WANITA disebalik penemuan vaksin Covid-19. - FOTO Google
WANITA disebalik penemuan vaksin Covid-19. - FOTO Google
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SEBUT sahaja mengenai vaksin Covid-19 , ramai yang hanya mengetahui namanya sahaja sama ada Comirnaty (dikenali sebagai Pfizer dalam kalangan masyarakat kita), AstraZeneca, Sinovac, Moderna dan sebagainya.

Namun tahukah anda bahawa di sebalik kejayaan penemuan dan penghasilan vaksin berkenaan, ada sumbangan penting dilakukan wanita.

Vaksin pilihan ramai, Comirnaty misalnya, dihasilkan syarikat Pfizer - BioNTech dengan tonggak utama di sebalik penemuan itu adalah pasangan suami isteri Islam berketurunan Turki, Saintis Dr Ozlem Tureci dan suaminya, Profesor Dr Ugur Sahin.

Ozlem, 53, adalah anak kepada ahli fizik warga Turki yang berhijrah ke Jerman dan berkenalan dengan suaminya pada tahun 1990.

Selepas berkahwin, Ozlem dan suaminya hanya memberi fokus kepada penyelidikan, pada masa yang sama menjadi pengajar di Universiti Zurich.

Pasangan saintis yang pakar dalam kajian mencari penawar kanser itu kemudian menubuhkan BioNTech bagi membuat penelitian mengenai kod genetik yang diubah atau Messenger RNA (mRNA).

Ini kerana, Ozlem dan suaminya percaya bahawa mRNA yang diubah suai boleh digunakan untuk 'menipu' badan bagi melawan barah.

Justeru, apabila koronavirus meletus menjadi pandemik dengan cepat di beberapa bahagian di China, Ozlem, suami dan pasukan saintisnya segera memulakan Projek Lightspeed untuk menghasilkan vaksin.

CATHERINE  dan Sarah adalah tonggak penting di sebalik penemuan vaksin AstraZeneca. - FOTO Google
CATHERINE dan Sarah adalah tonggak penting di sebalik penemuan vaksin AstraZeneca. - FOTO Google

Kajian mencari vaksin terbabit dimulakan pasangan itu sejak Januari tahun lalu dan kerjasama dengan syarikat gergasi farmasi Amerika Syarikat, Pfizer berjaya menghasilkan vaksin yang mempunyai kadar keberkesanan lebih 90 peratus dalam ujian kinikal peringkat akhir.

Kata Ozlem, ia adalah satu keputusan yang menakjubkan hasil kerjasama peringkat antarabangsa .

"Saya percaya, jika anda memiliki pasukan yang hebat, anda mampu untuk menyelesaikan sebarang masalah dan halangan yang mendatang.

"Asas yang sama juga boleh diguna pakai untuk sistem imunisasi bagi mengatasi kanser.

"Kami memiliki pelbagai vaksin kanser berasaskan teknologi mRNA namun ia masih memerlukan masa sebelum dapat diguna pakai sepenuhnya," katanya yang turut dianugerahkan Order of Merit, daripada Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier.

Meskipun kini bergelar jutawan, pasangan itu hidup secara sederhana bersama seorang anak perempuan di sebuah pangsapuri berdekatan ibu pejabat BioNTech di Mainz.

Dalam pada itu, penemuan Vaksin Oxford AstraZeneca menyebabkan nama Profesor Vaksinologi Universiti Oxford, Profesor Sarah Gilbert dan rakannya, Ketua Kemudahan Pembuatan Bio Klinikal universiti terbabit, Dr Catherine Green mula menjadi sebutan.

Selain Sarah dan Catherine, pasukan saintis yang menemui vaksin itu turut disertai barisan profesor lain iaitu Andrew Pollard, Peter Horby, Martin Landray, Teresa Lambe dan Adrian Hill.

Begitupun sebagai individu yang mencipta vaksin, Sarah sebenarnya boleh mengaut keuntungan yang banyak namun beliau menolak untuk mematenkan vaksin itu apatah lagi mendapatkan royalti atas usaha kerasnya.

"Saya tidak mahu mengambil hak paten penuh.

"Ini kerana saya mahu membahagikan keuntungan intelektual dan sesiapa pun boleh membuat vaksin mereka sendiri," katanya yang sebelum itu turut terbabit dalam penyelidikan selain pembangunan vaksin Ebola, malaria dan MERS.

VAKSIN Covid-19 sememangnya dinanti masyarakat dunia bagi mengekang penularan pandemik Covid-19. - FOTO Google
VAKSIN Covid-19 sememangnya dinanti masyarakat dunia bagi mengekang penularan pandemik Covid-19. - FOTO Google

OZLEM dan suami turut menghiasi muka pertama majalah TIME. - FOTO Google
OZLEM dan suami turut menghiasi muka pertama majalah TIME. - FOTO Google

Bagi menghormati keinginan Sarah yang memiliki 25 tahun pengalaman dalam bidang pembangunan vaksin, AstraZeneca membuat persetujuan dengan Oxford untuk tidak mengambil keuntungan daripada penjualan vaksin berkenaan.

Keputusan ibu kepada tiga anak itu membuatkan harga AstraZeneca jauh lebih murah berbanding vaksin yang lain iaitu dianggarkan hanya AS$4 (RM16) berbanding dengan Moderna atau Pfizer yang menelan kos puluhan dolar Amerika Syarikat.

Meskipun murah namun keberkesanan AstraZeneca cukup tinggi iaitu sehingga 92 peratus termasuk dapat mencegah varian Delta yang dianggap paling berbahaya.

Dr Catherine yang mengetuai bahagian pembuatan pula berkata, selepas vaksin itu diedarkan kepada umum, beliau berpeluang memeluk ibunya selepas sekian lama tidak dapat berbuat demikian.

"Ibu sudah lengkap dua dos vaksin dan saya juga sama, jadi sentuhan fizikal sangat bermakna ketika ini.

"Dengan adanya vaksin kita semua dapat kembali kepada hidupan biasa dan itulah tujuan utama vaksin diciptakan.

"Jika kami dapat lakukannya di sini, kami juga boleh lakukannya untuk masyarakat dunia, semoga kita semua dapat memeluk orang yang disayangi tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, Teresa berkata, beliau berharap apa yang pasukannya lakukan itu tidak akan dilupakan.

"Pengorbanan yang kami lakukan hari ini, saya tidak mahu anak-anak kita dan generasi akan datang melaluinya lagi pada masa depan.

"Saya berharap, generasi akan datang akan dapat melakukan (penyelidikan) dengan lebih baik, pantas dan ada senyuman pada wajah mereka, bukan bekerja tanpa henti seperti kami sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 7:00 AM