ELAKKAN makan ketika waktu bekerja.
ELAKKAN makan ketika waktu bekerja.
Muhamaad Razis Ismail


KINI ramai yang bekerja dari rumah bagi mengekang penularan pandemik Covid-19. Situasi itu mempunyai cabaran tersendiri termasuk perlu mengawal nafsu makan kerana lebih mudah untuk ke dapur.

Tambahan pula, tiada ketetapan waktu makan seperti di pejabat menyebabkan ada dalam kalangan kita makan hampir setiap masa.

Sekiranya tidak terus dikawal, tabiat makan seperti ini boleh mengundang kepada peningkatan berat badan atau obesiti.

Terdapat lima panduan mengawal dan menjalani gaya hidup sihat ketika bekerja dari rumah.

1. Buat jadual bekerja seperti di pejabat

Pastikan anda mengambil sarapan, makan tengah hari, makan malam setiap hari pada waktu yang tepat.

Elakkan makan ketika waktu bekerja.

2. Elakkan ruang bekerja dekat dengan dapur

Ramai dalam kalangan kita tidak mempunyai ruang bekerja sehingga menggunakan meja makan yang kebiasaannya terletak berhampiran untuk menyiapkan tugasan sekali gus memudahkan kita mendapatkan makanan.

Oleh itu pastikan ruang bekerja terpisah dari dapur.

3. Sediakan makanan sejuk beku lebih awal

Apabila miliki jadual kerja yang padat, kita lebih cenderung untuk mengambil makanan yang mudah disediakan untuk menjimatkan masa.

Oleh itu, anda boleh sediakan makanan lebih awal sebelum disimpan di dalam peti bahagian sejuk beku tidak lebih tiga hari.

Apabila tiba waktu makan, anda hanya perlu panaskan sahaja.

4. Elakkan simpan stok makanan tidak berkhasiat

Apabila makanan ringan seperti kerepek dan jeruk berada dalam simpanan, kita lebih cenderung untuk menjadikannya sebagai snek ketika bekerja.

Boleh gantikan dengan kacang dan buah-buahan yang disimpan di tempat yang mudah untuk diambil.

5. Aktiviti fizikal

Ambil kesempatan untuk melakukan regangan dan senaman ringan sebelum kembali memulakan kerja.

Ia bukan sahaja dapat memberi kesegaran dan meringankan ketegangan otot selepas duduk terlalu lama malah dapat membakar kalori kerana kurang bergerak di dalam rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 6:44 AM