain itu, kita dapat menyerikan wajah yang pucat walaupun pemakai tidak mengenakan atau sekadar solekan yang nipis.

"Pada masa sama, apabila kita tahu apakah warna sesuai, kita tidak akan membuang masa dan membazir duit membeli warna tudung atau pakaian yang kurang sesuai," katanya.

Jelasnya kesilapan memilih warna boleh memberi kesan imej dan penampilan individu antaranya kulit wajah akan kelihatan lebih kusam serta lesu.

ANALISIS warna pada wajah.
ANALISIS warna pada wajah.

"Selain itu, garis kedutan, parut atau lingkaran gelap mata akan kelihatan lebih ketara. Wajah juga kelihatan lebih berumur dan makin tenggelam.

"Tanpa disedari, apabila keadaan ini berlaku pemakai akan rasa tiada 'mood' dan aura," katanya.

Azlia berkongsi langkah mudah menganalisis warna yang sesuai:

a) Cari kawasan yang tidak terlalu terang atau suram pencahayaannya. Cahaya semula jadi adalah yang terbaik. Sekiranya menggunakan lampu, pastikan cahaya putih.

b) Berdiri dan pastikan wajah menghadap lurus di hadapan cermin.

c) Letakkan baju atau tudung pada keliling wajah

d) Perhatikan tiga bahagian berikut:

Lingkaran gelap bawah mata

Parut atau bekas jerawat

Kedut penuaan atau garis-garis halus wajah

Sekiranya tiga bahagian ini kelihatan lebih jelas ketara apabila memakai warna itu, bermakna ia (warna) kurang sesuai dengan anda. Warna yang sesuai akan membuatkan tiga bahagian itu kurang ketara.

Namun, untuk mendapatkan keputusan yang lebih tepat, anda dinasihatkan membuat sesi konsultasi analisis warna bersama perunding imej bertauliah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 6:47 AM